Secara umumnya perkembangan deria manusia meliputi lima perkara iaitu pendengaran, bau, rasa, sentuhan, dan penglihatan.
Ia juga melibatkan cara sistem saraf bayi atau anak menerima input dan kemudiannya membentuk tindak balas motor atau tingkah laku yang sesuai. Ini dikenali sebagai pemprosesan deria atau integrasi deria.
Perkembangan deria manusia
Selain mengatur input daripada lima deria asas, pemprosesan deria juga memberi tumpuan kepada sensasi pergerakan. Bayi anda meneroka dunia melalui derianya.
Meskipun ia boleh berkembang secara semula jadi, ibu ayah tidak boleh mengambil mudah akan perkembangan deria manusia ini kerana jika ada gangguan pada salah satu sistem deria, ia boleh menjejaskan kesihatan atau perkembangan si manja.
Misalnya, apabila pendengaran bayi tidak optimum dan kekal tidak diperbetulkan, mereka mungkin berdepan masalah pertuturan dan bahasa, komunikasi dan pembelajarannya.
Justeru ibu ayah hendaklah meluangkan masa bersama anak dan memerhatikan perubahan dalam perkembangan derianya iaitu:
#1. Pendengaran
Bayi yang baru lahir tidak dapat mendengar bunyi tertentu yang amat perlahan. Tetapi, untuk sebahagian besar, deria pendengaran mereka sudah berkembang dengan baik.
Selepas kira-kira tiga bulan, dia menunjukkan kebolehan mendengar dengan memalingkan kepala ke arah bunyi di sekeliling.
#2. Bau
Deria bau bayi yang baru lahir sangat tajam sehingga dia sudah boleh membezakan antara bau susu ibunya dan bau ibu lain.
Pengkaji telah menjalankan eksperimen mengkaji deria bau bayi dengan menggunakan dua pelapik payudara (satu daripada ibu bayi, satu lagi daripada ibu menyusu yang lain) diletakkan di sisi kepala bayi yang baru lahir.
Bayi-bayi itu dengan pasti berpaling ke arah alas payudara ibu mereka sendiri. Menjelang umur lima tahun, si manja boleh mengenal pasti beberapa makanan melalui bau.
#3. Rasa
Deria rasa lidah bayi baru lahir boleh membuatkan mereka membezakan antara rasa manis, masin, masam dan pahit.
Biasanya mereka lebih mengutamakan rasa manis, seperti susu ibu dan rasa masin di kemudian hari. Bayi anda akan mencapai kepekaan penuh terhadap rasa dalam tempoh 12 hingga 19 bulan.
#4. Sentuhan
Istilah deria sentuhan di sini digunakan untuk menerangkan semua sensasi fizikal yang boleh dirasai melalui kulit.
Terdapat saraf yang berasingan dalam kulit untuk mengesan haba, sejuk, tekanan, sakit, dan sentuhan. Semasa lahir atau tidak lama selepas itu, bayi anda boleh membezakan antara suhu panas dan sejuk serta berasa sakit.
Tangan dan mulut bayi sangat sensitif terhadap sentuhan. Di antara umur satu hingga sembilan bulan, dia akan dapat membezakan perbezaan tekstur dengan tangan dan mulut.
#5. Penglihatan
Deria penglihatan bayi baru lahir membolehkan mereka fokus pada objek kira-kira lapan hingga 15 inci jauhnya.
Bukan itu sahaja mereka juga mempunyai keupayaan deria penglihatan warna yang terhad. Tetapi dalam masa dua bulan, sudah boleh membezakan antara warna asas.
Deria penglihatan bayi mencapai perkembangan penuh antara usia empat dan tujuh bulan.
Organ deria manusia
Ada lima jenis organ deria manusia iaitu:
- Mata: Untuk melihat
- Kulit: Untuk sentuhan
- Lidah: Untuk merasa
- Hidung: Untuk menghidu
- Telinga untuk mendengar
Tahap perkembangan deria
Perkembangan deria atau sensori boleh berlaku seiring peningkatan usia si manja. Berikut sebagai panduan ibu ayah:
#1. 0 hingga 6 bulan
- Bertindak balas kepada suara dan bunyi
- Mengenal pasti bau dan rasa susu ibu
- Mengikuti objek yang bergerak dengan mata
- Mencapai objek
- Boleh membezakan suhu panas dan sejuk
- Keupayaan menghisap, menelan, dan bernafas
- Boleh membezakan warna asas
- Boleh membezakan rasa manis, masin, masam dan pahit
#2. 6 hingga 12 bulan
- Rasa pelbagai jenis makanan
- Mendengar julat penuh frekuensi bunyi
- Meniru isyarat
- Mempunyai penglihatan penuh warna
- Duduk tanpa sokongan
- Pegang objek dengan jari telunjuk dan ibu jari
- Membezakan tekstur yang berbeza dengan tangan dan mulut
#3. 1 hingga 2 tahun
- Kemampuan berjalan-jalan
- Menconteng
- Mempunyai sensitiviti penuh terhadap rasa
- Meniru bunyi
- Mengunyah makanan dengan betul
- Mengenali objek biasa
#3. 2 hingga 3 tahun
- Mula mengembangkan pilihan makanan
- Menendang bola
- Makan dengan sudu
- Menggunakan lebih banyak gerak isyarat daripada sekadar melambai dan menunjuk
- Membuka muka surat buku
- Melompat dari tanah dengan kedua-dua kaki
#4. 3 hingga 4 tahun
- Bersosial melalui bermain
- Boleh menamakan kebanyakan warna
- Boleh mengikat item bersama-sama, seperti manik besar
- Boleh berpakaian sendiri dengan pengecualian butang, pengikat dan tali
- Memberi makan sendiri tanpa kesukaran
#5. 4 hingga 5 tahun
- Boleh mengenal pasti bentuk
- Boleh mengenal pasti beberapa makanan melalui bau
- Memaparkan kemahiran mengawal kendiri emosi
- Boleh ikut peraturan
- Melompat dengan sebelah kaki
- Memberi perhatian selama 5-10 minit
Walaupun pencapaian ini adalah tipikal dalam lingkungan umur, kanak-kanak akan mengembangkan kemahiran deria mengikut rentak unik mereka sendiri dan mungkin mencapai pencapaian tertentu lebih awal atau lewat daripada yang lain.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sekali-Sekala Ibu Kena Biar Anak Kotor & Main Pasir, Ia Berkesan Merangsang Daya Fokus
Baca juga: Pakar Kongsi 5 Aktiviti Untuk Anak 2 Tahun Ke Atas, Bantu Tingkatkan Daya Sensori
Baca juga: 10 Jenis Aktiviti Motor Halus Yang Bagus Untuk Anak, Bantu Si Manja Jadi Lebih Pintar