Tiada ibu di dunia ini yang sanggup membiarkan anak mereka hidup dalam kesusahan dan kelaparan. Memandangkan kini seluruh negara menjalani kehidupan norma baharu, ramai yang terkesan akibat pandemik sehingga terpaksa hidup miskin dan ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang.
Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak. Semuanya berkaitan dengan wang ringgit bagi memenuhi keperluan harian mereka. Jika ada gaji, dapatlah makan. Jika tiada, terpaksalah mengikat perut.
Kasih seorang ibu, hidup miskin kesan daripada pandemik Covid-19
Tidak hanya yang tinggal di bandar, yang di luar bandar turut menerima impak pandemik ini. Menurut laporan Arena Gempak, seorang ibu kepada lapan orang anak terpaksa berpura-pura memasak batu untuk anak-anaknya dan berharap mereka tertidur sementara menunggu makanan siap.
Difahamkan wanita berkenaan, Peninah Bahati Kitsao sebelum ini mengambil upah sebagai pencuci pakaian. Namun telah hilang punca pendapatan selepas negaranya, Kenya menguatkuasakan perintah berkurung akibat penularan Covid-19.
Jelas Peninah, sudah beberapa bulan yang lalu mereka sekeluarga tinggal di rumah dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik. Keadaan ini sangat menyukarkannya untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.
Lebih menyedihkan dia tidak mampu membeli lauk dan keperluan dapur yang lain kerana sudah tiada wang. Anak-anak pula terpaksa menahan lapar di rumah mereka.
”Anak-anak sering tertidur ketika saya berpura-pura masak untuk makan malam. Saya tidak mahu mereka menyedari apa yang sedang saya alami.”
Anak dapat syak lakonan seorang ibu
”Namun anak-anak ini pandai. Mereka memberitahu saya bahawa mereka sudah tahu bahawa saya pura-pura masak. Sebagai ibu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah tiada makanan di dapur.” jelasnya.
Kesempitan hidup yang dialami oleh Peninah telah mendapat perhatian jirannya, Prisca Momanyi. Dia berasa simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga itu lalu memberitahu kepada media tempatan.
Mereka berusaha membantu dengan membuka akaun bank untuknya. Sejak daripada itu, kisah yang dilalui Peninah tersebar. Ramai pihak telah tampil menghulurkan pelbagai sumbangan bagi membolehkan dia dan anak-anak meneruskan kehidupan.
”Sampai sekarang saya bagaikan tidak percaya bahawa orang Kenya sangat prihatin dengan keluarga yang hidup miskin seperti saya. Selepas media mengutip sumbangan orang ramai, saya telah menerima banyak panggilan daripada mereka yang mahu membantu.” ujarnya.
Ramai keluarga yang terjejas terpaksa hidup miskin
Pastinya tidak semua orang bekerja sebagai anggota kerajaan mahupun swasta kerana ada yang mencari rezeki dengan bekerja sendiri. Sebuah kajian telah dijalankan oleh Bank Dunia pada 18 Mei hingga 16 Jun tahun lalu bagi melihat impak pandemik ini terhadap institusi keluarga.
Hasilnya mendapati pekerja berkemahiran rendah, pekerja tidak formal dan mereka yang berpendapatan rendah terdedah kepada ketidaktentuan pekerjaan dan gangguan kepada sumber pendapatan berbanding dengan kumpulan lain.
Isi rumah turut menghadapi kejutan semasa pandemik. Antaranya melakukan pengeluaran simpanan peribadi serta kebergantungan terhadap bantuan kerajaan. Gangguan pendapatan ini sekaligus menyebabkan ada keluarga berdepan kekurangan makanan sehingga terpaksa mengangkat bendera putih.
Keadaan ini turut memberikan kesan jangka panjang terhadap aspek ekonomi dan sosial pada masa hadapan. Suami isteri yang kehilangan pendapatan cenderung mengalami tekanan yang mungkin mencetuskan pergaduhan.
Selain itu anak-anak kecil turut menjadi mangsa. Mereka tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku ketika tempoh pandemik ini.
Kesimpulannya, pandemik Covid-19 ini telah membentuk satu dimensi baharu kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Ia bermaksud seseorang itu hidup miskin disebabkan keadaan tertentu, tidak dapat dijangka dan menyebabkan kehilangan punca pendapatan.
Kehilangan punca pendapatan dan dibebani oleh komitmen kewangan memberikan kesan besar kepada keseluruhan hidup. Ketua keluarga mempunyai pilihan terhad dan perlu berusaha mencari pekerjaan baharu. Antaranya mengurangkan perbelanjaan, menggunakan simpanan, membuat pinjaman atau menggadaikan aset tertentu bagi menampung kos hidup.
Sumber: Arena Gempak, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tiada Duit Untuk Beli Susu, Keluarga Ini Terpaksa Beri Anak Kecil Minum Air Rebusan Beras