Setelah penat bersalin dan berpantang, kini sudah tiba masanya untuk anda menumpukan pada bayi baru lahir. Tapi tiba-tiba, doktor kata berat bayi anda kurang? Alamak, risau pula hati. Anda kena tahu cara menaikkan berat badan bayi baru lahir agar cepat gemuk.
Barulah mereka boleh membesar dengan bagus!
Sebenarnya tak susah mana pun. Ada beberapa cara untuk membantu anda agar nanti apabila anda membawa bayi ke klinik rawatan untuk check-up seterusnya, jururawat atau doktor tidak membebel panjang.
Ini antara 5 cara menaikkan berat badan bayi baru lahir agar cepat gemuk yang anda boleh praktikkan.
5 cara menaikkan berat bayi baru lahir
1# Cara menaikkan berat badan bayi: Beri bayi minum susu ibu
Perkara pertama yang ibu perlu fikir jika ingin tumbesaran bayi cepat adalah memberikannya minum susu ibu. Seperti yang kita tahu, susu ibu merupakan sumber alami yang sangat baik untuk kesihatan bayi.
Berikut merupakan tips yang lebih tepat dalam beri susu ibu pada bayi baru lahir.
- Pastikan ibu beri susu mengikut jadual atau ketika bayi lapar. Adalah lebih baik, jika ibu memberikan bayi baru lahir minum susu secara terus dari payudara ibu itu. Kecuali bayi pramatang atau bayi bibir sumbing yang sukar minum secara terus dari payudara ibunya.
- Jika mengalami masalah untuk bayi minum susu, minta bantuan pakar laktasi untuk membantu selama berada di hospital.
- Jika bayi masih kekok minum susu melalui payudara, ibu boleh perah susu tersebut dan masukkan ke dalam botol susu yang telah disteril.
- Jangan biarkan bayi menangis kerana lapar.
- Jika ibu alami jangkitan puting atau mastitis, segera dapatkan rawatan kerana jika tidak dirawat segera, ia akan membuatkan bayi menolak minum susu ibu lantas menyebabkan berat badannya menurun.
2# Cara menaikkan berat badan bayi: Pertimbangkan mungkin bayi mahu minum susu formula
Benar, sebilangan bayi memang ada yang tak boleh terima susu ibu. Hal ini terjadi kerana si kecil tidak dapat mencerna susu ibu dengan baik.
Bagi membantu, ibu boleh meminta nasihat dari doktor untuk menentukan jenis susu formula khusus yang sesuai untuk bayi baru lahir.
Beberapa jenis susu boleh membantu memperbaiki pencernaan bayi yang bermasalah dan bantu meningkatkan berat badan bayi serta kecerdasan otaknya.
Setelah bayi minum susu formula, ibu tetap perlu perhatikan sama ada si kecil itu alergi terhadap mana-mana susu formula dan tidak sembelit.
3# Cara menaikkan berat badan bayi: Jaga waktu tidur si kecil
Secara lumrahnya, aktiviti bayi baru lahir adalah makan dan tidur. Ia merupakan dua perkara yang dapat menaikkan berat badan bayi secara sempurna.
Berikut tips yang boleh diikuti:
- Mengikut pola waktu tidur bayi iaitu 16 jam sehari. Namun, ibu harus menjaga si kecil supaya tetap minum susu ibu pada waktu yang sesuai. Jangan biarkan bayi kelaparan.
- Menyediakan ruang tempat tidur yang selesa supaya si kecil dapat rehat dengan nyaman.
- Mendapatkan katil bayi yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang terbaik supaya dapat hindari dari sebarang bahaya.
4# Tenangkan bayi segera jika menangis
Bayi yang selalu merengek atau menangis cenderung sukar naik berat badan. Malah ia berkai rapat dengan bayi lapar dan tidur yang tidak mencukupi.
Makanya, jika bayi merengek dan menangis segera tenangkan si kecil itu. Berikut tips yang boleh membantu.
- Ketika bayi merengek atau menangis, lakukan kondisi seperti dia di dalam rahim iaitu bedung badannya. Ini membantu bayi jadi lebih tenang sehingga berhenti menangis.
- Jika bayi masih tidak berhenti menangis, peluk si kecil itu ke dada anda dan ulas lembut tubuh halusnya. Ini boleh membantu tenangkan bayi dengan mudah. Ataupun putarkan lagu berentak perlahan atau selawat ke atas Nabi Rasulullah agar si kecil itu terbuai dengan kelunakan suara ibunya.
5# Jaga kebersihan kulit bayi
Biasanya, bayi menangis juga dalah kerana kulit badannya lembap, berpeluh dan tidak sihat.
Sebab itu, perawatan kulit adalah sangat penting supaya si kecil lebih selesa untuk tidur dan minum susu. Sekaligus bantu menaikkan berat badannya.
Berikut tips penjagaan kulit bayi baru lahir:
- Memilih fabrik pakaian bayi dan bedung yang selesa. Selain elakkan pakaian yang boleh menyebabkan kulit gatal dan jangkitan.
- Pilih jenis baju dengan bahan cotton yang lembut untuk kulit si kecil.
- Mandikan bayi secara teratur supaya kulitnya tidak kering, tidak panas dan bayi tidak terkena sebarang penyakit lain.
- Jika kulit bayi dijaga dengan baik, sekaligus dapat meningkatkan berat badan si kecil itu.
- Hindari menggunakan semua jenis produk kulit bayi secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan infeksi.
Justeru, cara merawat bayi baru lahir agar cepat gemuk juga adalah kehidupan ibu bapanya harus harmoni, berkasih sayang, toleransi dan dalam keadaan yang baik supaya kesihatan serta berat bayi meningkat dengan sempurna.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selalu Dukung Bayi Boleh Buat Bayi Jadi Manja? Betul Ke? Ini Penjelasannya