Rasa bahang panas sekarang ini yang berlaku di negara kita ini sejak beberapa hari yang lalu nyata memberikan petunjuk pada kita semua untuk sentiasa kekal bersedia dengan cuaca panas di Malaysia yang sudah tiba.
Kekal bersedia itu termasuklah dari segi kesihatan badan, hasil tanaman bagi pengusaha agrikultur dan sebagainya kerana fenomena cuaca panas ini akan memberi impak kepada kehidupan harian kita untuk beberapa bulan ke hadapan ini.
Perkara ini telah pun diberi amaran awal oleh Pakar Klimatologi, Dr Fredolin Tangang, yang mana menyatakan yang bahawa cuaca panas yang melanda negara kita ini bakal berlanjutan sehingga Ogos depan dek kerana perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.
Ia berlaku apabila Monsun Barat Daya mengakibatkan cuaca paling kering yang bakal kita lalui yang mana suhu panas maksimum sehingga melebihi 35 darjah celsius, khususnya pada bahagian Semenanjung Malaysia.
Dr Fredolin juga mengatakan, “Berlawanan dengan cuaca hujan yang membawa kepada bencana banjir yang berlaku setahun dua, cuaca panas bakal menimbulkan krisis berkait rapat iaitu jerebu dan bekalan air sangat rendah.”
Berikutan masalah ini, tidak terkejut yang mana restoran dan kedai-kedai makan akan turut terimpak serta mengalami kerugian akibat ketiadaan bekalan air kelak. Jadi, untuk kita sentiasa dalam keadaan bersedia, kita sudah boleh merancang untuk sentiasa berjimat penggunaan air, serta menyimpan bekalan air yang mencukupi.
Pada masa yang sama, kesihatan tubuh kita juga perlu diambil berat tatkala cuaca panas yang melanda sekarang ini. Perlu diingatkan yang mana cuaca panas di Malaysia kita sekarang ini boleh menyebabkan tubuh senang mengalami dehidrasi sekaligus mengundang masalah kesihatan lain seperti demam, panas dalam. Ia jadi lebih membimbangkan buat anak-anak kecil.
Berikut adalah beberapa tips untuk memastikan tubuh sentiasa kekal hidrat tatkala cuaca panas di Malaysia melanda sekarang ini:
1. Perbanyakkan minum air kosong
Perkara yang paling kita ambil mudah tetapi inilah dia cara yang paling mudah untuk kekal hidrasi. Bukan hanya baik untuk menghidrat tubuh tetapi juga baik untuk organ dalam kita seperti hati dan buah pinggang. Umum tahu kita dinasihatkan untuk minum air kosong sekurang-kurangnya dua liter setiap hari.
2. Jangan minum air kosong dengan amaun yang banyak sekaligus
Jika anda minum dua liter air sebelum tidur, sudah pasti anda akan muntah selepas itu. Sebaliknya, mulakan minum air kosong secara berkala dari momen azan Maghrib kedengaran sehingga waktu tidur, dan kemudian ketika sepanjang bersahur.
Dengan cara ini ia jauh lebih baik untuk memastikan yang makanan yang anda makan tidak dimuntahkan semula sementara tubuh juga akan kekal hidrasi. Malah, anda patut mensasarkan untuk minum sekitar 500ml air sewaktu sahur untuk memastikan tubuh mencukupi air sepanjang hari berpuasa dan minum lebihan 1.5liter air selepas berbuka.
3. Buka puasa dengan dua gelas air kosong dan beberapa biji kurma
Menyentuh soal berbuka, cara paling afdal untuk berbuka adalah dengan kurma, yang mana sudah menjadi satu tradisi sejak zaman Nabi Muhammad (SAW) dan sebenarnya ia adalah satu sebab yang bagus!
Kurma membantu sel tubuh kita untuk menyimpan cecair kerana ia adalah sumber glukosa semulajadi, yang mana membantu untuk meningkatkan pengambilan sodium dan sekaligus air di dalam usus. Sejurus berbuka puasa, solat Maghrib untuk membolehkan air dan kurma yang dimakan tadi untuk berfungsi kemudian duduk untuk makan berat.
4. Elak air manis
Tahukah anda bahawa mengakhiri sahur atau berbuka dengan air manis sebenarnya akan membawa lebih keburukan pada anda berbanding kebaikan. Apabila anda minum banyak air manis, urin anda akan menjadi lebih pekat dengan gula.
Buah pinggang anda kemudiannya akan mencairkannya, jadi kesudahannya anda kehilangan lebih banyak air dari tubuh anda. Ini yang membuatkan anda merasa lemah atau letih, bukannya disebabkan berpuasa itu.
Tambahan lagi, kafein adalah dieuretik, yang bermaksud ia membuatkan anda akan lebih kerap untuk membuang air, tidak kira ia menjadikan anda lebih dehidrasi berbanding sebelumnya, tetapi anda pastinya akan merasa sedemikian secara psikologikalnya selepas empat kali ulang alik ke tandas.
Malah, ada kajian yang dilakukan pada tahun 2016, yang menunjukkan bahawa cubaan untuk menghidrasi semula tubuh dengan air manis (sebagai contoh selepas seharian berpuasa) akan memburukkan lagi kadar dehidrasi serta berpotensi untuk merosakkan buah pinggang dengan lebih teruk lagi. Perkara ini sama juga dengan pengambilan makanan tinggi garam.
5. Perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran
Tolak tepi garam dan gula, tetapi pilih makanan yang tinggi kandungan air seperti sayur timun, bayam atau tomato dan buah seperti tembikai, strawberi atau epal. Ia adalah pilihan yang sedap dan cara terbaik untuk menambah lebih hirasi ke dalam diet kita.
Semoga dengan tips ini ia sedikit sebanyak memberikan informasi buat anda untuk kekal hidrasi sepanjang musim panas ini.
Buro247.my
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bahaya Kekurangan Air Dalam Badan (Dehidrasi) Ketika Hamil, Ini Tanda-Tanda Ibu Perlu Alert!
Baca juga: Bolehkah Bayi Minum Air Putih? Ibu Ayah Wajib Tahu Bahaya Beri Air Pada Bayi Bawah 6 Bulan
Baca juga: Kebaikan Minum Air Kosong Yang Cukup Ketika Hamil, Elak Ibu Cepat Penat & Dehidrasi