Setiap proses melahirkan anak adalah unik dan berbeza. Meskipun ia bukanlah kali pertama anda melaluinya, namun tidak akan sama dengan anak sebelum ini. Begitulah yang berlaku pada wanita ini apabila dia terpaksa bersalin bersendirian di hotel.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Pengalaman bersalin sendiri di hotel ketika ikut suami hadir ke seminar
- Bersalin sendiri di hotel, telah pergi ke hospital ketika bukaan 2cm
- Suami kongsi momen yang penuh dengan debaran
Sebagai isteri, kita sememangnya akan mengikuti suami apabila dia pergi ke mana sahaja. Lebih-lebih lagi apabila ada tugasan di luar negeri yang memakan masa beberapa hari.
Pengalaman bersalin bersendirian di hotel ketika ikut suami hadir ke seminar
Menurut wanita berkenaan, Nurliyana Sabri dan suaminya, terkejut apabila bersalin sendiri pada awal pagi ketika menginap salah sebuah hotel di Putrajaya.
Difahamkan guru sekolah menengah itu terpaksa bergantung kepada pengalaman bersalin pertamanya untuk kekal bertenang dan cuba mengikat tali pusat menggunakan tali topeng muka terlebih dahulu sementara menunggu ketibaan ambulans.
Walau bagaimanapun, ternyata ia menjadi rezeki yang datang tidak disangka-sangka. Pihak hotel telah memutuskan bahawa keluarga guru tersebut mendapat penginapan percuma seumur hidup pada hari lahir anak kecil itu, tertakluk kepada beberapa terma dan syarat.
Nurliyana yang berusia 29 tahun selamat melahirkan anak keduanya di bilik 107 hotel itu pada jam 6.27 pagi tanpa sempat pergi ke hospital.
Dia mengatakan ia terjadi benar-benar di luar jangkaan. Menceritakan dengan lebih lanjut, dia dan suami datang dari Kluang, Johor bersama anak perempuan mereka yang berusia dua tahun ke Putrajaya.
Bersalin bersendirian di hotel, telah pergi ke hospital ketika bukaan 2cm
Mereka tiba dalam jam 1 pagi hari Ahad kerana suaminya, yang juga seorang guru sekolah menengah terpaksa menghadiri seminar.
Mereka telah mendaftar masuk ke Hotel Saujana City di Jenjarom, Selangor pada jam 4.30pagi kerana menyangka ia adalah tempat yang sesuai untuk berehat dan hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari Hospital Putrajaya.
”Pada jam 3 pagi, saya sebenarnya sudah merasakan sakit kontraksi. Namun masih bertenang kerana pengalaman bersalin anak pertama sebelum ini membuatkan saya menunggu lama di wad bersalin.”
”Saya juga telah melepasi due date iaitu pada 24 Mac. Jadi saya dan suami telah pergi hospital pada awal rasa sakit bersalin. Memandangkan bukaan baru 2cm, pihak hospital meminta saya pulang dahulu dan tidak dimasukkan ke dalam wad.” jelasnya.
Namun selepas mendaftar masuk hotel, Nurliyana mula mengalami kontraksi yang lebih kerap iaitu selang lima minit.
Suami kongsi momen yang penuh dengan debaran
Suaminya, Mir Azizierahimi Mustafa, 34 menceritakan dia tersedar pada pukul 6 pagi dan mendapati isterinya sudah membongkokkan badan. Dia sudah tidak tahan serta hendak bersalin.
”Memandangkan situasi yang terlalu panik, saya jadi terlupa untuk terus menghubungi ambulans. Sehinggalah isteri yang menyuruh saya berbuat demikian. Pada masa itu juga, saya sudah dapat melihat kepala bayi.”
”Saya juga tidak dapat menghubungi bahagian reception hotel. Jadi saya bergegas turun ke bawah dan membuat panggilan kepada hospital.”
”Mujurlah ada doktor yang membantu. Dia telah membimbing saya apa yang perlu dilakukan termasuklah mengikat tali pusat dan membersihkan bayi dengan betul.” kongsinya.
Ketika menelefon hospital, Nurliyana telah bersalin sendiri anak kedua mereka di dalam bilik. Dia hanya bertenang dan bergantung kepada pengalaman bersalin pertamanya.
”Saya terpaksa push sebanyak tiga kali untuk melahirkan bayi. Tetapi saya tidak ingat untuk memotong dan mengikat tali pusat. Namun mujurlah ambulans tiba selepas 15 minit kemudian serta membawa kami ke hospital.”
Anak perempuan mereka yang baru dilahirkan belum dinamakan itu kini dipantau di unit rawatan rapi neonatal.
Menurut Pengarah Hotel Saujana City, Sivakumar Nalasamy, dia meluahkan rasa terharu apabila mendapat tahu ada bayi yang dilahirkan di hotelnya.
Dia memutuskan bahawa keluarga bayi itu mendapat penginapan percuma pada hari lahirnya- untuk seumur hidup.
”Dalam budaya India, ia adalah petanda yang baik jika bayi dilahirkan di tempat kami. Saya harap kejadian ini adalah petanda baik untuk perkembangan perniagaan.” jelasnya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Harungi Detik Cemas Bawa Wanita Bersalin, Lelaki Nekad Turun Kereta Minta Bagi Laluan
Baca juga: Akibat Perkahwinan Bawah Umur, Doktor Dedah Realiti Menyedihkan Dalam Bilik Bersalin
Baca juga: Suami Dibenarkan Teman Isteri Bersalin Dalam Fasa Endemik, Ini SOP Terkini Perlu Dipatuhi!