Bukan mudah untuk ibu bapa yang telah mengalami kelahiran bayi mati untuk kembali kepada kehidupan normal. Ada pasangan yang cukup bertuah mempunyai sistem sokongan yang kuat, baik dari ahli keluarga atau rakan-rakan. Namun bagi yang tidak bernasib baik, apabila terjadi perkara yang tidak diingini seperti ini, dicarinya pula kesalahan oleh keluarga sendiri.
Dengan kepercayaan orang tua-tua yang macam-macam ditambah pula stigma masyarakat mengenai kelahiran mati ini. Sebenarnya apa yang diperlukan pasangan adalah sokongan yang kuat dari orang terdekat. Bukanlah dipersalahkan dan dicari kesalahannya. Setiap yang berlaku punyai pelbagai sebab baik dari segi perubatan dan saintifiknya.
Jadi ini antara apa yang anda perlu tahu mengenai kelahiran mati dan keguguran kandungan.
Banyak faktor penyumbang kelahiran bayi mati

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Daud Yahya, kelahiran bayi mati berlaku pada usia kandungan 22 minggu ke atas sebelum bayi sempat dilahirkan. Ini bermakna bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.
Keguguran pula adalah ‘kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum usia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500 gram jika usia kandungan tidak diketahui.
Bagaimanapun, bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi yang dilakukan juga tidak dapat mengenal pasti sebab kematiannya. Namun dalam bidang perubatan terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira iaitu keadaan bayi dan juga kesihatan ibu.
Punca yang boleh menyumbang kepada perkara ini antaranya:

#1. Masalah kromosom
Menurut kajian, hampir 50 peratus kes keguguran spontan pada peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal atau kecacatan struktur anggota bayi. Oleh sebab itu bayi yang meninggal di dalam kandungan turut dikaitkan dengan kecacatan namun punca ini tidak terlalu kuat.
“Sejak awal kandungan ibu perlu menjalani pemeriksaan di hospital bagi memastikan bayi berada dalam keadaan sihat. Ujian imbasan peringkat awal biasanya dapat mengesan sebarang keganjilan pada bayi. Untuk itu ibu biasanya sudah dimaklumkan mengenai perkembangan bayi mereka dan langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa,” kata Dr Daud.
#2. Uri dan tali pusat
Selain itu uri dan tali pusat turut dipersalahkan sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih menjadi ‘penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini. Secara asasnya uri dan tali pusat berfungsi sebagai saluran nyawa bayi bagi mendapatkan bekalan oksigen dan zat makanan.
Andai terdapat masalah pada salah satu, bermakna terputuslah ‘saluran nyawa’ bayi yang boleh mengakibatkan gangguan bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat makanan kepada bayi.
Selain itu terdapat juga kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu cepat ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat dan uri yang mengakibatkan kelahiran awal berlaku.
Ada sesetengah kes bayi terbelit tali pusat ketika dalam kandungan namun ia hanya dapat dikenal pasti sebaik saja bayi dilahirkan. Masalah ini juga tidak dapat dikenal pasti sejak awal kecuali menerusi imbasan kandungan.
#3. Tahap kesihatan ibu
Paling penting dan perlu diketahui adalah keadaan ibu yang mungkin menyumbang kepada kesihatan bayi mereka. Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatannya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati. Sebab itu ibu perlu menjalani rawatan sekiranya disahkan menghidap diabetes kerana ia menyebabkan bahaya bukan saja kepada ibu tetapi bayi mereka.
#4. Jangkitan
Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes perlu diawasi agar ia tidak menjejaskan kandungan.
#5. Air ketuban
Selain pemeriksaan air ketuban juga penting kerana ia turut menyumbang kepada risiko lahir mati. Setiap kali membuat pemeriksaan biasanya doktor akan menjelaskan mengenai air ketuban sama ada berkurangan normal atau banyak. Air ketuban berkurang atau terlalu banyak turut menjadi penyebab kepada lahir mati yang jarang diambil tahu.
#6. Kemalangan
Kemalangan yang mengakibatkan hentakan kuat, terjatuh atau terhantuk boleh mendedahkan ibu kepada risiko kematian bayi dalam kandungan.

Tanda keadaan lahir mati
Kebanyakan kes kelahiran bayi mati selalunya menunjukkan tanda yang ketara dari segi pergerakan bayi. Disebabkan itulah, ibu perlu peka dan mengira pergerakan bayi setiap hari.
Sebaik di hujung kehamilan, bayi pun semakin membesar dan ini membuatkan pergerakannya agak terbatas. Namun bayi masih akan bergerak seperti biasa dan pergerakan normal mereka adalah lebih 10 kali pergerakan dalam 12 jam sehari.
Elakkan bertanya kepada orang yang bukan pakar, seeloknya sebaik anda merasakan kurang pergerakan cepatlah rujuk kepada doktor.
Antara mitos ibu hamil akan keguguran atau mengalami kelahiran bayi mati:
- Jangan potong ketam, takut anak menjadi cacat.
- Jangan sampai terpukul atau terserempak ular, takut tali pusat anak terbelit.
- Jangan menjerat burung, mengikat tali, takut susah ketika anak hendak dilahirkan, dikhuatiri terbelit tali pusat.
- Jangan mengail, menyiang ikan, menyembelih, mengasari atau membunuh binatang, takut anak jadi sumbing atau cacat anggota lainnya, atau kelihatan seperti haiwan yang dianiaya.
- Jangan makan sambal berlebihan, takut kepala janin botak.
- Jangan mengetuk paku di dinding, duduk di atas akar kayu atau makan makanan berakar seperti pegaga, takut terlekat uri pada rahim.
- Jangan makan durianberlebihan, takut anak dalam kandungan panas dan ingin keluar cepat.
- Jangan menyusup bawah penyidai, takut anak cacat.
- Jangan lihat gerhana, takut anak bermata juling atau ada tanda hitam.
- Jangan tidur tengah hari atau menanam pokok pisang, takut anak lahir berkepala besar.
- Jangan diikat mati benang atau tali, menjahit atau pun menganyam, takut anak terbelit tali pusat.
- Jangan duduk di muka pintu atau tangga, takut susah melahirkan termasuk kemungkinan berlaku tumpah darah yang boleh mendatangkan maut.
- Jangan makan makanan tajam seperti nenas atau tapai, takut keguguran.
- Jangan melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak akan tertutup seperti kucing sedang tidur.
Untuk melahirkan anak yang sudah tiada cukuplah menderita ditambah pula dengan proses berpantang tanpa kehadiran bayi di sisi ibu. Jadi waktu ini sokongan keluarga amatlah penting. Sentiasa rujuk kepada ahli keluarga sekiranya inginkan ketenangan hati, kalau tidak anda boleh saja dapatkan khidmat pakar kaunseling, ia adalah normal untuk sentiasa meminta bantuan.
Tidak mengapa untuk bersedih, anda saja yang mampu mengawalnya tapi jangan biarkan ia berlarutan. Sentiasa cari jalan untuk menggembirakan diri sendiri.
Sebaik ibu sudah sihat dan pulih amalkan pemakanan sihat dan ambil asid folik untuk sedia mengandung kali kedua. Tapi sebelum itu jangan lupa dapatkan pemeriksaan perubatan dahulu dengan gynae yang anda selesa. Dapatkan nasihat bila waktu terbaik untuk mencuba hamil lagi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: madeformums
Baca juga:
Lahir Mati: Kisah Benar Kesakitan Dihadapi Ibu, Proses Penyembuhan & Cuba Hamil Lagi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!