Tidak dinafikan ibu bekerjaya lebih cenderung untuk berpantang sendiri di rumah secara moden atau tradisional. Hal ini kerana, mereka terikat dengan kerjaya dan keluarga.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Kerana berpantang sendiri, guru dijemput illahi
- Anak sulung hisap susu dari ibu yang tidak bernyawa
- Elak buat perkara ini untuk wanita bersalin caesarean
Faktor lain seperti faktor jarak, lokasi, kekangan masa, tidak mahu menyusahkan sesiapa, dan keselesaan peribadi juga mempengaruhi keputusan mereka ini.
Kadang kala cuti pelepasan yang diberikan juga tidak mampu untuk mereka mendapat rehat yang secukupnya lebih-lebih lagi kepada ibu yang bersalin secara pembedahan. Tanpa kita sedar, kecuaian ini boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada ibu yang baru melahirkan anak.
Kerana berpantang sendiri di rumah, guru dijemput illahi
Tragedi menyayat hati ini adalah tentang seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Johor, Cikgu Siti Rohana Redzuan.
Arwah yang dijumpai oleh suaminya disahkan telah meninggal dunia bersendirian dengan dua orang anak di atas katil. Arwah berpantang sendiri di rumah manakala suaminya pula terpaksa keluar bekerja sebagai seorang pemandu lori.
Menurut laporan, arwah baru sahaja 48 hari melahirkan anak yang kedua secara caesarean. Punca kematian adalah disebabkan pendarahan yang banyak pada tempat luka pembedahan lalu.
Anak sulung hisap susu dari ibu yang tidak bernyawa
Waktu jasad arwah dijumpai di atas katil bersama dua orang anak, keadaan kedua-dua anaknya sungguh meruntun hati. Anak sulung, berusia 19 bulan yang kehausan cuba sedaya upaya untuk menyusu dari jasad ibu yang kaku tidak bernyawa lagi.
Sedangkan anak kedua yang masih 48 hari umurnya, menangis tetapi sudah tidak mampu untuk mengeluarkan suara.
Rasa lapar, letih, dan dahaga silih berganti melemahkan tubuh kecilnya. Sebelum ini arwah hanya sempat mengadu kepada suami, yang beliau penat.
Suami arwah menyuruhnya untuk berehat. Siapa sangka keluhan itu rupa-rupanya adalah tanda arwah dijemput Ilahi.
Elak buat perkara ini untuk wanita bersalin caesarean
Oleh kerana itu, wanita yang bersalin pembedahan haruslah lebih peka dan prihatin dalam menjaga kesihatan diri selepas bersalin dan semasa berpantang. Antara perkara yang perlu dielakkan adalah seperti:
- Membongkok ke bawah
- Jangan tinggal bantal
- Garu kulit di sekitar luka
- Makanan bergas
- Makanan sukar penghadaman
- Angkat benda berat
Menjaga kesihatan semasa berpantang mempunyai kepentingannya yang tersendiri untuk jangka masa yang panjang. Jika kita tidak mendapatkan tubuh badan yang sihat semasa berpantang, bagaimana mungkin kita dapat kembali semula secara normal menjalani kehidupan seharian.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Batu Meriyan Punca Wanita Sedang Berpantang Senang Meroyan? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Baca juga: Jadual Berpantang Lengkap Untuk Ibu Lepas Bersalin Penting Supaya Semuanya Teratur