Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada perancangan untuk memperkenalkan semula sebarang sekatan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biarpun terdapat peningkatan jumlah kes covid 19 Malaysia baharu yang dicatatkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini KKM mengambil pendekatan memperkukuhkan pelan pengurusan covid 19 melalui lima strategi utama iaitu pengesanan awal; pemerkasaan komuniti melalui TRIIS; pemantauan fasiliti kesihatan; komunikasi risiko berkesan; dan pendigital sistem kesihatan melalui MySejahtera.
5 Strategi Utama KKM Banteras Covid 19 Malaysia
Melalui strategi pertama, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, pengesanan awal melibatkan sistem amaran awal, atau Heightened Alert System (HAS), selain meningkatkan pemantauan komuniti di lokasi sentinel seluruh negara, khususnya kes Influenza-like Illness (ILI).
Pemantauan juga akan dilakukan di hospital melibatkan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan pemantauan persekitaran air kumbahan dalam komuniti dan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Strategi kedua, kata Dr Dzulkifly, melibatkan pemerkasaan komuniti melalui TRIIS, iaitu Test (ujian), Report (lapor), Isolate (asing), Inform (maklum), dan Seek (mendapatkan rawatan).
Strategi ketiga pula, kata beliau, melibatkan pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes covid 19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
Sementara itu, strategi keempat pula melibatkan pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan, seperti perkongsian data melalui media massa termasuk kenyataan akhbar, Github, portal KKMNow dan lain-lain.
Dan strategi kelima, kata Dr Dzulkefly, melibatkan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera, seperti pelaporan ujian kendiri; pematuhan perintah kuarantin di rumah; penetapan janji temu vaksin; penjanaan sijil vaksinasi digital; dan perkongsian maklumat berkenaan covid 19.
Kes Semasa Meningkat Dapatkan Dos Penggalak
Sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan, selain 28 kes kematian dicatatkan.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini fasiliti KKM termasuk klinik kesihatan dan hospital bersedia untuk menghadapi peningkatan kes covid 19, dan stok vaksin juga mencukupi bagi mereka yang masih belum mendapatkannya, serta mereka yang ingin mendapatkan dos penggalak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Kesan ‘Long Covid-19’ Pada Anak Yang Ibu Ayah Wajib Peka, Ini Penjelasan Tepat Dari Pakar
Baca juga : Cara Jaga Anak Yang Positif Covid Di Rumah, Ibu Pastikan Buat 11 Perkara Penting Ini
Baca juga : Bayi Yang Lahir & Membesar Ketika Pandemik Covid-19 Berisiko Miliki IQ Rendah-Kajian