Tidak mudah menjadi ibu mengandung. Ada sahaja gejala atau perubahan fizikal yang baharu yang akan terjadi sepanjang kehamilan. Salah satunya adalah hidung kembang ketika hamil. Adakah anda juga pernah mengalaminya, wahai ibu?
Ada ‘logik’ mengatakan kononnya jika hidung anda dilihat lebih besar atau kembang ketika sedang mengandung, maknanya anda sedang menghamilkan bayi lelaki. Betul ke? Bila dah alami gejala ini, mulalah cari cara nak mancungkan hidung yang kembang!
Anda mungkin tertanya-tanya kenapa hidung ibu hamil kembang. Ini mungkin kesan mengandung yang normal, namun adakah ia akan terjadi kepada semua wanita yang sedang hamil?
Isi Kandungan
Mengapa Hidung Kembang Ketika Hamil?
Selain di bahagian perut, secara realitinya, memang akan ada banyak perubahan yang akan terjadi pada fizikal wanita ketika sedang hamil. Perubahan pada wajah juga boleh berlaku termasuklah hidung kembang apabila kandungan berusia beberapa bulan.
Untuk ibu yang kali pertama hamil, anda mungkin berasa sedikit gusar dengan perubahan ini, namun adakah ia normal? Jawapannya adalah ya, dan ini sebabnya:
#1. Aliran darah meningkat
Biasanya di awal trimester pertama dan memasuki trimester kedua, pembuluh darah melebar untuk mengirimkan lebih banyak darah untuk janin. Ia tidak hanya terjadi dalam rahim, namun pada seluruh tubuh.
Pembuluh darah melebar pada bahagian hidung dan sinus sehingga anda akan mengalami selsema dan membuatkan hidung menjadi padat dan sedikit membengkak.
#2. Peningkatan hormon terutama estrogen
Salah satu sebab yang lain juga adalah kerana perubahan hormon yang mana ia meningkat ketika kehamilan. Hormon, terutama estrogen meningkatkan aliran darah ke seluruh tubuh, terutamanya ke bahagian membran mukus tubuh.
Jadi, peningkatan aliran darah ini mampu menyebabkan bengkak di area tersebut dan menyebabkan hidung membengkak.
#3. Penumpukan cecair
Penumpukan cecair biasanya berlaku ketika trimester ketiga kehamilan. Disebabkan itu, biasanya di trimester ketiga ini anda akan melihat perubahan di kawasan muka dan ia termasuklah hidung kembang atau membesar.
#4. Ada tekanan darah tinggi
Selain pengaruh hormon, penyebab berlaku pembengkakan pada tubuh ibu hamil juga adalah mungkin disebabkan oleh adanya tekanan darah tinggi. Jika anda mempunyai sejarah darah tinggi, sebaiknya anda lebih berwaspada dengan perubahan seperti ini.
Walaupun gejala ini tidak dapat dihindari, namun ia biasanya akan berkurangan pada pertengahan trimester kedua. Dan meskipun anda mungkin tidak menyukai perubahan itu, namun jangan risau ia tidak merbahaya. Bagaimanapun, ia tetap boleh datang dengan gejala lain seperti edema/bengkak, rasa sesak pada hidung, hidung berdarah dan bahkan dalam beberapa kes, ketidakselesaan yang ketara. Ia termasuklah hidung kelihatan lebih kembang dan bentuk juga berbeza berbanding biasa.
Adakah Hidung Kembali Normal Selepas Bersalin
Anda mungkin risau hidung akan kekal begitu walaupun selepas kehamilan. Namun jangan risau, pakar berpendapat biasanya hidung anda boleh kembali normal dalam masa enam minggu selepas melahirkan bayi. Bagaimanapun, masanya tetap bergantung kepada individu itu sendiri.
Ingat, salah satu penyebab hidung kembang ketika hamil adalah kerana hormon. Jadi, setelah melahirkan anak, ukuran tubuh dan bentuk hidung anda boleh kembali normal. Jadi, jangan terlalu bimbang ya!
Bolehkah Saya Menghalang Hidung Saya Daripada Mengembang?
Malangnya, seperti bengkak semua bahagian badan yang lain, hidung dan muka bengkak adalah sebahagian daripada gejala kehamilan yang semakin normal. Tetapi jangan risau! Setiap wanita mengalaminya secara berbeza-beza, sama ada yang mengalami sedikit perubahan yang hampir tidak ketara, manakala yang lain mungkin merasakan hidungnya membesar dua saiz lebih besar dari biasa.
Satu perkara yang boleh membantu mengurangkan hidung membesar dengan terlalu ketara semasa kehamilan adalah dengan mengawasi pengambilan air anda. Oleh kerana badan bekerja lebih masa untuk memastikan dua nyawa sihat, ia menyimpan banyak air, menyebabkan beberapa bahagian menjadi lebih kembung. Apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan pengekalan air di muka adalah dengan mengambil air lebih banyak, yang mana akan membantu membuang kotoran dalam badan, yang kemudiannya mengurangkan bengkak.
Anda juga boleh memerhatikan tekanan darah anda. Tekanan darah yang lebih tinggi boleh menyebabkan bengkak dan kembang, jadi berhati-hati tentang makanan yang anda makan. Anda juga boleh mengekalkan tekanan darah yang sihat dengan melakukan senaman yang sesuai untuk orang mengandung.
Selepas melahirkan bayi, hidung akan mengecil, pipi yang bengkak akan kembali normal, dan sakit pada sendi anda akan hilang, jadi bersabarlah! Kehamilan tidak kekal, dan begitu juga gejalanya, jadi jangan risau.
Kehamilan menyebabkan seorang wanita berubah sepenuhnya, dan mempunyai hidung yang lebih besar hanyalah salah satu daripada kesan fizikalnya. Tidak kira apa gejala yang anda alami, dan sebesar mana pun hidung dan kaki anda, adalah penting untuk diingat bahawa anda akan mempunyai bayi, dan itu adalah satu kejayaan tersendiri!
Tanda Wajah Orang Hamil Selain Hidung Kembang
Perubahan pada wajah ketika sedang hamil biasanya boleh berlaku secara perlahan atau mendadak dan akan membuatkan anda kelihatan berbeza selama sembilan bulan. Ada perubahan yang membuatkan ibu hamil kelihatan cantik dan berseri, namun ada juga perubahan yang akan membuatkan anda berasa kurang selesa.
Ini adalah beberapa perubahan lain pada wajah yang mungkin akan dialami:
#1. Muka bengkak
Untuk ibu hamil, bengkak pada tangan dan kaki itu normal, namun bahagian muka juga boleh mengalami perubahan dan membuatkan wajah anda lebih bulat dan tembam.
Ia adalah normal, namun jika rasa bengkak itu sehingga menyebabkan rasa sakit, ia mungkin tanda pre-eklampsia. Jadi, sila berjumpa doktor jika anda mengalaminya.
#2. Tumbuh jerawat
Meskipun wajah anda licin ketika sebelum hamil, namun anda mungkin akan didatangi jerawat pada bahagian wajah ketika mengandung. Ini kerana tubuh badan banyak mengeluarkan hormon untuk penghasilan sebum (peluh). Jangan risau, keadaan ini juga normal dan anda tidak perlu begitu bimbang mengenainya.
#3. Mata bengkak
Walaupun anda mungkin sudah cukup tidur serta rehat, mata anda juga boleh kelihatan seperti membengkak dan mata anda kelihatan seperti kekurangan tidur. Biasanya ia terjadi semasa semester terakhir kehamilan kerana anda mungkin kerap terjaga ketika malam hari akibat membuang air kecil dan juga penat kerana membawa badan.
#4. Bulut mata gugur
Ini mungkin antara gejala yang sangat tidak digemari ibu hamil. Anda mungkin alami gejala di mana bulu mata keguguran dan semakin menipis sepanjang kehamilan. Ia mungkin terjadi kerana makanan yang diambil tidak cukup protein dan vitamin, serta mungkin juga tiroid tidak berfungsi dengan baik.
#5. Muncul tahi lalat dan bintik-bintik
Peningkatan kadar estrogen boleh menyebabkan sel melanin di kulit dan membentuk lebih banyak pigmen. Ini seterusnya menyebabkan munculnya bintik hitam dan tahi lalat di wajah kelihatan lebih gelap.
#6. Kulit sensitif
Jangan pelik, ketika hamil anda juga mungkin secara tiba-tiba mendapati kulit anda menjadi lebih sensitif terhadap produk yang selalu digunakan. Jangan terkejut jika anda melihat wajah menjadi kemerah-merahan atau menjadi kering setelah menggunakan produk tertentu ya.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk anda! Tidak kiralah hidung kembang, hidung mancung atau hidung pesek, anda tetap wanita hebat! Yang penting, kekal yakin dengan diri sendiri ya.
Sumber:
Today.com (n.d). Pregnancy nose is a thing. Here’s why it happens. www.today.com/parents/pregnancy/pregnancy-nose-tiktok-trend-shows-bigger-noses-rcna64101
Parents (n.d). ‘Pregnancy Nose’ Is Trending on TikTok—What Is It? www.parents.com/pregnancy-nose-is-trending-on-tiktok-what-is-it-7092471
Emma’s Diary (April 27, 2022). What is Pregnancy Nose and Why Does It Happen? www.emmasdiary.co.uk/lifestyle/celebrity-baby-news/april-2022/what-is-pregnancy-nose-and-why-does-it-happen
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Mulut Terasa Kering Antara 13 Gejala Panic Attack Ketika Hamil, Cuba Tips Ini Kurangkan Kesannya
Baca juga: Gejala PCOS Penyebab Ramai Wanita Sukar Hamil, Ini Penjelasan Dari Pakar Perubatan
Baca juga: Tanda Hamil 1 Minggu Selain Rasa Mual & Pening, 15 Gejala Ini Ramai Ibu Tidak Sedar!