Doa mandi wajib adalah ibadah penting dalam Islam yang dilakukan untuk menyucikan diri daripada hadas besar. Sebagai seorang Muslim, mengetahui cara mandi wajib yang betul adalah wajib, kerana ia berkaitan langsung dengan sahnya ibadah seperti solat, membaca Al-Quran, dan ibadah lain.
Apa Itu Mandi Wajib
Mandi wajib, atau dikenali sebagai mandi junub, adalah proses mandi yang bertujuan untuk menghilangkan hadas besar. Dalam Islam, hadas besar adalah keadaan yang menghalang seseorang daripada melakukan ibadah tertentu, dan ia hanya boleh disucikan melalui mandi wajib.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 6:
“Dan jika kamu junub, maka bersucilah (mandilah)…”
Ayat ini menunjukkan kewajiban mandi wajib bagi orang yang berada dalam keadaan tidak suci akibat hadas besar. Oleh itu, mandi wajib bukan sahaja membersihkan tubuh, tetapi juga menyucikan jiwa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bila Perlu Mandi Wajib
1. Keluar mani sama ada ketika sedar atau tidur (mimpi basah).
2. Hubungan suami isteri atau persetubuhan, walaupun tanpa ejakulasi.
3. Haid – apabila darah haid telah berhenti sepenuhnya.
4. Nifas – setelah darah nifas selesai (maksimum 60 hari).
5. Melahirkan anak, termasuk keguguran.
6. Masuk Islam – bagi individu yang baru memeluk agama Islam.
7. Kematian – jenazah seorang Muslim wajib dimandikan kecuali bagi yang mati syahid.
2 Rukun Mandi Wajib
Untuk mandi wajib dianggap sah, terdapat dua rukun utama yang mesti dipenuhi. Kedua-dua rukun ini telah dijelaskan oleh para ulama berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan hadis:
1. Niat
Niat merupakan perkara yang membezakan antara ibadah dan perbuatan biasa. Dalam mandi wajib, niat bertujuan untuk mengangkat hadas besar supaya seseorang kembali kepada keadaan suci. Niat dilakukan di dalam hati dan boleh dilafazkan untuk lebih memantapkan fokus.
Lafaz niat mandi wajib:
Nawaitul ghusla li raf’il hadasil akbari lillahi ta’ala
(Sahaja aku mandi wajib untuk mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala).
Niat ini mesti dilakukan sebelum air pertama menyentuh tubuh. Penting untuk diingat, niat adalah amalan hati; melafazkan niat hanyalah tambahan untuk membantu fokus.
2. Meratakan Air Ke Seluruh Tubuh
Rukun kedua mandi wajib ialah memastikan air mengalir ke seluruh tubuh. Setiap bahagian tubuh, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuk lipatan kulit dan bahagian tersembunyi, mesti terkena air.
Bahagian yang perlu diberi perhatian:
- Rambut: Pastikan air sampai ke kulit kepala. Jika rambut tebal, angkat rambut untuk memastikan air menyentuh kulit kepala.
- Lipatan kulit: Air mesti mengalir ke semua lipatan kulit seperti belakang telinga, ketiak, celah jari, dan bahagian sulit.
- Luka atau balutan: Jika terdapat luka atau balutan, air boleh disapukan secara perlahan pada kawasan tersebut jika tidak menyakitkan.
Jika ada bahagian tubuh yang tidak terkena air walaupun sedikit, mandi wajib tidak sah. Oleh itu, penting untuk memastikan air benar-benar diratakan ke seluruh tubuh.
Tata Cara Mandi Wajib Dan Doa Mandi Wajib
Tata cara doa mandi wajib melibatkan langkah-langkah tertentu yang diambil daripada sunnah Rasulullah SAW. Berikut adalah panduan lengkap:
Doa Mandi Wajib Selepas Haid
“Nawaitul ghusla liraf’il hadatsil haidil lillahi Ta’ala”
<Maksud: Sahaja aku niat mandi wajib untuk mensucikan hadas besar dari haid kerana Allah Ta’ala
Cara Mandi Wajib Selepas Haid
- Mulakan dengan niat mandi wajib seperti yang disebutkan di atas.
- Basuh tangan sebanyak tiga kali.
- Bersihkan bahagian sulit untuk menghilangkan sebarang kekotoran atau sisa darah haid.
- Lakukan wuduk seperti biasa.
- Basahkan kepala dengan air sebanyak tiga kali, memastikan air sampai ke kulit kepala.
- Siram seluruh tubuh, bermula dari bahagian kanan, diikuti bahagian kiri.
- Gosok setiap bahagian badan untuk memastikan air sampai ke seluruh permukaan kulit.
Doa Mandi Wajib Selepas Hubungan Suami Isteri
“Nawaitul ghulsa liraf’il hadastsil akhbari minal janabati fardholillahi Ta’ala”
Maksud: Sahaja aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari janabah, fardhu kerana Allah Ta’ala
Cara Mandi Wajib Selepas Hubungan Suami Isteri
Langkah-langkahnya sama seperti mandi wajib selepas haid, tetapi lebihkan perhatian kepada kebersihan bahagian sulit.
Doa Mandi Wajib Selepas Nifas
“Nawaitul ghusla liraf’il hadastil lillahi Ta’ala”
Maksud: Sahaja aku niat mandi wajib untuk mensucikan hadas besar dari nifas kerana Allah Ta’ala.
Cara Mandi Wajib Selepas Nifas
- Berniat untuk mandi wajib selepas nifas.
- Bersihkan bahagian sulit untuk memastikan tiada sisa darah nifas.
- Ikuti langkah-langkah mandi wajib seperti yang disarankan dalam sunnah Rasulullah SAW.
Mandi wajib adalah kewajiban penting yang memastikan seseorang Muslim kekal suci untuk melaksanakan ibadah. Dengan memenuhi dua rukun mandi wajib iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh, seseorang dapat melaksanakan mandi wajib dengan sah.
Sebagai umat Islam, menjaga kebersihan fizikal dan spiritual adalah tanda ketaatan kepada Allah SWT. Memahami dan melaksanakan mandi wajib dengan betul bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi juga mendekatkan diri kita kepada-Nya. Semoga panduan ini membantu setiap Muslim untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Faraid Suami Meninggal: Fakta Mengikut Majlis Agama Islam Yang Isteri Wajib Ambil Tahu
Baca juga: Mimpi Ular, 17 Maksudnya Menurut Pandangan Islam, Jauhi Diri Dari Ramalan Yang Menyesatkan