Alamak! Anda Alami Masalah Buasir Selepas Bersalin? Ini Tips Untuk Atasinya

Ramai juga yang kali pertama mendapat buasir selepas bersalin. Di sini kami berkongsi tips untuk mengatasinya serta cara penjagaan jika ibu menjadi mangsa.

Kita biasa mendengar wanita mengadu mengalami masalah buasir selepas bersalin. Biasanya buasir yang bermula semasa kehamilan akan hilang sendiri selepas ibu melahirkan anak.

Tapi malangnya, hampir 25% wanita akan mengalami masalah buasir walaupun sudah 6 bulan bersalin. Keadaan ini mungkin bertambah baik selepas bersalin, namun ada yang masih akan mengalami tanda-tandanya sekali-sekala.

Buasir selepas bersalin, mengapa ini terjadi?

Kredit: Freepik

Wanita senang buasir (piles) atau urat simpul (vena verikos) selepas bersalin kerana beberapa sebab. Antaranya ialah:

  • Rahim serta bayi yang membesar akan memberi tekanan ke atas urat di punggung dan vena cava inferior. Ini vena utama di sebelah kanan badan yang menyalurkan darah dari bahagian bawah badan. Tekanan ke atas vena ini boleh melambatkan pemulangan darah sehingga menyebabkan urat-urat di bawah rahim semakin besar.
  • Peningkatan hormon progesteron semasa hamil juga akan mengendurkan otot-otot dan dinding urat. Akibatnya ialah urat senang bengkak serta saluran pencernaan yang lebih lambat sehingga ibu sembelit. Sembelit yang tidak ditangani boleh menyebabkan buasir!

  • Ibu juga boleh buasir ketika proses meneran untuk mengeluarkan bayi semasa sakit bersalin.

  • Buasir juga boleh berlaku akibat amalan berpantang seperti kurang minum air dan tidak makan buah atau sayur-sayuran tertentu. 

Baca juga: Jamban Duduk Boleh Meningkatkan Risiko Buasir? Tapi Lebih Puas Tandas Cangkung Atau Duduk?

Tanda-tanda yang anda perlu tahu

  1. Sering sembelit.
  2. Pendarahan ketika membuang air besar. Darah yang keluar selalunya darah merah. Darah tidak bercampur dengan najis. 
  3. Rasa sakit, pedih, panas dan gatal di kawasan dubur.
  4. Terdapat benjolan-benjolan licin di lubang dubur.

Namun, pendarahan seperti ini juga boleh berlaku atas sebab lain.

Oleh itu, ibu dinasihatkan berjumpa doktor untuk memastikan ia bukan penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

7 tips mengatasi buasir selepas bersalin

Jika anda mengalami masalah buasir selepas bersalin, kami mencadangkan anda melakukan 7 tips ini untuk mengatasinya:

  1. Makan makanan berserat tinggi. Tambahkan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin di dalam diet anda.
  2. Minum air yang banyak.
  3. Rujuk doktor untuk makanan tambahan yang boleh melembutkan najis.
  4. Aktifkan diri untuk mengurangkan tekanan pada vena. Selain membantu sembelit, senaman juga boleh mengurangkan berat badan yang berlebihan.
  5. Elakkan berdiri atau duduk terlalu lama kerana ini hanya akan meningkatkan tekanan pada urat di dalam dubur.
  6. Elak dari meneran ketika membuang air besar kerana ini hanya akan menambahkan tekanan kepada urat pada dubur.
  7. Jika terasa ingin buang air besar, jangan tahan, lakukannya dengan segera. Najis yang ditahan akan jadi lebih sukar untuk dibuang.

Tips penjagaan kebersihan diri 

  • Pastikan kawasan dubur bersih. Mandi setiap hari dan bersihkan kawasan sekitar dubur perlahan-lahan dengan air suam. Jangan guna sabun kerana ini boleh memburukkan keadaan. 
  • Berendam dalam air mandian suam beberapa kali sehari.
  • Jika buasir anda terkeluar dari lubang dubur, dengan jari yang bersih, perlahan-lahan tolak buasir masuk semula ke dalam ruang dubur.
  • Mandian sitz dengan air suam. Ini boleh dibeli di farmasi.
  • Elak dari menggunakan tisu tandas yang kering. Gunakan tisu basah atau tisu yang dibasahkan selepas membuang air besar.

Sumber: Babycenter, MMGazette

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Jangan Pandang Ringan Buasir Ketika Hamil, Ini Sebabnya Menurut Doktor!

Penulis

Rosanna Chio