Ada wanita yang datang haid tapi mengandung. Logikkah perkara ini dan benarkah ia memang terjadi? Ia didakwa pernah dialami oleh wanita-wanita di luar sana.
Bolehkah kita haid tapi mengandung? Pelik bukan? Sedangkan janin itu terjadinya daripada haid yang tidak berlaku. Kali ini kami kongsikan penjelasan pakar mengenai perkara ini.
Jadi tidaklah anda tertanya-tanya lagi sama ada benar atau sebaliknya perkara ini. Jom kita baca penjelasannya.
Haid tapi mengandung
Apabila seseorang individu wanita itu hamil, dia tidak akan melalui proses ovulasi. Keadaan ini sekaligus akan menghentikan kedatangan haid. Ini kerana darah haid hanya akan keluar apabila seseorang individu itu tidak mengandung.
Kitaran haid berlaku untuk memudahkan proses kehamilan. Ia bermula pada hari pertama seseorang individu itu didatangi haid dan berakhir sebelum hari pertama untuk kitaran yang seterusnya.
Ovulasi pula adalah apabila ovari mengeluarkan ovum, ia berlaku pada pertengahan proses kitaran haid.
Ovum hanya dapat bertahan untuk tempoh 12 hingga 24 jam selepas proses ovulasi berlaku. Sekiranya sperma hadir dan berjaya menembusi serta bersenyawa dengan telur, maka ovum akan menempel pada dinding rahim; keadaan ini bermakna anda hamil.
Jika tiada persenyawaan berlaku, haid akan hadir dan badan akan meluruhkan lapisan rahim supaya ia boleh menghasilkan dinding rahim baru untuk kitaran haid yang seterusnya.
Jadi bagi menjawab persoalan, adakah boleh untuk anda mengandung tapi keluar darah? Jawapan paling tepat, adalah tidak.
Namun, terdapat beberapa keadaan yang memungkinkan untuk berlakunya pendarahan ketika mengandung.
Faktor pendarahan
Pendarahan yang berlaku pastinya mendatangkan kebimbangan kepada individu wanita yang sedang hamil. Tetapi sebenarnya, sesetengah pendarahan yang berlaku tidaklah membahayakan dan mungkin bersifat sementara.
Berikut adalah beberapa keadaan yang memungkinkan pendarahan untuk terjadi:
#1. Waktu kitaran haid
Period atau darah haid yang muncul ketika anda disahkan hamil adalah kerana proses persenyawaan yang berlaku ketika seseorang individu wanita itu hampir period.
Umumnya, proses persenyawaan tidak akan berlaku sejurus selepas hubungan seks dilakukan.
Persenyawaan biasanya berlaku selepas beberapa hari hubungan intim antara pasangan dilakukan. Terdapat kemungkinan pada ketika telur berjaya disenyawakan adalah hari yang sepatutnya individu wanita tersebut didatangi haid.
#2. Kadar hormon
Punca lain yang boleh dijadikan sebab anda haid tapi mengandung adalah disebabkan kadar hormon progesteron di dalam badan yang rendah.
Situasi ini mungkin berlaku apabila dinding rahim tidak begitu kukuh dan jatuh, akhirnya ia mengakibatkan terjadinya haid.
#3. Hubungan seks
Adakalanya pendarahan juga boleh berlaku apabila anda melakukan hubungan seks ketika hamil dan darah yang keluar itu disangka sebagai haid. Hal ini kerana perubahan permukaan serviks disebabkan oleh hormon anda.
#4. Jangkitan
Jangkitan kuman juga boleh menjadi antara penyebab mengapa anda period tapi mengandung. Jika keadaan ini berlaku, anda perlu mendapatkan rawatan segera kerana terdapat risiko kemudaratan yang boleh mengancam kandungan.
#5. Kehamilan ektopik
Sekiranya pendarahan berlaku dalam minggu ke-4 kehamilan dan ke atas, ia mungkin merupakan masalah kehamilan ektopik atau bahasa mudahnya, kehamilan di luar rahim.
Ia berlaku apabila tumbesaran janin berlaku di tiub fallopian. Semestinya ia merupakan satu keadaan yang boleh mengancam nyawa ibu.
#6. Masalah uri
Sekiranya kehamilan anda sudah melepasi tempoh minggu ke-24, namun berlaku pendarahan, ia mungkin petanda masalah serius. Anda disarankan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dengan doktor pakar sakit puan.
Pendarahan yang berlaku mungkin disebabkan keadaan yang dipanggil placenta previa, iaitu uri terletak di bahagian bawah atau placenta abruption di mana uri terlepas dari dinding rahim.
Dapatkan rawatan doktor segera
Seseorang individu wanita perlu mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami beberapa simptom seperti:
- Rasa kesakitan dan kekejangan
- Pening atau pitam
- Pendarahan berat atau pembekuan darah
- Kesakitan pada bahagian perut dan pelvis
- Jika anda mengalami sebarang simptom yang disebutkan di atas atau berlaku pendarahan yang semakin teruk, anda harus segera berjumpa doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: skincode
Baca juga: Jika Anda Alami Salah Satu Dari 12 Tanda Ini, Ada Kemungkinan Anda Hamil!