Buah delima sebagai ubat batuk untuk kanak-kanak

Ada cara mudah, murah dan selamat untuk menyembuhkan batuk dan menghilangkan kahak anak kecil anda. Bagaimana? Apa kata anda cuba petua buah delima sebagai ubat batuk ini!

Ramai di kalangan kita yang sudah tahu tentang keenakan serta kebaikan buah delima kepada kesihatan. Jika anda sedang mencari rawatan semulajadi untuk batuk atau demam anak anda, apa kata anda cuba menggunakan buah delima sebagai ubat batuk untuk anak anda.

Ia sebenarnya merupakan buah ajaib yang telah lama digunakan sebagai ubat semulajadi sejak daripada zaman purba Mesir, Indus, dan Rom dulu lagi!

Selain daripada madu, buah delima juga turut kaya dengan pelbagai vitamin dan antioksida. Dari segi rawatan kesihatan, buah delima sememangnya banyak membantu dalam mengurangkan radang dan meningkatkan sistem imun badan kanak-kanak.

Jika madu tidak berapa sesuai untuk diberikan kepada bayi atau si kecil berusia bawah 2 tahun, buah delima sangat sesuai bagi anak kecil berusia 6 bulan dan ke atas.

Cara Menyediakan Jus Buah Delima Sebagai Ubat Batuk

Cumanya, buat anak kecil, biji buah delima tidak sesuai diberikan secara terus kerana ia mampu menyebabkan risiko tercekik. Jadi, ada beberapa langkah mudah untuk anda menyediakan jus buah delima buat si kecil bagi membantu menyembuhkan batuknya.

Cara yang digunakan ada dikongsikan oleh Puan Farhany di laman Facebooknya. Antara langkah yang dicadangkannya adalah:

buah delima sebagai ubat batuk

Source: Facebook Pn Farhany

  • Potong buah delima dan keluarkan bijinya. Cara mudah untuk mengeluarkannya adalah dengan mengetuk kulit buah tersebut dengan sudu.
  • Ambil sudu dan lenyekkan biji tersebut supaya keluar air jusnya.
  • Untuk menyuap kepada anak anda, ia terpulang. Jika anda boleh menggunakan sudu, ia sudah memadai. Namun, anda turut boleh menggunakan picagari bagi menyedut dan menyuapkannya kepada anak kecil anda.
  • Cuba berikan jus delima kepada anak anda beberapa kali sehari mengikut keinginannya.
  • Lihat dalam masa beberapa hari sama ada batuk atau kahaknya berkurangan.

Kesan Buah Delima kepada Batuk

Buah delima mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi. Ia sedikit sebanyak membantu melawan batuk, selesema, mahupun demam dengan meningkatkan sistem imun badan.

Menurut Puan Farhany juga, jus delima yang diberikan kepada anaknya juga turut membantu mencairkan hingus. Selepas beberapa hari, batuk anaknya mula beransur sembuh

Kebaikan Lain Buah Delima Untuk Kanak-Kanak & Bayi

Menurut Parentinghealthybabies.com, buah delima turut membantu dalam beberapa aspek kesihatan kanak-kanak dan bayi. Antaranya ialah:

  • Mengurangkan cirit-birit – Masalah cirit-birit boleh disebabkan oleh salah makan atau jangkitan virus atau bakteria. Jika bayi anda masih kecil dan tidak disarankan oleh doktor untuk mengambil ubat, buah delima boleh membantu.
  • Menghapuskan cacing perut – Buah delima juga membantu membunuh cacing di dalam perut anak-anak kecil. Cacing-cacing ini jika tidak dibasmi akan mengambil nutrien daripada perut anak-anak ini, sekaligus menganggu kesihatan mereka.
  • Menggalakkan gigi sihat – Kalau anda hendak tahu, buah delima juga boleh membuatkan gigi anak anda kekal sihat. Ia membantu menjauhkan masalah seperti gingivitis di kalangan kanak-kanak.

buah delima sebagai ubat batuk

Banyakkan khasiat dan kebaikan buah delima kepada anak-anak? Selain daripada mengurangkan batuk pada anak-anak, ia membantu memberikan kesihatan dalaman secara menyeluruh – daripada perut sehinggalah ke gigi!

Mulai hari ini, bolehlah anda memasukkan buah delima ke dalam diet harian mereka. Contohnya, memasukkan buah delima ke dalam salad sayur, membuat jus delima, atau memasukkannya ke dalam kek atau pemanis mulut – mesti sedap! Anak suka, anda pun senang hati melihat dia membesar dengan baik dan sihat.