Cara hilangkan gatal di kemaluan wanita ada banyak termasuklah dengan menggunakan cara tradisional. Kegatalan pada kemaluan pastinya mengundang rasa tidak selesa buat para wanita apatah lagi ketika sedang berada di luar sama ada bekerja atau sedang meluangkan masa dengan rakan atau keluarga. Bagi perkongsian kali ini, the Asianparent kongsikan cara hilangkan gatal di kemaluan wanita.
Cara Hilangkan Gatal Di Kemaluan Wanita: Ketahui Punca
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya gatal-gatal pada kemaluan adalah perkara yang sangat biasa dan bukan sahaja dialami orang dewasa, namun ia turut dialami oleh kanak-kanak.
Terdapat banyak punca atau sebab mengapa vagina terasa gatal. Dan bukanlah semuanya menjadi penyebab masalah yang serius. Anda perlu tahu seberapa kerap ia terjadi supaya anda dapat mengenal pasti punca dan cara mengatasinya.
1. Penggunaan Bahan Kimia
Kemaluan wanita gatal seperti digigit semut ini boleh terjadi kerana penggunaan bahan kimia yang terdapat di dalam kondom, krim vagina, pembersih vagina atau penggunaan panty liner atau pad.
Disebabkan itu sekiranya anda tahu jika anda mempunyai vagina yang sensitif penting untuk anda memilih produk-produk yang bebas dari bahan pewangi atau caroi produk yang organik.
2. Vaginal Candidiasis
Atau dikenali sebagai kandidiasis vagina merupakan satu jangkitan yang disebabkan oleh penghasilan yis (yeast) yang berlebihan. Antara simptom kandidiasis vagina ini adalah rasa sakit, kemerahan dan kegatalan di bahagian vagina serta keputihan yang berlebihan.
Mengikut satu kajian, lebih 75% wanita akan mengalami sekurangnya satu episod kandidiasis vagina ini. Dan lebih 45 % wanita akan mengalami dua episod jangkitan ini.
Malah wanita hamil juga mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk terkena jangkitan kandidiasis vagina. Ubatan di kaunter farmasi dapat mengurangkan kegatalan vagina akibat jangkitan ini, tapi ia tidak boleh digunakan selalu.
3. Bakteria Vaginosis
Kehadiran bakteria yang sihat adalah biasa di bahagian vagina. Namun dengan kehadiran bakteria jahat akan mengakibatkan jangkitan dan rasa gatal-gatal. Selain daripada rasa gatal, nyeri dan kemerahan, anda juga akan mengalami pengeluaran keputihan yang pekat dan bau yang kurang enak.
4. Penyakit Kelamin (STD)
Penyakit kelamin seperti Herpes, klamidia, trikomoniasis dan gonore adalah beberapa jenis penyakit kelamin yang juga boleh menyebabkan vagina gatal. Namun ini adalah antara penyakit yang dikira serius. Untuk mengetahuinya anda perlu berjumpa doktor bagi mengambil sampel dari vagina anda. Barulah dapat dilakukan ujian.
5. Menopaus
Dengan pengurangan estrogen di dalam sistem reproduksi wanita ia dapat menyebabkan dinding vagina menjadi nipis dan kering, lantas mengakibatkan iritasi dan vagina gatal. Selain itu ibu yang menyusu juga boleh menghadapi masalah yang sama.
6. Psoriasis
Untuk wanita yang mengalami masalah kulit seperti psoriasis juga mempunyai risiko alami kegatalan di bahagian sulit. Psoriasis adalah satu penyakit kulit yang tiada penawarnya, ia adalah kegatalan pada bahagian siku, lutut dan kulit kepala. Namun ia lebih kepada bermusim, datang dan pergi pada sesuatu masa.
7. Kanser Vulva
Kegatalan vagina yang dialami juga ada kemungkinan dari kanser vulva. Kanser vulva adalah kanser kemaluan luar yang meliputi kawasan lubang untuk membuang air kecil, lubang faraj, klitoris, labia majora dan labia minora. Sekiranya ini menjadi sebabnya, rawatan yang khusus perlu dilakukan segera.
Ada kemungkinan doktor akan menyarankan pembedahan bagi membuang kanser tersebut. Namun ia hanya biasa terjadi dikalangan wanita yang berusia 60 tahun ke atas. Dan kanser ini juga terbahagi kepada empat tahap yang berbeza. Tahap satu kebiasaannya hanya kan menerima rawatan biasa tanpa pembedahan. Berbeza dengan tahap dua, tiga dan empat yang mana memerlukan pembedahan dan kemoterapi.
Petua Menghilangkan Miss V Gatal-Gatal
Orang dulu-dulu ajar antara cara menghilangkan gatal pada kemaluan wanita ialah dengan menggunakan air garam. Salah satunya adalah dengan menggunakan kain yang direndam dalam larutan garam. Anda perlu menyediaka garam kasar, air suam dan mangkuk atau baldi.
Langkah-langkah:
1. Sediakan air dalam mangkuk kemudian tambahkan beberapa sudu garam.
2. Rendam kain dalam larutan garam sehingga basah kemudian perah sedikit.
3. Letakkan kain itu di kemaluan anda dan tekan dengan lembut untuk elakkan sebarang kecederaan.
4. Lakukan beberapa kali sehingga gatal-gatal hilang.
Tapi cara ini mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Malah merawat menggunakan air garam juga mungkin akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Kadangkala, air garam boleh membuatkan kulit menjadi semakin pedih sehingga menyebabkan kulit vagina anda melecet dan semakin gatal. Tak cukup dengan itu, ia juga mungkin boleh menganggu keseimbangan pH di kawasan itu kerana ia membuatkan vagina menjadi kering.
Cara Tradisional Menghilangkan Miss V Gatal-Gatal
Selain menggunakan air garam, anda juga boleh menggunakan beberapa cara tradisional ini untuk menghilangkan kegatalan pada kemaluan anda.
1. Berendam Air Suam
Rendam kemaluan dalam air suam boleh meredekan rasa gatal di sekitar kemaluan atau kelengkang. Ini kerana air suam membantu mengembangkan pembulu darah sekaligus meningkatkan peredaran cytokines yang terperangkap dan menyebabkan keradangan dan rasa gatal. Pastikan air anda tidak terlalu hangat, hanya suam-suam kuku.
2. Menggunakan Oatmeal Koloid
Menggunakan oatmeal koloid untuk mandi juga boleh menjadi salah satu cara untuk mengatasi gatal pada kemaluan wanita secara semula jadi kerana oatmeal ini mempunyai kemampuan untuk meredakan keradangan kulit.
Cara menggunakannya ialah larutkan oatmeal secukupnya ke dalam tub mandi yang mengandungi air suam. Kemudian gunakan air itu untuk berendam sekurang-kurangnya 20 minit.
3. Menggunakan Minyak Kelapa
Jika anda mengalami kegatalan pada Miss V, sapukan sedikit minyak kelapa. Minyak kelapa mempunyai pelembap semula jadi untuk kulit yang kering dan dapat meredakan rasa gatal. Selain itu, ia juga mengandungi antibakteria dan antimikrod.
Sapukan minyak kelapa di kawasan luar vagina secukupnya. Pakai pantyliner supaya minyak kelapa tidak meninggalkan bekas pada pakaian dalam anda.
4. Kompres Dingin
Menggunakan kompres dingin pada luar vagina juga boleh membantu menghilangkan rasa gatal pada kemaluan wanita. Tapi jangan gunakan kiub ais secara langsung kepada kulit anda. Gunakan bungkusan kiub ais atau rendam tuala dalam air dingin.
Tekan bungkusan kiub ais atau tuala yang direndam pada kawasan kemaluan anda selama 10 minit atau sehingga rasa gatal berkurangan. Keringkan kemlauan anda selepas melakukan kompres ini.
Bila perlu berjumpa doktor?
Sekiranya anda mengalami masalah kegatalan dalam tempoh yang lama dan keputihan anda mulai berubah warna serta berbau bolehlah segera rujuk kepada doktor. Sementara gejala seperti itu mungkin normal bagi sesetengah wanita namun ia perlu dipantau dengan teliti.
Sebagai wanita, kita perlulah menjaga kebersihan Miss V kerana ia merupakan antara bahagian badan yang paling sensitif. Mungkin petua menghilangkan kegatalan pada kemaluan wanita yang disenaraikan mungkin berkesan untuk sesetengah wanita dan tidak berkesan untuk yang lain.
Oleh itu, ia penting untuk anda meminta nasihat daripada doktor tentang apa yang perlu anda lakukan. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 17 Pantang Larang Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang Dan Tips Diet Yang Betul
Baca juga: Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut: Punca HFMD, Simptom & Cara Merawat HFMD Dengan Cepat
Baca juga: Cara Mengesan Kanser Payudara, Buat Dua Perkara Ini Setiap Bulan Di Rumah Sebagai Langkah Awal!