Stillbirth atau kelahiran mati ialah apabila bayi meninggal sebelum dia dilahirkan di mana ibu akan bersalin awal, selepas 24 minggu kehamilan. Di England, sekitar 1 dalam 250 kelahiran adalah kelahiran mati.
Berdasarkan peraturan WHO, bayi yang meninggal dalam kandungan adalah bayi yang dilahirkan tanpa tanda-tanda kehidupan pada usia kandungan 28 minggu atau lebih.
WHO membahagikan mengikut tempoh kehamilan, klasifikasi keadaan Intrauterine fetal death (IUFD) adalah:
- Umur kehamilan 20 hingga 27 minggu : kelahiran mati awal (lahir mati awal)
- Umur kandungan 28 hingga 36 minggu : lewat kelahiran mati
- Selepas 37 minggu : kelahiran mati
Kematian janin dalam kandungan adalah mimpi sedih yang sukar untuk dihadapi oleh setiap ibu. Bayangkan segala impian dan kegembiraan untuk menimang cahaya mata dan mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata.
Punca Kelahiran Mati
Bagaimanapun, bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi yang dilakukan juga tidak dapat mengenal pasti sebab kematiannya. Namun dalam bidang perubatan terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira iaitu keadaan bayi dan juga kesihatan ibu.
Ada banyak punca yang boleh menyumbang kepada perkara ini antaranya:
• Masalah kromosom.
Menurut kajian, hampir 50 peratus kes keguguran spontan pada peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal atau kecacatan struktur anggota bayi. Oleh sebab itu bayi yang meninggal di dalam kandungan turut dikaitkan dengan kecacatan namun punca ini tidak terlalu kuat.
“Sejak awal kandungan ibu perlu menjalani pemeriksaan di hospital bagi memastikan bayi berada dalam keadaan sihat. Ujian imbasan peringkat awal biasanya dapat mengesan sebarang keganjilan pada bayi. Untuk itu ibu biasanya sudah dimaklumkan mengenai perkembangan bayi mereka dan langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa,” kata Dr Daud.
• Uri dan tali pusat.
Selain itu uri dan tali pusat turut dipersalahkan sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih menjadi ‘penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini. Secara asasnya uri dan tali pusat berfungsi sebagai saluran nyawa bayi bagi mendapatkan bekalan oksigen dan zat makanan.
Andai terdapat masalah pada salah satu, bermakna terputuslah ‘saluran nyawa’ bayi yang boleh mengakibatkan gangguan bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat makanan kepada bayi.
Selain itu terdapat juga kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu cepat ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat dan uri yang mengakibatkan kelahiran awal berlaku.
Ada sesetengah kes bayi terbelit tali pusat ketika dalam kandungan namun ia hanya dapat dikenal pasti sebaik saja bayi dilahirkan. Masalah ini juga tidak dapat dikenal pasti sejak awal kecuali menerusi imbasan kandungan.
• Tahap kesihatan ibu
Paling penting dan perlu diketahui adalah keadaan ibu yang mungkin menyumbang kepada kesihatan bayi mereka. Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatannya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati. Sebab itu ibu perlu menjalani rawatan sekiranya disahkan menghidap diabetes kerana ia menyebabkan bahaya bukan saja kepada ibu tetapi bayi mereka.
• Jangkitan
Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes perlu diawasi agar ia tidak menjejaskan kandungan.
• Air ketuban
Selain pemeriksaan air ketuban juga penting kerana ia turut menyumbang kepada risiko lahir mati. Setiap kali membuat pemeriksaan biasanya doktor akan menjelaskan mengenai air ketuban sama ada berkurangan normal atau banyak. Air ketuban berkurang atau terlalu banyak turut menjadi penyebab kepada lahir mati yang jarang diambil tahu.
• Kemalangan
Kemalangan yang mengakibatkan hentakan kuat, terjatuh atau terhantuk boleh mendedahkan ibu kepada risiko kematian bayi dalam kandungan.
Tips Elak Bersalin Awal Kelahiran Mati
Disebabkan terdapat faktor tertentu yang boleh meningkatkan risiko kelahiran mati, ibu boleh mengurangkan risiko ini dengan melakukan perkara-perkara yang berikut:
1. Tidur mengiring pada trimester terakhir
Kedudukan wanita hamil tidur turut muncul sebagai faktor risiko kepada kelahiran mati. Wanita yang melaporkan tidur telentang selepas 28 minggu kehamilan mempunyai hampir tiga kali ganda peningkatan risiko kelahiran mati. Adalah disyorkan ibu selepas 28 minggu kehamilan menetapkan kedudukan tidur mengiring.
2. Dapatkan bantuan jika pergerakan janin berkurangan
Wanita yang mengalami penurunan pergerakan janin harus segera menghubungi bidan atau doktor mereka kerana ini adalah petanda potensi masalah dengan bayi, termasuk pertumbuhan yang lemah, hilang upaya dan kelahiran mati.
3. Berhenti merokok
Merokok semasa hamil dikaitkan dengan kelahiran mati dan masalah serius lain seperti sekatan pertumbuhan janin, kelahiran pramatang, dan SIDS. Ia memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak sepanjang hayatnya.
Satu daripada sepuluh ibu Australia merokok semasa hamil, dan kadar lebih tinggi untuk wanita di bawah 20 tahun (31 peratus), yang tinggal jauh (35 peratus) atau Orang Asli (42 peratus).
4. Jalani pemeriksaan ibu mengandung
Adalah penting untuk tidak terlepas sebarang janji temu antenatal anda. Beberapa ujian dan pengukuran yang boleh mengenal pasti masalah yang berpotensi perlu dilakukan pada masa tertentu.
Menghadiri semua temu janji anda juga bermakna doktor anda boleh memberi anda maklumat yang relevan sepanjang proses kehamilan anda.
5. Makan makanan berkhasiat dan kekal aktif
Cuba tukar makanan yang tidak sihat dengan pilihan yang lebih sihat, dan cuba kekal aktif. Berat badan berlebihan atau obes boleh meningkatkan risiko masalah semasa kehamilan.
Kehamilan bukanlah masa untuk diet penurunan berat badan, tetapi anda tidak perlu menambah apa-apa berat tambahan semasa kehamilan jika anda sudah berlebihan berat badan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Lahir Mati (Stillbirth): Punca, Tanda Bayi Meninggal Dalam Perut & Perbezaan Dengan Keguguran
Baca juga : Kelahiran Mati/Stillbirth Beri Kesan Emosi Mendalam Pada Ibu, Ini Cara Bangkit Semula
Baca juga : Sedih Bayi Maut Ketika Kehamilan 9 Bulan, Ini Punca Stillbirth Yang Anda Perlu Alert!