Rimasnya Bila Sembelit! Apa Cara Merawat Sembelit Mujarab Selain Dari Makan Julap?

Eeii..tak selesanya bila sembelit. Kadang-kadang sampai sejam dalam tandas tapi masih belum dapat membuang! Haaa... akhirnya ada cara merawat sembelit!

Apabila seseorang mengalami sembelit, pasti dia akan merasa tidak selesa dan mengambil masa yang lama di dalam tandas. Ini kerana sembelit menyebabkan najis menjadi lebih keras dan lebih sukar untuk dikeluarkan. Pada masa yang sama, dia pasti akan luangkan masa mencari cara merawat sembelit sepantas yang mungkin. Jika sembelit dibiarkan, merana hidup nanti!

Mengikut definisi perubatan, sembelit adalah gejala yang berlaku apabila membuang air besar kurang dari 3 kali seminggu, mempunyai kesukaran dan kesakitan atau perlu meneran dengan kuat ketika membuang air besar. 

Cara Merawat Sembelit: Tanda-Tanda Sembelit

Kredit: freepik.com

Tempoh normal antara pergerakan usus berbeza-beza bagi semua orang. Ada yang membuang air besar 3 kali sehari, malah ada yang melakukannya beberapa kali seminggu, namun masih boleh membuang air besar dengan baik.

Sekiranya mengalami sembelit, anda mungkin mengalami tanda-tanda berikut:

  • Najis keras dan sedikit
  • Perut kembung atau sakit perut
  • Tiada selera makan
  • Jarang berlaku – seperti najis berdarah

Baca juga: Manfaat Luar Biasa Ubi Ungu, Mencegah Sembelit & Penyakit Mudah Lupa Ketika Hamil

Apa Yang Menyebabkan Sembelit?

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air. Ini boleh terjadi jika otot-otot di kolon berkontraksi secara perlahan atau kurang, menyebabkan najis bergerak terlalu perlahan dan kehilangan lebih banyak air.

Ini adalah beberapa penyebab sembelit yang paling biasa:

  • Faktor usus terhalang disebabkan seperti ketumbuhan (kanser ataupun ketumbuhan abnormal), angin pasang (hernia), kesan organ pelvis
  • Faktor endokrin (hormon) dan elektrolit seperti hipotiroid, kurang kalsium, potassium
  • Faktor neurologi seperti masalah cakera tulang belakang (cakera tergelincir atau terkeluar), penyakit “Multiple sclerosis”, strok
  • Kesan ubat seperti ubat opiod, ubat dementia
  • Faktor dubur seperti luka pada dubur
  • Faktor nutrisi seperti kurang serat, kurang minum air

Masalah sembelit ini juga kerap berlaku pada wanita yang sedang hamil ya. Kehamilan membawa perubahan hormon yang boleh membuat seorang wanita lebih mudah diserang sembelit kerana rahim boleh memampatkan usus lalu melambatkan laluan makanan.

Cara Merawat Sembelit Tanpa Makan Ubat

Kredit: thelist.com

Dalam kebanyakan kes, sembelit sembuh tanpa sebarang rawatan atau memberi risiko kepada kesihatan. Petua hilangkan sembelit yang mudah adalah melakukan perkara berikut:

  1. Melakukan lebih banyak senaman
  2. Makan lebih banyak serat
  3. Minum lebih banyak air.

Biasanya, julap digunakan untuk merawat sembelit tetapi harus digunakan dengan berhati-hati dan hanya apabila perlu. Dalam kes yang lebih berat, pesakit mungkin memerlukan ubat preskripsi dari doktor berdasarkan punca sembelit tersebut.

Buat ibu hamil dan menyusu badan, sekiranya anda ingin mendapatkan ubat dari farmasi, pastikan ia selamat untuk bayi. Rujuk doktor atau semak di aplikasi theAsianparent mengenai keselamatan ubat tersebut terlebih dahulu.

Contohnya, bisacodyl digunakan untuk merawat sembelit dan juga boleh digunakan untuk membersihkan usus sebelum pemeriksaan usus / pembedahan. Namun ia tidak boleh digunakan oleh wanita hamil dan menyusu badan.

Bila Anda Perlu Berjumpa Doktor

Kredit: freepik.com

Hubungi doktor sekiranya anda mengalami sembelit secara tiba-tiba dengan sakit perut, kekejangan ataupun tidak boleh mengeluarkan apa-apa gas atau najis setelah beberapa lama. Sila buat panggilan jika:

  • Sembelit adalah satu masalah baru untuk anda.
  • Ada darah dalam najis.
  • Kehilangan berat badan secara tiba-tiba.

Ada beberapa komplikasi lain yang boleh berlaku sekiranya sembelit dibiarkan menjadi lebih serius, antaranya:

  • pendarahan rektum.
  • fisur dubur, atau koyakan di anus.
  • buasir, atau bengkak, keradangan saluran pembuluh darah pada rektum.

Dapatkan rawatan segera sekiranya masalah sembelit berlarutan ya. 

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Artikel ini telah disadur dari Doctor On Call, atas kebenaran mereka.

Baca juga: Petua Dan Cara Untuk Merawat Sembelit Di Rumah Semasa Hamil

Penulis

Beto Rahman