Dengar saja suami kata nak beli barangan kemas, isteri mana yang tak seronok, betul tak? Tak sabar rasanya nak bling bling satu badan kalau dapat cincin biasa pun dah syukur rasanya. Itu tanda suami menghargai penat lelah isteri selama ni. Tapi, bagaimana pula kalau anda terpaksa gadai emas itu untuk membantu suami, sanggup tak?
Seperti yang kita sedia maklum, barangan kemas merupakan aset yang cukup istimewa bagi seorang wanita khususnya yang telah bergelar isteri.
Pergilah tanya mana-mana wanita pun tentu mereka paling tidak ada sekurang-kurangnya satu barang kemas.
Tidak kisahlah cincin belah rotan yang biasa-biasa saja ataupun gelang tangan halus. Biarlah nampak ringan dan murah, tapi tetap bermakna.
Apatah lagi sewaktu diijab qabulkan bersama suami, wanita pasti akan dihadiahkan dengan sebentuk cincin.
Tapi kini orang lelaki suka beli yang best-best untuk diberikan pada isteri yang baru dinikahi itu dengan gelang tangan besar, rantai tangan mewah dan sebagainya. Semuanya atas tanda terima kasih kerana sudi menjadi permaisuri di hati mereka.
Isteri, sanggup tak gadai emas untuk bantu suami?
Walaubagaimanapun setiap pasangan suami isteri pasti akan ada fasa getir dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Ini kerana tak selamanya kita akan merasai kegembiraan dan keindahan dalam rumah tangga kerana pasti akan ada badai yang mengambat rasa indah itu.
Di saat itulah isteri boleh membantu suami yang mungkin kehilangan kerja atau dibuang kerja kerana ekonomi yang tidak menentu pada syarikat tempat suami bekerja.
Inilah masanya untuk isteri berkorban apa yang dia ada seperti gadai barang emas, keluarkan wang simpanan dan sebagainya semata-mata ingin membantu meringankan beban si suami tadi.
Isteri yang baik dia tidak akan merungut apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat kepada suaminya terutama jika suami mengalami krisis kewangan.
Tanggungjawab suami jika isteri gadai barang kemas
Perkongsian daripada Akhtar Syamir menjelaskan apakah tanggungjawab suami sekiranya isteri reda dan membantu semasa kesusahan dengan gadai emas kesayangan mereka.
Resit-resit lama dan kotak-kotak yang ada sudah kosong serta tidak berisi lagi seperti dahulu.
Ini adalah gambaran biasa yang sentiasa dibuat-buat tak nampak sedangkan memberi kesan yang cukup mendalam pada jiwa isteri.
Sayunya hati isteri bila melihat kotak yang dahulunya berisi tapi kini kosong bersepi. Malah tidak tahu, bilakah ia akan kembali dan tinggal dalam kotak itu. Malah ada yang munkin tidak akan kembali semula.
Menurut Akhtar, suami tidak boleh ambil mudah jika barang kemas isteri sudah digadaikan.
Itu bermaksud, suami ada hutang dengan isteri dan jadikan ia sebagai hutang nombor satu yang perlu diberi keutamaan dan perlu dibayar.
Suami tak boleh beri alasan
Meskipun itu adalah pemberian suami tidak kirahlah semasa perkahwinan atau sebagainya, namun itu bukan alasan untuk tidak meletakkan ia sebagai satu tanggungjawab.
Ini kerana, ia masih lagi harta kepunyaan mutlak isteri dan merupakan satu hutang jika digunakan untuk membantu suami di kala mengalami masalah kewangan.
Malah suami harus ingat supaya mengutamakan hutang kepada isteri berbanding hutang yang lain.
Berikut adalah soalan yang harus anda ajukan pada diri jika berhutang dengan isteri.
1) Kawan ada minta nak pinjam duit, tanya diri dahulu adakah hutang dengan isteri sudah selesai?
2) Adik beradik ada yang nak pinjam duit, tanya diri dahulu adakah hutang isteri sudah dibayar atau masih tertunggak?
3) Tringin nak beli telefon baru, sport rim kereta dan sebagainya, tanya dulu hutang isteri bayar belum?
Jadi, kenapa isteri harus di ketepikan sedangkan dialah orang pertama yang ada selama suami tiada wang dan kesusahan.
Semasa PKPB bermula, berapa ramainya orang beratur di hadapan kedai pajak gadai dan sepatutnya ia mendatangkan keinsafan kepada diri.
Yang beratur itu ada perempuan dan ada lelaki. Dah tentu-tentu yang lelaki itu gadai emas isteri, kan?
Jadi apakah maksud di sebalik semua ini? Ini bermakna keluarga itu dalam kesusahan dan isteri sedang menghulurkan bantuan membantu apa yang perlu.
Saya sendiri yang sudah berkali-kali kesana tetap rasa hati ini bagai disiat-siat kerana telah menyusahkan dan membuatkan isteri sedih.
Walaupun isteri tunjuk yang dia kuat, tapi saya tahu hatinya sedang menangis waktu dia serahkan barang kemasnya untuk digadai dan dijualkan.
Ikatan wanita dan emas
Sebenarnya ramai suami yang kurang faham apa ikatan wanita dan emas. Ini kerana ia adalah satu naluri. Apa yang boleh suami buat adalah tidak memperlekehkan perasaan mereka dan memahami kepentingan emas itu buat isteri.
Di hadapan pajak gadai kita dapat lihat orang beratur panjang sambil menunggu giliran sambil ditunduk kepalanya kerana berasa malu dan kecewa kerana perlu menggadaikan barang kemas isteri.
Justeru kepada para suami sekalian, bayarlah hutang isteri seberapa segera yang boleh. Hargailah insan bergelar isteri ini yang sanggup bersusah payah dengan kita membantu apa saja di saat diperlukan.
Semoga perkongsian ini membuka mata dan minda kita bersama.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber : Akhtar Syamir
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
Suami jangan kedekut dengan isteri, beri semua gaji pada mereka, rezeki lebih banyak! – Luah suami ini
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!