Gejala PCOS atau sindrom ovari polisistik yang terjadi pada wanita sering membuatkan pesakit berasa sedih dan kecewa kerana lazimnya masalah ini menjadi punca sukar untuk hamil.
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan cahaya mata. Namun hakikatnya tidak semua bernasib baik dan terpaksa menanti dalam tempoh lebih lama selepas berkahwin.
Baca juga: 9 Tanda Wanita Tidak Subur & Menjadi Penyebab Sukar Hamil, #5 Wajib Take Note!
Gejala PCOS penyebab wanita sukar hamil
Walau bagaimanapun, ada juga wanita yang mengalami gejala ini berpeluang untuk hamil secara semula jadi tanpa bantuan rawatan kesuburan.
Mengulas dengan lebih lanjut mengenai PCOS , pegawai perubatan Dr Farhanah Ibrahim menjelaskan bahawa keadaan ini berlaku apabila kilang telur atau ovari seseorang wanita menjadi bengkak kerana benih terperangkap di dalamnya dan tidak boleh menetas pada waktu subur.
”Kesannya, ovari menjadi bengkak dan menyebabkan berlaku masalah kesuburan serta gangguan terhadap kitaran haid. Ramai dalam kalangan wanita yang menghidap pcos ini berdepan dengan tidak datang haid untuk jangka waktu panjang. Ada juga mengalami pendarahan yang sangat banyak atau berpanjangan,” jelasnya.
Jelas Dr Farhanah lagi, ramai pesakit datang bertemunya mengalami masalah haid lewat, ada yang terpaksa mengambil ubat lancar haid dan rata-ratanya sangat tertekan kerana mereka sedang ikhtiar untuk hamil.
Berat berlebihan mendorong masalah PCOS
Setelah melakukan beberapa pemeriksaan, beliau mendapati hampir 99 peratus daripadanya dikategorikan sebagai wanita yang memiliki berat badan berlebihan dengan simptom PCOS.
Dalam bahasa yang mudah difahami, masalah pcos ini adalah wanita mempunyai hormon lelaki lebih banyak dalam tubuh dengan kehadiran jerawat yang banyak, badan berbulu lebat dan tumbuh misai serta janggut.
Gejala PCOS ini menyebabkan hormon terganggu, menjadi tidak seimbang, haid tidak tetap dan akhirnya sukar untuk mengandung. Lebih menyedihkan lagi, ada yang sudah hamil namun berisiko tinggi mengalami keguguran.
”Biasanya PCOS terjadi kepada wanita yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Perkara paling merisaukan adalah dinding rahim menjadi terlebih tebal yang mana sepatutnya ia keluar sebagai haid, tetapi darah kotor itu tidak juga keluar. Keadaan ini menjadi bahaya kerana boleh berubah menjadi kanser,” jelas Dr Farhanah.
Risiko tinggi sekiranya ada sejarah keluarga
Manakala pakar kesuburan, Dr Eeson Sinthamoney, tahap kesuburan akan mengalami kemerosotan selepas memasuki usia 35 tahun.
”PCOS cenderung berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Anda memiliki peluang tinggi jika ada keluarga yang mengalami masalah haid tidak teratur atau diabetes. Ia juga boleh diwarisi sama ada daripada ibu atau keluarga bapa,” jelasnya.
Biasanya simptom PCOS ini kan disahkan apabila penghidap mengalami sekurang-kurangnya 2 tanda atau masalah sama ada anovulasi, sista dan hiper-androgenisma.
”Anovulasi ialah keadaan ketika telur langsung tidak keluar, ia diikuti oligo-vulasi (telur yang jarang keluar). Manakala, hiper-androgenisma adalah masalah hormon lelaki berlebihan menyebabkan tumbuh bulu roma seakan-akan misai, kulit menjadi kasar dan berminyak teruk seperti orang lelaki,”
”Ada juga penghidap PCOS berdepan masalah bilangan folikel kecil seakan-akan sista dalam ovari, biasanya dengan saiz 8 milimeter malah ada yang lebih kecil.” jelasnya.
Tidak boleh sembuh, namun tetap boleh hamil
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Dr Zamri Abdul Rahim berkata, secara faktanya wanita mempunyai PCOS peluang untuk hamil begitu tinggi kerana telur yang banyak.
Namun sayangnya telur yang ada tidak besar dan kurang berkualiti. Penyakit PCOS tidak boleh sembuh, tetapi boleh dirawat mengikut jenis yang sesuai dengan masalah dihadapi atau kaedah semulajadinya adalah mengubah gaya hidup iaitu:
- Menurunkan berat badan
- Mengambil makanan tinggi protein dan serat, elakkan makanan ringan
- Bersenam 20 minit dalam sehari mengikut kemampuan diri
- Mendapatkan pemeriksaan doktor
- Jika sedang berusaha untuk hamil, anda boleh ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan kesuburan
- Sekiranya ubat yang diberikan tidak berkesan, pakar mungkin boleh melakukan pembedahan khas
Sumber: Harian Metro, Mingguan Wanita
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kesan Kafein Boleh Menyebabkan Wanita Lambat Mengandung & Masalah Kesuburan