Ada risiko jika anda selalu dukung bayi cara yang salah
Semua ibu bapa tahu badan bayi baru lahir sangat lembik dan memerlukan sokongan yang secukupnya sehingga otot mereka menjadi lebih kuat. Maka, cara mendukung serta pengendalian bayi yang betul amat penting supaya ia tidak memberi kesan hip dysplasia pada anak.
Tapi, tidak semua orang tahu kesan berpanjangan yang mungkin memudaratkan anak mereka akibat cara dukungan bayi yang tidak betul.
Kiropraktor Dr. Jason Hare berkongsi beberapa kes masalah kesihatan akibat cara mendukung/mengendong bayi yang salah. Cara mendukung/mengendong bayi yang salah boleh memudaratkan lagi keadaan kanak-kanak yang sudah pun menghidap penyakit:
- Hip dysplasia
- Spondilolisis
#1 Kes Hip Dysplasia
Hip dysplasia juga dikenali sebagai dislokasi pinggul kongenital.
Hip dysplasia berlaku apabila sendi pinggul tidak membentuk secara normal, atau terlalu cetek sehingga tulang femur (tulang paha) senang terkehel.
Walaupun Dr. Hare berpendapat kebanyakkan kes hip dysplasia disebabkan cara bedung yang salah, dia mengatakan cara ibu bapa mendukung bayi juga boleh memberi kesan jika bayi itu dilahirkan dengan sendi pinggul yang tidak normal.
Cara terbaik untuk mendukung/mengendong bayi, adalah memastikan lutut bayi dibengkok dan pada kedudukan yang lebih tinggi dari paras pinggul, dan kakinya menghala ke luar.
Kedudukan ini lebih dikenali sebagai “kedudukan katak.” Apabila mendukung bayi dalam kedudukan ini, anak akan “berpaut” pada pinggang dan badan ibu bapa secara semuajadi.
Menurut Orthoseek (sumber maklumat untuk pakar tulang kanak-kanak) – meletakkan kaki bayi dalam kedudukan lurus ke bawah adalah tidak digalakkan.
Pinggul bayi yang terkangkang dapat menggalakkan kepala femur (bebola tulang paha) untuk masuk ke dalam acetabulum (soket) dengan lebih baik.
Cara mendukung dan mengendong ini akan memberi sokongan yang terbaik untuk pinggul bayi sepanjang perkembangan mereka.
Oleh itu, ibu bapa berpotensi mengurangkan risiko hip dysplasia dengan alat pengendong bayi ergonomik dan mengikut cara pemakaian carrier, wrap dan ring sling yang betul.
#2 Kes Spondilolisis
Ini adalah kecederaan saraf tunjang serius akibat tekanan berterusan yang menyebabkan tulang retak.
Ia adalah masalah kesihatan seumur hidup yang sangat menyakitkan dan mungkin akan memerlukan pembedahan.
Untuk mengelakkannya, jangan guna carrier yang mempunyai sokongan “keras dan tinggi”.
Ibu bapa boleh mendukung/mengendong mereka secara tegak selagi alat pengendong bayi yang diguna menggalakkan tulang belakang bayi yang lengkung ke luar dan bukannya ke dalam.
Tulang belakang melengkung ke luar adalah kedudukan tulang belakang yang normal untuk bayi di bawah umur 6 bulan.
Jadi apakah cara yang betul untuk mendukung atau mengendong bayi?
Gunakan alat pengendong yang dibuat dengan kain yang lembut seperti wrap, ring sling, serta carrier ergonomik yang sesuai untuk bayi baru lahir.
Pilihlah alat pengendong yang sesuai dengan gaya hidup anda.Yang paling penting, pastikan anda memilih carrier jenis yang selamat dan selesa untuk anak dan diri sendiri.
Selain itu selalu ingat semua ini apabila mendukung bayi dekat dengan dada anda:
- Pastikan pinggul bayi anda berada dalam kedudukan yang menggalakkan sendi pinggul mereka untuk berkembang secara semula jadi
- Pastikan kepala mereka sentiasa disokong dengan lembut dan dalam keadaan tegak supaya mereka boleh bernafas dengan baik
- Alat pengendong sentiasa ketat dan menyokong lengkungan tulang belakang bayi
Alat-alat lain serta alat pengendong yang patut dielakkan
Menurut Pure Chiropractic, ini adalah antara beberapa perkara dan alat yang perlu dielak untuk bayi anda:
- Jangan letak bayi dalam kerusi lompat. Ini akan memberi tekanan pada tulang belakang bayi yang belum sedia untuk menampung berat badan yang sepenuhnya.
- Kurangkan dari mengendong bayi dengan menghadap ke luar kerana kedudukan menghadap ke dalam membantu perkembangan pinggul dan memberi leher bayi posisi tidur yang terbaik.
- Elak dari guna alat pengendong yang membiarkan kaki bayi tergantung dengan bebas. Pastikan ia lembut dan selamat untuk perkembangan pinggul yang baik.
- Berhati-hati dengan “klik pinggul“, perbezaan panjang kaki, atau lipatan kulit tidak sekata dan hubungi pakar pediatrik anda
- Jumpa pakar kanak-kanak dengan segera jika anda mendengar bunyi “klik” dari pinggul, panjang kaki anak yang berbeza, atau lipatan kulit yang tidak sekata.
Jika anda memerlukan petunjuk atau kurang pasti alat pengendong serta cara mengendong yang betul, layari :
Sempena International Babywearing Week tahun ini, marilah kita menimba ilmu tentang cara yang betul dan selamat untuk mengendong anak kita. Sama-sama kita berkongsi ilmu ini, ya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!