Jika sebelum ini, membawa mas kahwin berupa kelengkapan solat atau tunai menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita untuk melamar wanita. Namun lain pula kisah yang menjadi tular baru-baru ini apabila seorang lelaki bertindak meminang pasangannya dengan dua keping bitcoin Indonesia.
Tidak dinafikan, populariti bitcoin semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara jiran kerana kadar pertukarannya yang hebat sehingga ramai menjadikan ia sebagai pelaburan.
Kisah tular lelaki pinang isteri menggunakan bitcoin Indonesia
Menurut catatan Facebook oleh rakan salah seorang pasangan tersebut, Mismaya Alkhaerat dari Sulawesi Selatan, pihak lelaki membawa sebanyak dua keping bitcoin Indonesia dan melakukan proses permohonan wang tunai.
Dalam posting tersebut juga Mismaya sempat menulis bahawa calon pengantin lelaki dari Riau, Raja Muhammad Hasbi, 47, telah membawa ‘barangan’ hantaran dalam bentuk dua keping bitcoin dengan nilai keseluruhannya lebih kurang 1.6 billion Rupiah (anggaran RM451,167.80).
”Ya betul, Puan Tenri telah dipinang dengan dua bitcoin Indonesia sebagai wang hantaran. Satu bitcoin harganya mencecah 800 juta Rupiah (RM225, 583.80). Selain itu, dia turut membawa mahar dalam bentuk tiga keping emas, sepasang barang kemas dan juga kelengkapan solat.” kongsi Mismaya.
Tambahnya lagi, majlis pernikahan diadakan di Makassar. Mereka hanya menjemput keluarga dan sahabat terdekat sahaja. Difahamkan, pasangan pengantin ini mula bercinta apabila kedua-duanya telah pergi ke Jakarta pada tahun 2019 yang lalu kerana urusan perniagaan matawang digital tersebut.
Hukum bitcoin oleh ulama Islam
Mata wang mengalami perubahan dari barangan, kulit kerang, besi, emas, kertas dan sebagainya. Namun pada hari ini, timbul pula bitcoin yang dilakukan dalam transaksi digital.
Manakala masyarakat pula menjadi tertanya-tanya adakah ia halal atau haram dari sudut Islam. Sebenarnya ada banyak pendapat yang berbeza dinyatakan oleh para ulama dan pakar kewangan Islam.
Mufti Shawki Allam dari Mesir mengharamkan bitcoin atas dasar elemen perjudian. Ia juga membuka pintu kepada pengubahan wang haram. Pengarah Hal Ehwal Turki juga menyatakan, bahawa bitcoin adalah bertentangan dengan Islam kerana ia tidak dikawal selia.
Manakala fatwa oleh Majlis Agama di Malaysia iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Perlis, mereka menetapkan bahawa bitcoin bukanlah mata wang daripada sudut Shariah, maka hukum al-Sarf (pertukaran mata wang) tidak terpakai.
Seterusnya, didapati bahawa bitcoin ini adalah aset digital yang diharuskan untuk anda melabur ke dalamnya.
Pandangan penasihat dalam bidang kewangan Islam
Pengerusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, menyimpulkan bahawa bitcoin adalah patuh Shariah dan pelaburannya adalah harus. Manakala keuntungan yang diperoleh hendaklah dikenakan zakat.
Beliau menolak hujah mereka yang mengatakan ia memiliki elemen Gharar (ketikdakpastian) kerana bila-bila masa sistem digital ini akan runtuh. Katanya, risiko tidak memberi kesan ke atas hukum dan adalah perkara normal dalam pelaburan, perniagaan atau apa jua bidang.
Manakala menurut CEO Elzar Shariah Advisory Sdn. Bhd, Dr. Zaharuddin Abd Rahman, beliau telah mencuba sendiri bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Katanya, elemen Gharar tidak ditemui pada peringkat penghasilan bitcoin itu sendiri. Namun hanya ada pada peringkat transaksi dalam ‘exchange’, di mana kita tidak boleh memastikan transaksi itu benar-benar telah berlaku tanpa sebarang penipuan.
Walau bagaimanapun, beliau mengharuskan penyimpanan Bitcoin dan mengingatkan sesiap melibatkan diri dengannya untuk membayar zakat simpanan setelah cukup setahun (Haul).
Selain itu, Dr Zaharuddin telah menambah kajian mendalam bagi sesiapa ingin melibatkan diri dengan Bitcoin atau mana-mana mata wang kripto agar tidak terjebak dengan skin penipuan atau SCAM dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang, namun ketidakstabilan nilai sekarang boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.
Sumber: Siakap Keli, Majalah Labur
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tamak Mas Kahwin, Bapa Paksa Anak 12 Tahun Kahwin Dengan DUA Lelaki Sekaligus