Siapa tidak seronok apabila dapat menikmati teknologi terkini yang mampu edit gambar menjadi lebih cantik, unik dan menarik. Fenomena perkongsian gambar sering berlaku dalam kalangan pengguna media sosial sehingga meraih perhatian orang lain untuk turut serta.
Selain Instagram, tahun 2020 kini telah mewujudkan sebuah trend baharu dalam masyarakat dunia melalui penggunaan aplikasi FaceApp bagi menukar wajah menjadi berlainan jantina atau kelihatan lebih tua.
Hukum edit gambar berlainan jantina
Penggunaan aplikasi menukar wajah, FaceApp disifatkan sebagai menyalahi etika kemanusiaan walaupun ia hanya sekadar gambar bagi tujuan keseronokan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan itu tidak patut dilakukan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri mampu menjatuhkan maruah dan menjurus kepada keadaan yang tidak baik.
”Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, jadi tidak perlu ditukarkan dengan cara yang lain,”
”Ini kerana Allah telah menetapkan kemuliaan terhadap manusia dari keturunan Nabi Adam dengan pelbagai kelebihan termasuklah akal dan wajah yang sudah lengkap dengan ekspresi marah, suka, geram dan dendam.” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan agar masyarakat mengelakkan menggunakan aplikasi edit gambar sehingga menukar wajah berlainan jantina misalnya perempuan kelihatan lelaki.
Tidak dinafikan aplikasi edit gambar seperti FaceApp kini menjadi kegilaan dalam kalangan anak muda dan netizen pada masa ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Zulkifli berkata walaupun berada dalam era kemajuan bidang teknologi, namun mengubah ciptaan walaupun dalam bentuk gambar adalah tidak wajar untuk diikuti.
”Sebab itulah kalau anda lihat, manusia apabila dilahirkan akan memiliki nama sendiri tidak seperti haiwan. Ini adalah untuk membezakan antara satu sama lain. Jadi apabila pengguna menukar wajah dari lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, maka konsep sepatutnya anda kenal identiti seseorang akan berubah dan ia adalah sesuatu yang tidak baik,” jelasnya.
Keupayaan aplikasi mengesan gambar
Aplikasi ini pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu, namun entah bagaimana ia kembali popular di media sosial.
Pada yang tidak tahu, aplikasi FaceApp menggunakan kaedah ‘neural networks’ iaitu salah satu jenis teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Fungsi inilah membolehkan wajah pengguna melalui sebuah tranformasi sama ada kepada tua atau bertukar jantina. Selain itu jika galeri telefon pintar anda dipenuhi dengan foto, aplikasi ini dengan bijaknya boleh mengesan gambar yang mempunyai wajah sahaja untuk disunting.
Walaubagaimanapun, keupayaan FaceApp mengakses galeri gambar dalam memori telefon pengguna ini telah mendatangkan rasa bimbang dalam kalangan pengguna. Malah menurut laporan ES News, kenyataan privasi FaceApp juga agak mengelirukan.
Laman sosial telah dihujani dengan gambar individu yang disunting menjadi tua dan berubah jantina setelah menggunakan aplikasi penyuntingan gambar. Kegilaan ini bukan hanya melanda warganet biasa, malah ia turut menjadi tumpuan ramai selebriti tempatan.
Namun dalam pada ramai yang berseronok memuat naik gambar di aplikasi terbabit, tahukah anda sebenarnya FaceApp sekarang sudah memiliki lebih daripada 150 juta data wajah dan nama pengguna?
Memetik laporan The Forbes, aplikasi ini dilihat agak meragukan berikutan terma dan syarat-syarat penggunaan aplikasi tersebut.
Risiko tinggi penyalahgunaan wajah
Gambar yang diberikan kepada FaceApp berkemungkinan membolehkan mereka menggunakannya untuk apa sahaja tujuan sama ada kebaikan atau sebaliknya.
Malah anda tidak menerima royalti pada gambar yang diberikannya jika ia digunakan untuk tujuan mempromosikan aplikasi ini.
Bukan itu sahaja, amaran telah dikeluarkan sendiri oleh pakar yang prihatin berdasarkan penggunaan meluas dalam kalangan masyarakat global yang ‘gian’ menyunting wajah menggunakan kaedah AI melalui aplikasi tersebut.
Menurut James Whatley, seorang pakar strategi dari Digitas, United Kingdom telah memberikan amaran kepada pengguna yang seakan obses dengan aplikasi ini supaya menghentikan perbuatan mereka. Isu ini bagaimana pun telah dijawab sendiri oleh individu yang membangunkan aplikasi FaceApp di Twitter.
Justeru sama ada ia benar ataupun tidak, terpulanglah kepada anda sendiri untuk menilainya. Sentiasa berhati-hati dalam menikmati kemajuan teknologi agar ia tidak memakan diri!
Sumber: Sinar Harian, Odisi, Sinar Plus
Kredit foto: Tv alhijra
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: