Bayi dan anak kecil memang biasa alami alahan hidung. Jika sejuk sikit atau pergi tempat berhabuk, mulalah hidung mereka dalam keadaan tidak selesa, jadi disebabkan itu ibu patut cuba cara mengatasi hidung tersumbat ini.
Situasi ini boleh membuatkan bayi atau anak kecil tidak selesa, mengganggu tidur mereka, dan mengurangi kemampuan bernafas dengan baik. Penting untuk ibu ayah faham akan punca hidung tersumbat pada bayi dan cara mengatasinya untuk memberikan keselesaan dan kelegaan kepada bayi dan anak kecil yang sedang mengalami gejala tersebut.
Isi Kandungan
Punca Hidung Tersumbat
Berikut adalah antara punca masalah hidung tersumbat yang sering terjadi di kalangan bayi dan anak kecil:
-
Jangkitan Saluran Pernafasan Atas: Jangkitan virus seperti flu dapat menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan atas, termasuk hidung. Ini dapat menyebabkan penghasilan lendir berlebihan dan sekaligus menyumbatkan hidung.
-
Alergi: Bayi juga boleh mengalami hidung tersumbat akibat alergi terhadap debu, bulu haiwan, atau bahan kimia tertentu. Alergi ini boleh menyebabkan keradangan pada hidung dan mengaktifkan penghasilan lendir atau hingus secara berlebihan.
-
Hidung Tersumbat Sejak Lahir: Sesetengah bayi mungkin mengalami hidung tersumbat sejak lahir akibat saluran hidung yang sempit atau bengkak. Situasi ini biasanya tidak serius dan boleh pulih seiring pertumbuhan bayi.
- Kualiti udara yang buruk: Pengudaraan dalam rumah atau persekitaran yang teruk dan tercemar menyebabkan habuk mudah terperangkap. Ibu ayah yang merokok juga boleh menyebabkan bayi kerap tidak sihat dan mengundang penyakit.
- Deviated Septum atau septum hidung: ketidaksejajaran dinding nipis kedua-dua lubang hidung menjadikan saluran hidung bayi lebih kecil dan menganggu ruang pernafasan disebabkan hingus.
Tanda Hidung Bayi Tersumbat
Agak sukar sebenarnya untuk kita mengenal pasti sama ada si manja mengalami masalah hidung tersumbat, melalui beberapa tanda yang ketara ini mungkin dapat membantu anda.
Antara tanda hidung bayi tersumbat ialah:
- Mempunyai lendir hidung atau hingus yang likat dan pekat.
- Sniffling iaitu bernafas dengan cepat dan berulang
- Perubahan warna pada lendir hidung atau hingus
- Sukar ketika menghisap susu atau makan
- Sukar untuk menelan
- Batuk
- Bunyi dengkuran atau nafas berbunyi semasa tidur.
Cara Mengatasi Hidung Tersumbat pada Bayi:
Bila anak kecil atau bayi alami masalah hidung tersumbat, sudah semestinya mereka akan rasa tidak selesa dan sukar untuk bernafas dengan betul. Ibu patut cuba cara ini untuk mengatasinya:
1. Membersihkan hidung dengan air garam
Titiskan beberapa titis larutan air garam yang hangat suam ke dalam hidung bayi menggunakan picagari atau penyedut hingus khusus untuk bayi. Air garam boleh membantu melarutkan lendir dan mengurangkan keradangan pada saluran hidung. Pastikan ibu menggunakan air garam yang disteril.
2. Menyedut lendir dengan penyedut hidung
Gunakan penyedut hidung yang dihasilkan khusus untuk bayi untuk mengeluarkan lendir yang berkumpul di dalam hidung. Pastikan ibu tidak menyedut dengan terlalu kasar agar tidak menyebabkan ketidakselesaan pada bayi.
3. Menggunakan humidifer atau pelembap udara
Meningkatkan kelembapan udara dapat membantu melarutkan lendir dan melegakan hidung tersumbat. Gunakan humidifier di ruangan bayi atau mandikan bayi dengan air panas suam untuk mencipta persekitaran yang lebih lembap.
4. Menaikkan posisi tidur
Meninggikan kepala bayi saat tidur dengan menggunakan bantal bayi atau membuatkan posisi tidur bayi yang sedikit mengiring dapat membantu mengurangkan hidung tersumbat dan memudahkan pernafasan.
5. Menjaga kebersihan persekitaran
Jaga kebersihan persekitaran bayi dengan rutin membersihkan debu dan menjaga udara segar. Hindari bayi daripada asap rokok atau bahan kimia yang dapat menjadi punca alergi pada bayi.
6. Mandi dengan air suam
Cara hilangkan hidung tersumbat ini paling berkesan dan selamat. Ibu boleh cuba mandikan anak dengan air suam serta beberapa hirisan lemon dapat membantu mencairkan kahak dan melegakan hidung tersumbat.
Biarkan anak berendam dalam bath tub selama 5-10 minit sambil membersihkan hidung anak. Cara ini juga sesuai digunakan kalau anak demam.
7. Melakukan urutan lembut
Urutan lembut yang dilakukan pada bayi di sekitar batang hidung, tulang pipi dan kening juga adalah salah satu cara mengatasi hidung tersumbat. Elakkan menggunakan sebarang minyak sapuan yang mengandungi kayu putih atau mentol kerana sangat berbahaya bagi kanak-kanak berusia 2 tahun kebawah.
8. Gunakan minyak cengkih
Penggunaan bahan rempah-ratus dari dapur lebih selamat dan murah. Minyak cengkih adalah salah satu cara untuk melegakan selesema, batuk dan mencairkan kahak. Kerap sapukan pada bahagian dada dan calit sedikit di batang hidung tersumbat.
9. Membersihkan kepingan lendir atau hingus
Jika dibiarkan lama, hingus akan menjadi kering dan menghalang anak bernafas dengan lancar. Pastikan ibu sentiasa membersihkan kepingan tersebut menggunakan tisu basah dengan perlahan dan lembut. Jangan guna tisu kering yang kasar kerana bimbang kulit bayi terluka dan berdarah.
10. Rujuk dengan doktor
Jika masalah hidung tersumbat pada bayi tidak berkesudahan selepas beberapa hari atau jika bayi menunjukkan gejala lain yang lebih membimbangkan, segeralah berjumpa dengan doktor. Pakar akan dapat memberikan pendapat yang tepat berdasarkan penyebab dan situasi spesifik yang dialami bayi.
Alternatif Lain Cara Mengatasi Hidung Tersumbat
Seperti yang kita tahu, bayi di bawah satu tahun tiada ubat selesema. Jadi apa yang kita boleh buat untuk meredakan selesema mereka salah satunya adalah dengan menggunakan rawatan di rumah atau secara semula jadi.
Kali ini kami kongsikan petua menggunakan lemon dan garam untuk anda cuba letak di bilik tidur anak atau jika dia tidur bersama anda boleh letakkan di bilik anda.
Lemon & garam boleh kurangkan hidung tersumbat anak kecil
Lemon biasanya dijadikan sebagai bahan minuman dan ia juga terbukti sangat berkhasiat untuk banyak lagi perkara lain. Keistimewaan lemon yang tinggi kandungan antioksidan membuatkan ramai yang menjadikannya sebagai salah satu alternatif dalam meningkatkan kesihatan diri.
Sekiranya lemon dijadikan sebagai minuman, ia baik untuk membuang toksin dalam tubuh, bagus untuk sistem pencernaan, menyeimbangkan tekanan darah serta mengatasi bau mulut.
Namun, ada satu cara lain yang anda boleh buat iaitu hanya meletakkan hirisan sebiji lemon dan garam dalam bilik akan memberi manfaat yang sangat berbeza.
Jadi, apakah kesan jika anda letak lemon dan garam dalam bilik sendiri atau anak?
1. Meningkatkan kualiti udara
Lemon dan garam bermanfaat menyerap sisa bau cat dengan cepat malah bau tidak enak dalam udara. Contohnya, jika rumah anda baru dicat, ada mereka yang tidak tahan dengan bau itu.
Jadi untuk meneutralkan bau berkenaan, anda boleh letakkan lemon dan garam di ruangan tersebut.
2. Menyerap bakteria
Selain menyerap bau dan meneutralkan udara, lemon dan garam juga berfungsi menyerap bakteria dalam udara dan menyegarkan udara yang kotor dalam bilik anda.
3. Atasi stres, rasa cemas
Lemon dan garam juga berfungsi mengatasi stres disebabkan itu ia sesuai dijadikan bahan aromaterapi di rumah. Ia boleh mengurangkan stres, mengurangkan kegelisahan selain atas rasa cemas kerana mempunya sifat terapeutik yang boleh bertindak balas sebagai antidepresan untuk tubuh.
4. Tingkatkan fokus minda
Berdasarkan kajian di Jepun, bau lemon dan rosemary di setiap pagi dalam bilik akan meningkattkan peranan kongnitif pada pesakit Alzheimer. Jadi jika anda mahu anak fokus belajar di sekolah, boleh cuba letakkan aroma lemon dalam biliknya.
Lemon juga boleh membangkit mood positif anak dan mengurangkan rasa stres mereka ketika belajar.
5. Mengusir serangga di rumah
Sakit hati kadang kala bila tengok semut berkerumun di rumah terutamanya di kawasan dapur yang biasanya kita letakkan barang makan. Pantang lepa ada saja yang hurung makanan kita. Jadi ini caranya untuk mengusir serangga di rumah anda menggunakan cara yang lebih natural:
- Letakkan hirisan lemon ke dalam mangkuk
- Tambah sedikit air
- Taburkan garam kasar secukupnya
- Letak di tempat yang banyak serangga
6. Menurunkan tekanan darah
Menghidu bau lemon juga boleh menurunkan tekanan darah kerana kemampuannya yang mengurangkan kerentanan air dan penyerapan mineral dalam tubuh badan boleh ditingkatkan.
7. Atasi hidung tersumbat
Hidung yang tersumbat memang membuatkan kita atau bayi serta kanak-kanak rasa tidak selesa. Nak bagi ubat pada yang bayi memang tidak boleh. Jadi apa kata anda cuba letak lemon dan garam dalam bilik tidur anak. Atau jika dia tidur bersama anda boleh letak dalam bilik tidur anda.
Sifatnya yang antibakteria membantu hidung tersumbat menjadi lega. Jadi cuba anda hiris lemon dan letakkan sedikit garam kadar dan biarkan ia dalam bilik tidur semalaman. Selain atasi hidung tersumbat, ia akan membaiki sistem pernafasan dan membawa energi positif alam ruangan bilik tidur anda.
Hidung tersumbat pada bayi adalah situasi yang umum terjadi dan boleh jadi disebabkan oleh berbagai faktor seperti jangkitan, alergi, atau saluran hidung yang sempit. Dalam kebanyakan kes, hidung tersumbat boleh diatasi dengan membersihkan hidung secara lembut, menjaga kebersihan persekitaran, dan meningkatkan kelembapan udara.
Namun, jika gejala kekal sama tiada perubahan atau semakin membimbangkan, sebaiknya rujuk doktor untuk mendapatkan pandangan yang sesuai. Kebersihan dan rawatan yang baik dapat membantu bayi merasa selesa dan mendapatkan bantuan pernafasan yang diperlukan.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selain Makan Ubat, Doktor Ini Kongsikan 5 Cara Elak Anak Kerap Selesema!
Baca juga: “Kerana kesan ubat selsema, malam tadi anak hampir membunuh saya!”
Baca juga: Panduan Lengkap Urutan Bagi Melegakan Masalah Hidung Bayi Tersumbat & Selesema