Setiap ibu ayah pastinya ingin memastikan bayi yang baru lahir sihat tubuh badan dan tidak mengalami sebarang masalah pada kesihatan fizikalnya. Namun, salah satu masalah yang sering berlaku adalah bayi sakit mata, yang mana asyik berair, bertahi mata ataupun kemerahan.
Biasanya, sakit mata bayi disebut sebagai konjunktivitis dan ia berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti bakteria gonorea.
Tidak kiralah anda pertama kali menjadi ibu ayah ataupun sebaliknya, keadaan mata bayi sakit ini pastinya akan membuatkan anda bimbang. Jadi, teruskan membaca artikel ini supaya anda dapat tahu dengan lebih lanjut mengenai masalah bayi sakit mata termasuklah punca ia berlaku dan bila anda perlu membawanya berjumpa doktor untuk dirawat.
Isi Kandungan
Mengapa Mata Bayi Berair?
“Eh, semalam okay je, kenapa mata si kecil saya ni tiba-tiba berair sangat? Tahi matanya pun siap tak berhenti keluar lagi. Anak saya terjangkit apa-apa ke?”
Untuk yang sudah menimang beberapa orang cahaya mata, anda mungkin pernah mengalami situasi seperti ini selepas bayi anda dilahirkan. Namun untuk ibu ayah kali pertama, anda mungkin panik dan mula rasa kasihan pada anak anda lalu memikirkan langkah seterusnya yang perlu dibuat.
Kenapa mata bayi berair? Sebenarnya, keadaan ini biasa dan normal berlaku kepada bayi kecil yang baru dilahirkan. Kondisi ini dikenali sebagai blocked tear duct (saluran air mata tersumbat) atau nasolacrimal obstruction.
Antara punca utama yang menyebabkan mata bayi berair sebelah kiri mahupun kanan adalah kerana salur-salur halus di bahagian tepi mata yang mana sepatutnya berfungsi menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung tersumbat atau tidak terbuka sepenuhnya. Jadi, ia menyebabkan air mata bayi terkumpul di dalam mata dan membuatnya kelihatan berair untuk beberapa tempoh.
Dah berair, keluar pula tahi mata. Mengapa ia berlaku?
Ya, ibu. Ini jawapannya! Apabila air mata tadi tidak dapat mengalir secara normal, tadahan air mata ini kemudiannya akan dijangkiti kuman lalu menyebabkan tahi mata terbentuk pada mata bayi anda.
Jenis Bayi Sakit Mata
Selain masalah mata bayi berair, antara penyakit mata lain yang sering dialami oleh bayi adalah:
#1. Mata bertahi
Kondisi tahi mata banyak yang berlaku pada bayi baru lahir adalah disebabkan oleh saluran air mata yang tersumbat. Air mata terbentuk di kelenjar lacrimal, yang terletak tepat di atas mata. Cecair air mata membantu membersihkan dan melincirkan permukaan mata.
Saluran air mata, atau saluran nasolakrimal, adalah saluran kecil yang duduk di sudut mata berhampiran hidung. Biasanya apabila seseorang berkelip, kelopak mata menyapu cecair air mata ke dalam saluran ini, yang mengalirkannya ke dalam hidung. Jadi apabila saluran tersebut tersumbat, cecair air mata mungkin tidak lagi boleh mengalir dari permukaan rata dan menyebabkan pelepasan melekit seperti tahi mata terbentuk di sudutnya.
#2. Jangkitan mata
Pernah nampak bahagian mata bayi berubah menjadi seperti kemerahan? Maka ini mungkin bermakna bayi sedang mengalami jangkitan mata.
Kondisi ini selalunya disebabkan oleh infeksi bakteria yang mengakibatkan konjuktivitis (pinkeye).
#3. Mata juling
Masalah mata juling juga boleh berlaku pada bayi. Kondisi ini disebut sebagai strabismus yang mana ia berlaku kerana otot yang mengawal mata masih dalam keadaan yang lemah.
Namun peringatan untuk ibu. Jika bayi anda sudah berusia empat bulan dan masih mengalami masalah ini, sila segera bawanya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal ya!
#4. Mata malas
Anda terperasan hanya sebelah sahaja mata bayi anda mempunyai fokus berbanding sebelah lagi? Maka bayi anda mungkin sedang mengalami gejala atau sindrom mata malas. Kondisi ini anda boleh kesan jika anda melihat anak mata sebelah mata bayi kerap bergerak-gerak dan sukar untuk menumpukan sesuatu.
Apa yang menyebabkan ia berlaku? Ia mungkin kerana cahaya terang seperti flash kamera atau spotlight. Jadi, anda perlu sentiasa berhati-hati ya supaya tidak mendedahkan mata bayi anda kepada cahaya terang seperti itu.
Mata Bayi Merah Tanda Jangkitan?
Ketika melihat mata bayi merah secara tiba-tiba, anda pastinya akan berasa risau. Selain kondisi mata bayi berair, mata bayi merah juga merupakan masalah mata yang kerap terjadi pada bayi.
Kondisi mata bayi merah sebelah atau dua-dua belah pastinya akan membuatkan si kecil berasa tidak selesa. Apatah lagi jika disusuli dengan mata bayi bengkak. Lagi menyakitkan untuk kita lihat, bukan?
Antara beberapa penyebab mata bayi merah adalah kerana:
- konjunktivitis – berlaku disebabkan oleh keradangan pada konjunktiva, iaitu bahagian berwarna merah jambu di sisi dalam kelopak mata. Pada awalnya, konjunktivitis berlaku masa satu mata, kemudian ia menjalar ke mata yang lain. Konjunktivitis berlaku boleh berlaku disebabkan oleh virus, bakteria mahupun alergi.
- Mata sakit – Mata merah pada bayi juga boleh berlaku disebabkan oleh kerengsaan. Penyebab kerengsaan mata adalah berbeza-beza, seperti daripada habuk, minyak wangi, serta pencemaran alam seperti asap ataupun asap rokok. Selain merah-merah, kerengsaan juga boleh menyebabkan kelopak mata bayi bengkak dan mata berair pada bayi.
- Batuk dan selsema – sama seperti orang dewasa, kondisi ini juga boleh menyebabkan mata bayi anda merah. Ia boleh hilang selepas batuk serta selsema itu sembuh.
- Pembuluh darah pecah – Mata merah pada bayi juga boleh disebabkan oleh saluran darah yang pecah tepat di bawah konjunktiva (membran mukus yang menutupi mata). Darah yang keluar tidak dapat diserap serta-merta oleh konjunktiva, mengakibatkan mata merah. Mata merah akibat pembuluh darah pecah sebenarnya tidak berbahaya dan akan reda sendiri dalam tempoh 1–2 minggu. Namun jika mata si kecil anda tetap merah selepas 2 minggu, segera membuat pemeriksaan bersama doktor.
Mata Bayi Bertahi Mata
Tahi mata terjadi pada bayi kerana saluran air matanya masih belum terbentuk dengan sempurna, menyebabkan air mata tidak keluar dengan baik. Malah bayi sering menangis tanpa air mata, tetapi keadaan ini tidak berbahaya selagi tidak ada jangkitan.
Menurut kajian, hampir 20 peratus bayi baru lahir mempunyai saluran air mata yang tersumbat. Keadaan ini boleh berlaku kerana akhir salur air mata tidak terbuka dengan betul apabila bayi dilahirkan. Saluran air mata yang disekat boleh menjejaskan satu atau kedua-dua mata bayi.
Kebiasaannya masalah tahi mata akan hilang ketika saluran air mata telah terbentuk sempurna, ini bermakna beberapa minggu kemudian. Sekiranya masalah tersebut masih lagi terjadi sehingga bayi berusia 8 bulan, bawalah ke doktor untuk mendapatkan bantuan doktor.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Masalah mata bayi sakit dilihat normal dan tidak perlu begitu dibimbangkan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan daripada virus atau bakteria yang diturunkan daripada ibu ke bayinya semasa melahirkan.
Bahkan, ibu hamil tanpa sebarang gejala jangkitan semasa melahirkan bayi juga boleh menyebarkan bakteria atau virus kepada bayi semasa kelahiran.
Anda dinasihatkan untuk membawa anak anda berjumpa doktor sekiranya mengalami masalah mata berair, merah mahupun bertahi mata lebih lama daripada tempoh waktu yang sepatutnya. Ini kerana ia mungkin disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria.
Biasanya, doktor boleh merawat bayi sakit mata yang disebabkan oleh bakteria dengan menggunakan antibiotik. Bagaimanapun, ia bergantung kepada tahap keseriusan dan jenis bakteria yang menyebabkannya.
Sumber
American Academy of Ophthalmology (July 2, 2021). 10 Child Eye Problems Parents Should Never Ignore. www.aao.org/eye-health/tips-prevention/child-eye-problems-parents-should-never-ignore
Institute for Control of Ehy Myopia in Children. (Nov 25, 2019). Reasons Your Kids’ Eyes Are Hurting. www.myopiainstitute.com/eye-care/reasons-your-kids-eyes-are-hurting/
Kids Health (n.d). Pinkeye (Conjunctivitis). kidshealth.org/en/parents/conjunctivitis.html
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Bayi Baru Lahir Alami Mata Merah Berdarah? Jangan Risau, Ini Yang Ibu Ayah Perlu Buat
Baca juga: Penglihatan Bayi 1 Bulan Hingga 1 Tahun, Mata Malas Antara Masalah Biasa Dialami Kanak-Kanak
Baca juga: Mata Malas Menjejaskan Daya Penglihatan Si Manja, Ibu Bawalah Anak Berjumpa Pakar