“Anak saya, Resha (7 tahun) susah nak fokus, cepat lupa. Malah cikgu sekolahnya juga mengadu Resha tak duduk diam dan selalu berlari ke sana ke mari. Kalau diajak bercakap, dia mengelak dan tak mahu dengar. Adakah semua ini ciri ciri anak ADHD?”
Soalan ini ditanya oleh Suri (36 tahun), ibu kepada Resha kepada pakar psikologi.
Suri merasakan ada sesuatu yang tak normal tentang anak tunggalnya. Untuk kepastian, Suri membuat keputusan untuk pergi ke klinik perkembangan kanak-kanak.
“Saya mahu tahu cara pengurusan yang betul sebelum terlambat.” kata Suri.
Isi Kandungan
Apa itu ADHD?
Membesarkan anak yang memerlukan perhatian yang khusus bukan perkara yang mudah. Ini termasuk membesarkan anak yang mengalami Attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD).
ADHD adalah keadaan di mana seseorang mempunyai kelakuan yang impulsif, hiperaktif dan kurang memberi perhatian.
Biasanya, ADHD boleh didiagnos ketika kanak-kanak. Tapi ia memerlukan pemerhatian dari ibu bapa. Mengesan lebih awal boleh memberikan pengurusan yang tepat untuk mengawal dan mengelakkan keadaan mereka menjadi lebih parah.
Tapi ramai ibu bapa yang salah diagnos. Menurut pakar psikologi kanak-kanak di Indonesia, Vera Itabiliana Hadiwidjojo,
“Kanak-kanak hanya boleh didiagnos dengan ADHD ketika mereka berusia lebih tiga tahun kerana kanak-kanak berumur bawah dua tahun memang selalunya sukar untuk duduk diam.”
Simptom ADHD Pada Anak
Simptom atau gejala ADHD biasanya sukar dikesan pada anak berusia kurang dari 5 tahun sehingga mereka mula memasuki alam persekolahan yang sebenar. Dari situ, ibu bapa boleh menilai berdasarkan prestasi akademik yang dijalankan di sekolah.
Terdapat tiga jenis ADHD iaitu:
1. Inattentive Type – Mempunyai simptom tidak boleh fokus lebih banyak berbanding simptom hyperaktif.
2. Hyperactive Type – Simptom hyperaktif lebih banyak daripada simptom masalah tumpuan.
3. Gabungan Inattentive & hyperactive type – Kanak-kanak ADHD mempunyai kedua-dua simptom hyperaktif dan tidak boleh fokus.
12 Ciri Ciri Anak ADHD, Ibu Bapa Perlu Ambil Tahu
1. Ciri Ciri Anak ADHD: Tak boleh duduk diam
Salah satu ciri anak ADHD yang boleh ibu bapa perhatikan adalah melihat tingkah laku anak yang tak boleh duduk diam dan hanya diam bila mereka tidur.
2. Melakukan aktiviti tak berfaedah
Ciri lain adalah anak ADHD sering melakukan aktiviti yang tak berfaedah.
“Contohnya, semasa bermain, anak biasanya boleh bermain dengan permainan lain walaupun permainan sebelumnya belum habis kerana mereka bosan. Tapi, anak ADHD akan terus bermain dengan benda yang sama.” kata Vera.
3. Selalu lupa
Ciri anak ADHD yang lain adalah mereka sering terlupa. Sama ada lupa untuk membawa barang atau susah untuk ingat sesuatu perkara.
4. Tak boleh berhenti bercakap
Tingkah laku anak ADHD yang boleh dilihat adalah mereka susah nak berhenti bercakap. Mereka sangat cerewet dan akan bercakap tanpa henti tapi tak mahu dengar bila orang lain bercakap.
5. Sukar mengikut arahan mudah
Anak ini sukar untuk mengikut arahan yang diberikan walaupun sebenarnya mudah sahaja. Mereka akan cenderung untuk membuat keputusan sesuka hati.
6. Mengelak atau tidak suka melakukan kerja
Kebanyakan anak ADHD mengelak atau tidak suka dan tidak mahu melakukan sesuatu tugasan yang memerlukan usaha mental yang tinggi seperti membuat kerja rumah.
7. Mudah terganggu
Apabila sedang membuat tugasan, mereka mudah terganggu dengan rangsangan luar atau pemikiran yang tidak berkait. Kadangkala tugasan yang mudah boleh jadi sukar untuk diselesaikan.
8. Memotong perbualan orang lain
Kadangkala, mereka cenderung untuk memotong perbualan orang lain. Topik tersebut boleh jadi tidak berkait langsung dengan topik semasa berbual.
9. Susah tunggu giliran
Mereka susah tunggu giliran dan tidak suka berbaris walaupun melihat ramai orang berada di sekelilingnya sedang melakukan perkara yang sama.
10. Mudah kecewa
Sangat sukar untuk menerima kenyataan kalau dia menjadi orang terakhir atau tak boleh siapkan tugasan. Mereka akan cepat memberontak secara tiba-tiba.
11. Gelisah atau ‘fidgeting’
Mereka suka membuat bunyi daripada sesuatu objek melebihi daripada kebiasaan orang lain. Contohnya, mengetuk meja, mengetik pen, memusingkan pen atau mengusik kawan di kelas.
12. Suka buat kerja laju-laju
Selain sukar menyiapkan tugasan ‘on time’, mereka suka melakukan sesuatu perkara laju-laju sehingga tulisan atau hasil kerja tidak kemas.
Jangan Salah Label Anak ADHD
Menurut Vera, untuk mendiagnos anak ADHD, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan terlebih dulu.
“Pakar psikologi mempunyai beberapa kriteria untuk mendiagnos anak ADHD. Contohnya, jika kami mempunyai 12 kriteria anak ADHD, mereka perlu menunjukkan sekurang-kurangnya enam daripada 12 kriteria ini.
Ibu bapa biasanya akan diminta untuk memerhatikan anak mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. Biasanya, saya akan memberikan list tentang apa yang perlu ibu bapa perhatikan.”
Kerana ini, Vera menyarankan, jika ibu bapa melihat ciri anak ADHD di atas pada anak, segera bawa anak berjumpa doktor supaya doktor boleh mendiagnos mereka dengan tepat dan memberikan cara untuk tangani anak ADHD dengan betul.
Sehingga kini, punca ADHD belum diketahui. ADHD boleh terjadi atas beberapa faktor risiko, sama ada dari genetik atau masalah di dalam kandungan sehingga mempengaruhi deria dan cara otak mereka bekerja.
Rawatan standard yang boleh diberikan termasuklah ubat-ubatan, pendidikan dan terapi pakar serta boleh mendapatkan bantuan menerusi kumpulan sokongan ADHD di Malaysia.
Anak ADHD tak boleh sembuh sepenuhnya, tapi dengan pengurusan yang betul, keadaan mereka boleh dikurangkan dan mereka boleh mengawal tingkah laku mereka menjadi lebih baik.
Artikel asal ditulis oleh Adisty Titania dan mendapat izin theAsianparent Indonesia untuk diterjemahkan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anda Tidak Sendirian Parents, Ada Kumpulan Sokongan ADHD Malaysia Jika Anda Perlukan Bantuan
Baca juga: Patutlah Anak Autisme Suka Tenung Sesuatu Lama-Lama, Rupanya Ini Yang Mereka Nampak!
Baca juga: Anak Makan Ikut Mood Bukannya Picky Eater, Ibu Wajib Tahu Bezakan Perkara Ini!