Meneruskan kehidupan norma baharu ketika pandemik ini tidak hanya memberi kesan terhadap golongan dewasa, namun turut mendatangkan masalah bayi baru lahir dalam proses perkembangan mereka.
Setiap ibu ayah pastinya berusaha membesarkan si manja dengan baik. Walau bagaimanapun cabaran ketika ini telah memaksa anak yang masih kecil untuk kekal berada di rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
Masalah bayi baru lahir, pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap IQ si manja
credit to sources
Menurut laporan oleh Daily Mail, satu kajian terbaharu mendapati bayi yang lahir dan membesar ketika pandemik Covid-19 berisiko memiliki tahap kecerdasan otak atau IQ yang lebih rendah.
Pengesanan penurunan IQ ini dipercayai berpunca oleh kekurangan interaksi bayi dengan dunia luar ketika perintah berkurung dilaksanakan.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Brown tersebut mendapati bayi yang lahir sejak Mac 2020 mempunyai kemahiran kognitif, lisan dan motor lebih rendah berbanding yang lahir sebelum pandemik Covid-19.
Purata IQ untuk kumpulan bayi berusia antara tiga bulan hingga tiga tahun turut jatuh daripada sekitar 100 sebelum pandemik kepada 79 ketika pandemik.
Kadar penurunan ini menjadi lebih buruk dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan mempunyai latar belakang yang miskin.
Menurut ketua penyelidik, Dr Sean Deoni, faktor utama yang membawa kepada penurunan prestasi perkembangan kanak-kanak dalam kajian tersebut adalah berpunca oleh tekanan yang dihadapi oleh ibu ayah sewaktu bekerja dari rumah.
Bukan itu sahaja, penggunaan pelitup muka turut memberi kesan kepada masalah bayi baru lahir kerana mereka tidak dapat belajar melalui ekspresi muka.
”Kerisauan terhadap jangkitan serta kehilangan pekerjaan telah menambah tekanan terhadap ibu ayah. Manakala bagi yang bekerja dari rumah, mereka berdepan cabaran untuk bekerja dan menjaga anak disebabkan oleh penutupan pusat jagaan kanak-kanak sepanjang tempoh perintah berkurung ini,” jelasnya.
Tambah Deoni, sekiranya ibu ayah tertekan, ia mampu memberi kesan terhadap interaksi dengan anak yang begitu ketara.
foto: 99.co
”Meskipun penurunan IQ pada peringkat awal tidak akan memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut kurang bijak pada masa akan datang, kemampuan untuk memperbetulkan keadaan itu menjadi semakin berkurang apabila usia kanak-kanak meningkat,” katanya.
Masalah bayi baru lahir, ini 3 tips membesarkan si manja ketika pandemik
Kehadiran cahaya mata membawa keserian dalam rumah tangga. Mana tidaknya, ia menjadi bukti kasih sayang dan pelengkap dalam hubungan suami isteri.
Dalam kegembiraan menimang cahaya mata ini, ramai ibu ayah dilanda kebimbangan memikirkan keselamatan anak yang masih kecil ketika pandemik Covid-19 ini.
Hal ini kerana sistem ketahanan tubuh bayi yang berusia 2 minggu tidak mampu melawan virus atau bakteria dengan baik berbanding dengan bayi berusia 3 bulan.
Justeru ada beberapa perkara yang perlu anda utamakan dalam membesarkan bayi baru lahir ketika tempoh pandemik ini. Antaranya ialah:
#1. Elak membawa bayi keluar rumah
credit to sources
Jangan terlalu kerap membawa bayi yang baru lahir keluar dari rumah bagi urusan yang tidak penting. Ibu ayah hendaklah membataskan kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
Sekiranya ada yang ingin menyentuh atau mendukung anak, pastikan mereka mencuci tangan terlebih dahulu atau sebaik-baiknya jangan benarkan orang lain memegang bayi anda.
#2. Membuat pemeriksaan suhu badan bayi
Seseorang doktor juga menghadapi kesukaran untuk menentukan sama ada virus atau bakteria yang menyebabkan penyakit pada bayi sekiranya tidak menunjukkan sebarang simptom tertentu.
Bagaimanapun sekiranya ibu ayah mendapati berlakunya peningkatan suhu badan bayi tanpa sebab, ia boleh menjadi tanda keadaan si manja kurang baik dan hendaklah dibawa segera ke hospital.
#3. Pastikan bayi menerima vaksin mengikut jadual
Vaksin amat penting untuk mengekalkan kesihatan bayi. Justeru anda hendaklah memastikan si manja memperoleh suntikan vaksin seperti yang ditetapkan. Biasanya bayi akan menerima suntikan vaksin pertama ketika usia dua bulan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Cara Mudah Pulihkan Emosi Anak-Anak Ketika Tempoh PKP Mengikut Nasihat Pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!