Masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan ibu ketika mengandung dan selepas bersalin ialah buasir. Secara umumnya, ia terjadi disebabkan oleh salur darah di dalam dubur menjadi bengkak dan terkeluar semasa membuang air besar serta diiringi dengan rasa rasa sakit. Justeru, apakah cara merawat buasir dengan berkesan?
Bagi ibu mengandung, peningkatan hormon progesteron boleh menyebabkan dinding salur darah di bawah rahim menjadi kendur. Selain itu, tekanan daripada berat bayi yang semakin membesar turut membawa kepada masalah buasir.
Cara merawat buasir bagi ibu hamil atau dalam pantang
Manakala buasir yang berlaku selepas bersalin adalah disebabkan oleh proses meneran bagi mengeluarkan bayi. Sebab itulah ibu-ibu disarankan untuk mengamalkan teknik pernafasan dan meneran yang betul. Ia sangat membantu di saat kritikal bagi mengeluarkan bayi.
Ada dua jenis buasir yang sering terjadi iaitu:
#1. Buasir dalaman
Buasir dalaman terjadi apabila salur darah vena menjadi bengkak di lapisan dalam rektum. Ibu mungkin menyedari berlaku pendarahan tanpa rasa sakit selepas membuang najis.
Ada juga pesakit berasa seperti unjuran terkeluar daripada lubang dubur selepas membuang air besar. Biasanya ia akan hilang sendiri atau juga perlu menolak semula ke dalam.
#2. Buasir luaran
Ia merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Biasanya anda akan rasa sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan yang dirasai mungkin berbeza mengikut individu. Ada yang berasa tidak selesa, panas atau teramat pedih.
Manakala sakit yang kuat mungkin terjadi kerana salur darah tersumbat oleh darah beku.
Manakala antara tanda-tanda buasir ialah:
- Ibu kerap mengalami masalah sembelit
- Rasa sakit, pedih, panas dan gatal di sekeliling dubur
- Keluarnya darah merah terang selepas membuang air
- Terdapat benjolan daging kecil di sekitar tempat membuang najis. Ada yang terasa sakit apabila disentuh dan ada juga tidak.
Cara merawat buasir dengan lebih selamat
#1. Mengambil makanan yang tinggi serat
Bagi mengelakkan berlakunya sembelit secara berulang, ibu dinasihatkan untuk mengambil makanan yang tinggi kandungan serat. Misalnya sayur hijau seperti sawi, bayam dan juga biji chia.
Ramai tidak mengetahui bahawa bayam mengandungi magnesium yang boleh mengendurkan otot-otot usus. Chia seed pula adalah makanan tambahan tinggi dengan serat.
#2. Minum air masak mencukupi
Kadang-kadang ibu terlupa dan tidak sempat untuk mengambil air kosong dalam kuantiti yang disarankan setiap hari. Cuaca panas di Malaysia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk kerana tubuh berisiko mengalami dehidrasi.
Selain mudah diserang rasa sakit kepala akibat kekurangan air dalam badan, anda juga akan cenderung mengalami masalah sembelit dan buasir.
Justeru, ambil air kosong sebanyak 8 gelas sehari bergantung kepada situasi.
#3. Cuba petua kampung
Menurut perkongsian oleh seorang ibu, ada seorang peniaga Cina telah mengesyorkan 1 paket kayu kering yang sudah siap dicampur dengan manjakani. Caranya perlu rebus dan minum sahaja.
Dia amalkan air tersebut dan ditambah dengan herba keletik kering kerana penjual ubat tradisional yang mengesyorkan.
Selain itu, ibu hendaklah mengelakkan daripada berlakunya sembelit secara berulang. Amalkan pengambilan buah-buahan seperti betik, mangga atau limau bagi membantu melancarkan proses penghadaman.
Tips mengurangkan rasa sakit buasir
Manakala bagi ibu yang sudah mengalami buasir, ada beberapa tips untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Antaranya ialah:
- Elakkan menggaru di tempat yang gatal kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan
- Guna pek ais bagi melegakan rasa sakit di sekitar dubur dan kurangkan bengkak
- Lap dan keringkan dengan lembut selepas membuang air besar
- Mandi air panas untuk kurangkan rasa gatal dan sakit
- Sekiranya ada buasir yang terkeluar, tolak secara perlahan-lahan dengan jari yang bersih selepas anda membuang air besar atau mandi
Cara merawat buasir adalah berbeza mengikut keadaan seseorang. Sekiranya anda sudah mencuba beberapa tips di atas, mengambil ubat daripada klinik dan masih lagi terasa begitu sakit, adalah lebih baik untuk segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
Sumber: Dr Bidan Confinement Care
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Manfaat Luar Biasa Ubi Ungu, Mencegah Sembelit & Penyakit Mudah Lupa Ketika Hamil