“Risaunya saya bila melihat si kecil yang kini berumur tiga bulan seolah-olah masih tidak nampak apa-apa. Jadi saya nak tahu bila bayi boleh melihat ya?” – Ini antara dilema para ibu yang mempunyai anak kecil.
Mereka risau tentang perkembangan fizikal bayi terutama perkembangan yang melibatkan mata dan penglihatan. Walaupun si ibu rasa gusar dan bimbang, namun seharusnya anda bertenang dan memberi sedikit masa untuk si kecil itu mengalami perkembangan fizikal yang normal.
Ini kerana, si kecil itu belum mencapai usia enam bulan, maka agak sedikit sukar untuk mengetahui jika ada sebarang masalah yang menganggu anaknya.
Isi Kandungan
Persoalan Tentang Bila Bayi Boleh Melihat
Sebenarnya, bayi yang baru dilahirkan tidak mempunyai daya penglihatan yang baik seperti mana orang dewasa1. Namun, seawal usia satu minggu, mereka sudah boleh mengesan cahaya atau bentuk bayangan secara kabur.
Malah ia sudah cukup untuk si kecil itu melihat ibunya. Saat berumur kurang dari enam bulan, bayi akan merenung wajah dan mengkaji rupa serta bentuk muka ibu yang menyusu.
Menurut Dr. Zubaidi, ini antara sebab mengapa ibu perlu selalu memegang bayi, berinteraksi dan merenungnya supaya ‘facial contract’ terjadi.
Perkembangan Bila Bayi Boleh Melihat: Apa Terjadi Pada Bayi Berumur 1 – 2 Bulan?
- Mereka akan memberikan fokus dan merenung kepada pergerakan objek yang bergerak ke kiri dan kanan serta jauh dan dekat.
- Semasa itu, para ibu digalakkan untuk mendekatkan muka ke wajah bayi dan selepas itu secara perlahan-lahan menjauhkannya.
- Dengan cara ini, anda dapat memberi galakan kepada bayi supaya menggerakkan otot dan mengawal pergerakan kedua-dua belah matanya ke kiri dan kanan.
- Selain itu, bayi juga mula mengesan perubahan warna secara perlahan-lahan sama ada yang cerah atau terang apabila masuk ke umur dua bulan. Bahkan dalam usia ini juga, sel-sel mula mengenal warna kerana ia membentuk dalam retina.
Tips Untuk Bantu Mengembangkan Penglihatan Bayi
- Cuba latih bayi melihat gambar dan mainan yang berwarna terang supaya mengalakkan perkembangan sel warna dalam retina.
- Menunjukkan kad gambar yang mempunyai warna kepada bayi kerana mereka sedang mempelajari dan membezakan warna-warna tersebut seperti warna asas merah, biru dan kuning.
- Banyakkan bercakap dan senyum pada bayi. Bayi akan bertindakbalas pada senyuman dan minat melihat pada pergerakan bibir ‘lip reading’.
- Hiasi bilik bayi dengan warna yang terang contohnya mengecat dinding bilik dengan warna yang ceria dan guna perabot berwarna kontras.
- Pada peringkat umur ini, bayi masih tidak boleh memfokus dengan baik, ibu ayah perlu berada di samping bayi bagi membantu merangsang penglihatan bayi.
- Menambah dan mengubah kedudukan alat permainan di dalam bilik atau di katil. Ini merangsang bayi untuk menumpu pada pergerakan objek.
- Pada waktu malam, nyalakan lampu tidur bagi merangsang penglihatan bayi apabila dia terjaga dari tidur.
- Pemainan berbentuk objek dan mempunyai warna terang juga boleh diperkenalkan supaya penglihatan mereka lebih tajam sekaligus dapat membezakan warna yang bertindan seperti hijau, jingga dan ungu.
- Masa ini juga si kecil sedang membezakan bentuk tiga segi, bulat dan empat segi.
- Dapatkan pemeriksaan berkala selepas kelahiran sehingga pra-sekolah di hospital/klinik kesihatan.
Dr. Zubaidi turut menambah, sekitar umur lima bulan, bayi sudah dapat melihat dan membezakan bentuk objek yang ditunjukkan kepada mereka pada jarak yang dekat. Malah dia juga boleh melihat anda dari jarak jauh sekitar 3 meter.
Ketika bayi berusia 4-5 bulan juga bayi sudah pandai menoleh pada bunyi dan ketika si ibu ayah memanggil nama mereka. Menakjubkan bukan?
Setelah umur lapan bulan pula, bayi boleh melihat objek yang berada lebih jauh di hujung katil dan dapat melihat wajah ibu dan ayahnya dengan lebih jelas.
Kemudian semasa umur dua tahun, kebanyakan bayi sudah mampu melihat dengan baik walaupun belum sempurna seperti orang dewasa. Penglihatan mata mereka akan lebih baik apabila mencapai umur lapan tahun atau ketika masuk ke alam pra persekolahan.
Walau bagaimanapun, bayi yang mengalami masalah penglihatan semasa kecil akan mempunyai kecacatan penglihatan hingga mereka membesar2.
Cara Menentukan Penglihatan Bayi Normal Atau Tidak?
Mata akan diuji dengan ‘eye chart’. Ia digunakan semasa bayi mencapai umur lima tahun kerana pada usia itu mereka boleh melihat barang kecil dan sudah tahu perbezaannya.
Ibu ayah juga boleh membantu anak-anak mendapatkan kesempurnaan penglihatan dengan melakukan amalan yang baik seperti saranan di bawah.
- Bagi membantu merangsang koordinasi mata-tangan-badan anak anda, ibu ayah boleh melakukan aktiviti bersama anak contohnya memberi galakan anak merangkak ke arah sesuatu objek arau alat permainan yang disukainya dengan bersorak dan turut serta.
- Ibu ayah perlu memastikan anak-anak tidak mendapat rangsangan yang berlebihan atau yang tidak bersesuaian dengan umurnya. Contohnya ibu ayah wajar menghadkan masa menonton televisyen, memastikan program televisyen yang bersesuaian serta menonton bersama-sama dengan anak.
- Selain daripada menonton televisyen atau penggunaan telefon pintar/tab, ibu ayah digalakkan duduk bersama anak-anak sambil berbual-bual dengannya.
- Membaca buku dengan anak-anak.
- Mendedahkan anak dengan alat permainan yang bersesuaian dengan umur anak anda seperti: soft toys, rattles, lego, play dough.
- Penggunaan flash card boleh digunakan seawal usia bayi 2 bulan. Gunakan kad berwarna warni bagi menarik minat si manja. Walaupun penglihatan mereka agak kabur ketika ini, namun ia mampu merangsang penglihatan bayi.
- Sebaik bayi sudah pandai meniarap, bawa bayi anda meniarap di luar (seperti di taman) untuk merangsang penglihatan mereka dengan melihat dedaun hijau, warna bunga-bungaan dan menglihat awan biru.
Untuk pengetahuan ibu ayah, saiz bola mata bayi yang baru dilahirkan adalah 65% saiz bola mata orang dewasa. Bayi yang baru dilahirkan tidak dapat melihat dan memfokus dengan jelas seperti orang dewasa kerana sistem penglihatan mereka mengambil masa beberapa bulan lagi untuk berkembang sepenuhnya.
Sebab itulah penjagaan kesihatan semasa mengandung penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda bayi yang bakal dilahirkan agar sihat dan sempurna. Pengambilan alkohol, dadah, ubat-ubatan tertentu serta merokok adalah dilarang semasa mengandung kerana toksin di dalam bahan-bahan tersebut akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada bayi termasuk masalah penglihatan yang serius.
Simptom Bayi Yang Mempunyai Masalah Penglihatan
Antara tanda-tanda amaran yang ditunjukkan oleh anak-anak yang mempunyai masalah penglihatan adalah seperti berikut:
#1. Penampilan
- Mata yang tidak fokus
- Mata yang bergerak-gerak/nystagmus
- Tidak berkelip kepada cahaya yang terang
- Mata juling ke dalam atau keluar
- Mata hitam kelihatan berwarna putih
#2. Tingkah Laku
- Menyengetkan kepala
- Mengecilkan mata
- Mengelip mata secara berlebihan
- Kerap menggosok mata
- Menutup satu mata
- Kerap terlanggar barang
- Keliru dengan huruf-huruf
- Menonton televisyen atau menbaca pada jarak yang terlalu dekat
#3. Aduan
- Sering mengadu sakit kepala, pening atau muntah
- Kabur penglihatan
- Penglihatan berganda
- Penglihatan jauh kabur selepas membuat kerja dekat
- Terlalu sensitif kepada cahaya
- Mata kerap gatal
Bila Ibu Ayah Perlu Bawa Bayi Berjumpa Doktor?
Bagi bayi yang suka merenenung jauh dan tidak memandang wajah ibu yang menyusukan seharusnya dibawa berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan seterusnya kes akan dirujuk pada ophthalmologist.
Jika ibu ayah atau penjaga mendapati sebarang tanda-tanda di atas atau sebarang keraguan dan kemusykilan berkaitan penglihatan anak-anak anda, sila berhubung dengan Klinik Mata di hospital yang berhampiran untuk mendapat pemeriksaan lanjut dengan kadar segera.
Sebarang masalah penglihatan bayi hanya boleh dikesan apabila bayi meniti usia 2 bulan ke atas. Sukar untuk menentukan masalah penglihatan bayi sebaik mereka dilahirkan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat ibu ayah di luar sana.
- Everything You Need To Know About Your Baby’s Vision | All About Vision.
- Infant Vision: Birth To 24 Months Of Age | American Optometric Association.
- Bagaimana Anak Anda Belajar Melihat | MyHEALTH.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Jangan Berlengah Jika Mata Bayi Kuning, Ia Petanda Gejala Penyakit Yang Serius
Baca juga: Penglihatan Bayi 1 Bulan Hingga 1 Tahun, Mata Malas Antara Masalah Biasa Dialami Kanak-Kanak
Baca juga: Jenis Mainan Untuk Bayi 2 Bulan Bantu Stimulasi Penglihatan & Otak Si Manja!