Kerap Beri Aiskrim & Gula-Gula, Doktor Tegur Ibu Ayah BERHENTI Rosakkan Gigi Anak

Gigi anak rosak mungkin bukan masalah yang besar bagi sesetengah ibu ayah kerana menganggapnya perkara normal. Tahukah anda ia boleh menjadi lebih serius?

Rata-rata ibu ayah mungkin akan berdepan dengan masalah gigi anak rosak seawal usia. Kerosakan gigi ini adalah berpunca daripada kehadiran plak yang mengandungi kuman hasil daripada sisa makanan.

Kebiasaannya, gigi susu pertama akan tumbuh ketika bayi berusia 6 bulan hingga 8 bulan dengan sebanyak 10 batang gigi atas dan 10 batang gigi bawah. Bakteria akan bertindak balas dengan menyerang lapisan paling luar gigi dan akan merebak ke lapisan kedua serta ketiga.

Kisah gigi anak rosak akibat sikap ibu ayah sendiri

Menurut perkongsian oleh seorang doktor, Redza Zainol melalui laman Twitter, dia menceritakan pengalaman menerima pesakit kanak-kanak yang telah kehilangan kesemua giginya.

”Mana pergi semua gigi awak?”

Sengaja saya bergurau dengan budak umur 4 tahun ini. Dia tersengih-sengih sambil memandang ibu ayahnya. Sebenarnya dalam hati ini saya geram.

Mak ayahnya cerita, setiap kali ke kedai mesti mereka akan berjalan keluar dengan gula-gula atau aiskrim.

foto: freepik

”Kalau tak bagi, nanti dia terjerit-jerit, menangis-nangis. Siap terbaring dekat atas lantai.” cerita si ibu dan ayahnya hanya mengangguk.

Saya kata kepada mereka, jika anak-anak diberikan aiskrim dan gula-gula yang terlalu banyak, boleh membuatkan mereka jatuh sakit dan makanan tersebut sememangnya tidak berkhasiat.

Gigi akan rosak, gusi jadi sakit dan anak pun jadi hilang selera untuk makan. Bukan itu sahaja, berat badan si manja mungkin tidak akan naik-naik.

Yang lagi penting saya terangkan kepada mereka, kawasan otak anak masih kecil iaitu Prefrontal Cortex sebenarnya masih belum matang sepenuhnya. Sebab itulah si kecil:

  • Tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk
  • Tidak faham akibat perbuatan sekarang pada masa hadapan mereka
  • Tidak tahu macam mana untuk berhenti daripada buat sesuatu yang sudah mereka terbiasa buat

”Kita yang patut kawal anak kita atau anak yang kawal kita?” tanya saya. Mak ayah hanya mampu mendiamkan diri sahaja.

Perkara yang perlu dilakukan sekiranya gigi anak rosak

foto: istock

Pada awal kerosakan gigi, anak kecil anda mungkin tidak berdepan kesakitan. Namun jika ia menyerang pulpa gigi, si manja terpaksa menahan kesakitan teramat terutamanya pada waktu malam.

Ia boleh terbentuk sehingga ke hujung akar gigi dan menyebabkan berlakunya bisul pada gusi sehingga berlakunya bengkak muka atau radang.

Antara tanda-tanda kerosakan gigi ialah:

  1. Lubang yang ketara
  2. Makanan mudah melekat di celah gigi
  3. Terdapat tompokan putih atau hitam di permukaan gigi

Manakala bagi mengatasi masalah ini, ibu ayah hendaklah:

#1. Mengawal penggunaan botol susu

Sekiranya si manja mempunyai tabiat menghisap botol sepanjang hari, ibu ayah hendaklah memastikan botol tersebut tidak diisi dengan air mengandungi guna. Adalah lebih baik menggantikannya dengan air kosong.

Jika anak sudah meningkat umur 4 tahun, bolehlah menggantikan botol kepada cawan ketika minum susu bagi mencegah bakteria yang merosakkan gigi.

#2. Guna ubat gigi berflourida

Amalan memberus gigi sangat penting seawal usia si manja. Ibu hendaklah memilih ubat gigi berflourida bagi melindungi gigi mereka daripada serangan bakteria.

Sekiranya si manja enggan memberus gigi, beri mereka peluang untuk memilih berus gigi dengan kartun kegemaran.

#3. Menjalani pemeriksaan gigi

foto: istock

Ibu ayah hendaklah membawa anak ke klunuk pergigian yang berhampiran untuk menjalani pemeriksaan gigi. Sekiranya sudah dibiasakan sejak kecil, mereka pasti tidak akan takut untuk berjumpa doktor gigi.

Pemeriksaan secara kerap dapat mengesan lebih awal sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada gigi. Doktor juga boleh mencadangkan beberapa rawatan bagi menyelamatkan gigi si manja.

Selain itu, ibu ayah hendaklah mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan gula seperti gula-gula, air minuman berperisa dan snek ringan. Hadkan pengambilannya pada waktu tertentu sahaja atau hujung minggu bagi mengelakkan anak ketagihan.

Kesimpulannya, ibu ayah amat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan tubuh badan dan gigi anak-anak. 

Sumber: Dr Redza Zainol, Klinik Pergigian Nur Ain

Kredit foto: Freepik

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

 Baca juga: Karies Gigi Anak Boleh Terjadi Biarpun Selalu Gosok Gigi, Ini 7 Langkah Mengatasinya!