Salah satu fasa anak yang menggerunkan bagi mana-mana ibu dan bapa ialah ketika bayi sedang tumbuh gigi. Ketika fasa ini, si manja pasti akan sering mengamuk akibat dari ketidakselesaan pada gusi. Bahkan, bayi yang selama ini agak pasif dan mendengar kata juga pasti akan membuatkan ibu dan ayahnya tidak lena tidur akibat dari ketidakselesaan tersebut!
Tetapi, tahukah anda, bahawa anda tidak perlu mengorbankan ketenangan dan keselesaan hari-hari anda, terutamanya pada waktu malam? Dengan tips yang akan kami kongsikan tentang bagaimana anda boleh membantu si manja yang sedang mengamuk dek kerana pertumbuhan gigi, pasti anda akan senang hati.
Sebelum itu, ketahuilah apa yang anda TIDAK patut lakukan sekalipun ramai orang di sekeliling anda yang telah berkongsi cara mereka!
Elakkan Melakukan Perkara Ini Ketika Bayi Sedang Tumbuh Gigi!
#1. Menyapu alkohol pada gusi si manja
Memanglah sifat alkohol itu sejuk, tetapi janganlah anda menyapu alkohol pada gusi si manja! Seperti yang kita ketahui, alkohol ialah bahan kimia dan apabila disapu di tempat yang mempunyai luka atau ketidakselesaan, ia akan menyebabkan kepedihan. Tambahan pula, ia mungkin diserap melalui gusi bayi ke dalam saluran darah anak, lalu menyebabkan keracunan.
#2. Menggunakan cecair yang menyebabkan kebas
Sesetengah ibu bapa pasti akan memilih untuk menggunakan teething gel untuk melegakan tidak selesa anak. Tetapi, sekiranya cecair tersebut boleh menyebabkan kebas, seeloknya anda janganlah menggunakan ia! Kalau si manja tertelan cecair tersebut, ia boleh mengebaskan salur tekak anak dan membuatkan mereka susah untuk menelan makanan dan minuman. Tentulah si manja akan berhadapan risiko untuk tercekik pula sekiranya mereka tidak dapat menelan dengan mudah.
#3. Memberi si manja tablet homeopati pertumbuhan gigi
Ubatan ini adalah ubatan yang tidak terkawal, maka tiada dos yang ditetapkan untuk anda beri kepada si manja. Kadang-kala, ubatan ini juga mungkin mengandungi bahan seperti belladonna yang merupakan halusinogen.
#4. Rantai pertumbuhan gigi
Ya, rantai pertumbuhan gigi adalah berbeza dengan cincin pertumbuhan gigi. Secara amnya, pasti kita ketahui bahawa rantai dipakaikan di leher tetapi dengan usia si manja yang masih terlalu muda, ibu dan ayah perlulah mengelakkan anak memakai rantai dalam apa jua bentuk sekalipun kerana ia boleh menjadi punca leher si manja terjerut. Waspadalah!
Tenangkan Bayi Yang Sedang Tumbuh Gigi Dengan Cara Ini
- Memberi mereka buah yang sejuk
Sekiranya si manja anda sudah tumbuh gigi, pasti mereka sudah menjangkaui umur di mana mereka sudah boleh makan. Oleh itu, anda boleh memberikan si manja anda makan buah-buahan yang lembut dan sejuk untuk mengurangkan radang kemerah-merahan pada gusi si manja, terutamanya di bahagian gusi yang gigi hendak tumbuh.
- Berikan si manja menggigit kain sejuk
Anda tidak perlu menggosok gusi si manja, sebaliknya anda boleh merendam kain tersebut dalam air dan memerahnya sehingga ia seakan-akan lembap. Kemudian, letakkan kain tersebut ke dalam peti sejuk. Setelah kain sejuk, anda boleh memberikan si manja untuk menggigit kain sejuk tersebut. Tetapi, jangan cuai! Kerana kain itu juga boleh menjadi punca si manja tercekik.
- Menggosok gusi si manja
Ketika anda senang dan mempunyai masa lapang, gunakanlah kain kasa yang lembap untuk menggosok gusi si manja bagi melegakan ketidakselesaan mereka. Lakukan ia dalam pergerakan pusingan (circular). Pergerakan ini bukan sahaja dapat menenangkan si manja, tetapi ia juga dapat melancarkan peredaran darah bagi menggalakkan pertumbuhan gigi berlaku dengan lebih cepat.
- Gunakan cincin pertumbuhan gigi
Cincin pertumbuhan gigi atau teething ring adalah cara yang sangat bagus untuk menenangkan si manja yang sedang mengamuk akibat ketidakselesaan pertumbuhan gigi. Kebanyakan cincin pertumbuhan gigi ini mempunyai warna-warna yang akan menarik minat bayi untuk terus menggunakannya, lagi-lagi apabila si manja faham bahawa ia adalah objek untuk melegakan rasa tidak selesa gusi mereka.
Tetapi, ibu dan ayah disyorkan untuk membeli cincin pertumbuhan gigi yang tidak mempunyai cecair di dalamnya kerana khuatir jika cincin pertumbuhan gigi tersebut bocor dan menyebabkan si manja tertelan cecair itu.
- Memberi si manja perhatian
Kadang-kala, si manja mungkin tidak mahukan barangan yang boleh melegakan ketidakselesaan. Sebaliknya, mereka lebih mahukan perhatian dan pujukan dari ibu atau ayah. Jangan pula anda rasa terbeban kerana perlu sentiasa memberi mereka perhatian, malah anda patut berasa bangga. Ini kerana si manja melihat anda sebagai comfort zone mereka.
Semoga dengan perkongsian kami ini anda dapat membantu menenangkan ketidakselesaan si manja anda dan menikmati hari-hari anda dengan ketenangan. Best of luck, parents! 🙂
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Umur Berapa Bayi Tumbuh Gigi? Ini Jadual Lengkap Untuk Panduan Ibu Ayah