Wanita Tugasnya Bukan Di Dapur Sahaja, Tapi Mereka Juga Boleh Menggoncang Dunia

Wanita Tugasnya Bukan Di Dapur Sahaja, Tapi Mereka Juga Boleh Menggoncang Dunia

WANITA - Insan yang berperanan penting dalam kehidupan kita seharian. Dialah ibu kita, isteri dan wanita jugalah ibu kepada anak-anak kita. Bukan itu sahaja, wanita yang mengahayun buaian turut boleh menggoncang dunia!

Ada orang kata, tugas wanita itu hanya di dapur sahaja. Eh, tidak lagi ya kerana di zaman serba moden sekarang, boleh dikatakan ramai wanita yang sudah berjaya memegang jawatan tertinggi dalam negara, syarikat dan
sebagainya. Sebab itu, hadirnya Hari Wanita Antarabangsa bagi meraikan #tApWanitaBesi ini.

Tapi, bukanlah wanita yang berada dalam syarikat korporat sahaja yang perlu dihargai tapi wanita yang melahirkan kita iaitu ibu, isteri, saudara perempuan, adik perempuan, anak perempuan dan ibu saudara mestilah mendapat penghargaan ini juga.

ibu and anak

Dalam konteks sebagai pekerja, wanita dilihat sangat komited, amanah dan berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Boleh dikatakan wanita memang jarang membawa masalah terhadap kerja mereka. Opss...wanita memang power!

Apatah lagi, wanita memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada keharmonian dalam sesebuah keluarga, menggalas peranan sebagai penyokong suami, sentiasa berada di sisi dalam keadaan susah mahupun senang.

Untuk tidak mahu mengulas lebih panjang lebar, kami di theAsianparent mendapatkan beberapa respon daripada pengguna komuniti kami di aplikasi theAsianparent bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada hari
ini, 8 Mac.

Ayuh kita selami siapakah #tApWanitaBesi mereka:

Meraikan Hari Wanita Antarabangsa

#1. Fatin Faseeha Mohammad - Terima kasih kakak 

hari wanita antarabangsa

Setiap orang tidak kira lelaki mahupun perempuan, tentu ada Wanita Inspirasi dalam hidup mereka. Begitulah juga dengan saya.

Saya membesar tanpa belaian kasih sayang atau perhatian seorang ibu. Semasa ayah dan emak berpisah, saya masih kecil.

Sejak itu, kakak yang sulung mengambil alih tugas emak di rumah. Siapkan baju kerja ayah, baju sekolah adik-beradik, makan minum dan semuanya.

Dari belum berkahwin sehingga mendirikan rumah tangga, dia jaga saya macam anak sendiri. Ke mana saja dia pergi mesti akan dibawa saya bersama. Hingga ada yang kata saya seperti anak dia.

Meskipun waktu itu kakak sudah ada anak, saya tetap dibawa bersama. Dia juga jaga ayah semasa sakit, jaga kakak yang seorang lagi di wad sebab kemalangan jalan raya. Dia tidak pernah pentingkan dirinya sendiri.

Sehingga sekarang, kalau adik beradik ada masalah mesti kakak tolong. Kakak tidak pernah mengatakan tidak malah dia sentiasa ada masa dan ruang untuk kami adik beradik.

Dia sentiasa nampak kuat dan tersenyum. Selalu ketawa bila bersama-sama kami. Di kampung, kakak memang dikenali dengan sikap ramah dan ringan tulang.

Dia juga selalu ambil berat dan bertanyakan khabar tentang kami adik beradik yang lain.

Banyak benda yang saya belajar daripada kakak saya, kekuatan, ketabahan, kesabaran, ketenangan dan banyak lagi.

Saya tidak dapat membayangkan kalau saya kehilangan kakak nanti. Saya belum bersedia. Terlalu banyak jasa dan budi kakak untuk saya. Rasa tidak terbalas.

Tahun ini, kakak berumur 50 tahun, saya berdoa semoga kakak di panjangkan umur, di luaskan pintu rezeki dan dirahmati Allah selalu.

Terima kasih kakakku, Fauzilah binti Mohammad, sayang kakak dunia akhirat.

#2. Nurul Syafikha Jaafar - Ibu Inspirasiku 

hari wanita antarabangsa

Wanita hebat yang memberi inspirasi kepada saya tidak lain dan tidak bukan adalah Mak saya sendiri.

Mak diuji kehilangan ayah semasa umurnya 34 tahun bersama lima orang anak yang masing-masing berumur 12, 11,7,1 tahun dan 3 bulan.

Pekerjaan pertama mak adalah pembantu kantin sekolah. Kemudian, mak jadi cleaner (pekerja kontrak). Bila majikan sudah habis kontrak dan tidak dapat tender di tempat itu, mak kena cari kerja lain.

Namun, mak tidak kisah apapun tanggapan orang terhadap mak, yang penting mak berusaha cari rezeki yang halal.

Masa dahulu, masyarakat memandang serong golongan janda ini. Pernah mak luahkan perasaan kerana semasa itu kami baru pindah rumah.

Macam biasa kalau ada jiran baru masuk, tentu jiran sebelah akan bertegur sapa tapi bila dia tahu mak janda, terus dia tidak bertegur. Pelik, kan?

Ujian lain, ramai lelaki gatal nak mengorat mak sehingga ada yang memfitnah mak yang menggatal dahulu.

Bahkan, keluarga kami pernah diuji orang calit minyak dagu di rumah hingga adik sakit dan berubat dengan ustaz. Kata ustaz, tujuan orang tersebut sebab nak bagi keluarga porak peranda.

Banyak lagi sebenarnya ujian wanita besi yang jadi inspirasi hidup saya ini. Apapun, Allah takkan menguji jika hambaNya tidak mampu. Alhamdulillah sekarang anak-anak mak semua dah berjaya. Syukur.

#3. Elviana Robert - Keberanian adalah pelindung terbaik 

hari wanita antarabangsa

"Baju seragam saya sudah menjadi merah dengan darah dari mangsa-mangsa yang tidak bersalah dan saya bangga menyarungnya".

Masih ingatkah kita tentang seorang wanita paramedik muda yang syahid dengan berlemuran darah tatkala sedang membantu pejuang Palestine semasa Ramadan dua tahun yang lalu.

Beliau sama sekali tidak gentar berhadapan degan rejim zionis, malah bertekad untuk terus membantu mangsa-mangsa yang tercedera.

Itulah keperibadian yang ada dalam diri Rouzan Al-Hajjar, wanita muda yang memberi inspirasi yang begitu besar bagi saya bahawa diri seorang wanita berupaya untuk mencipta, memupuk dan mengubah.

Buat pengetahuan, saya merupakan seorang wanita yang sangat pemalu hingga kadang-kadang rasa gementar bila nak buat pembentangan tugasan di hadapan orang lain.

Lalu saya tanamkan hasrat untuk menjadikan Rouzan sebagai wanita idola saya, supaya berani maju kehadapan kerana perlindungan terbaik untuk wanita adalah keberanian.

Sehingga ke hari ini, perasaan gementar sudah tiada lagi dan merasakan keadaan seperti normal.

Sebab itu, menginspirasikan seseorang mampu membuatkan diri kita teguh dan bersemangat.

Wanita Tugasnya Bukan Di Dapur Sahaja, Tapi Mereka Juga Boleh Menggoncang Dunia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Sumber gambar: Google 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Artikel(Cerita)
app info
get app banner