Mungkin ramai wanita yang masih ragu-ragu akan hukum potong kuku ketika haid atau memotong bulu ari-ari ketika berhadas besar. Dalam konteks ini adalah baik dari segi haid, nifas atau junub.
Keraguan ini boleh menjurus sehingga wanita lebih rela menyimpan kuku yang panjang atas alasan ‘haram’ jika memotong kuku ketika haid. Kebanyakan wanita percaya bahawa sekiranya memotong kuku ia perlu dimandikan bersama dan ditanam.
Sedangkan masih tiada dalil yang sahih menyatakan yang ia adalah haram atau makruh. Malah menurut perkongsian PU Azman dalam laman Instagram beliau memotong kuku ketika haid adalah dibolehkan dan ia adalah harus.
Hukum Potong Kuku Ketika Haid Menurut Islam
Tiada dalil sahih yang melarang wanita yang berhadas besar seperti haid, nifas atau junub untuk mengetip kuku, memotong rambut atau mencukur bulu.
Malah tiada dalil juga menyatakan sekiranya dipotong, anda perlu memandikan semua yang dipotong ketika mandi wajib.
Malah tiada kaitan langsung kuku atau lebihan rambut yang dipotong yang tidak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat nanti. Dan sekali lagi masih tiada dalil yang sahih menyokong perbuatan ini.
Amalan Potong Kuku Ketika Haid Untuk Menjaga Kebersihan
Dr. Zulkifli al-Bakri menyimpulkan bahawa hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan berhadas besar adalah tidak haram tetapi makruh di sisi sebahagian ulama. Ini kerana ia termasuk dalam fitrah terutama soal kebersihan.
Mazhab Syafie menyebut dalam kitab-kitab mereka pendapat Imam al-Ghazali tentang larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub. Berkata Imam al-Ghazzali dalam Ihya Ulumiddin (2/51):
“Dan tidak sepatutnya seseorang itu mencukur rambutnya, memotong kukunya, mencukur bulu ari-arinya, atau mengeluarkan darahnya, atau mengeluarkan satu bahagian daripada dirinya, sedang dia dalam keadaan dia berjunub.
Ini kerana sekalian bahagian itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub lalu dikatakan kepada orang itu : “Sesungguhnya setiap bulu-bulu ini menuntut kepadanya atas keadaan janabah (atau kenapa ia dibangkitkan dalam keadaan hadas besar).”
Kenyataan ini dipetik sebagai faedah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam al-Haitami (1/284), al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (1/70), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam Syams al-Din al-Ramli (1/229), Tuhfah al-Habib oleh Imam al-Bujairimi (1/247) dan lain-lain.
Berkata al-Bujairimi: “Pada (pendapat al-Ghazali) ini ada nazar (kritikan), kerana bahagian badan yang kembali kepada jasad seseorang itu adalah berdasarkan keadaannya sewaktu mati, bukannya sekalian kukunya yang telah dipotong selama umurnya, bukan juga rambut, maka pendapat ini perlu dirujuk kembali.
Al-Qalyubi juga menyatakan bahawa kerana kalau dikembalikan kepada seseorang itu akan sekalian kuku dan rambut itu pada jasadnya nescaya akan buruklah rupanya dek kerana panjang kuku dan rambut itu. Manakala al-Madabighi pula berkata bahawa dikembalikan sekalian juzuk badan itu yakni bahagian yang asal sahaja seperti tangan yang terpotong, bukannya rambut atau kuku…
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Setiap seorang daripada manusia akan bangkit dalam keadaan yang dia mati kemudian apabila masuk syurga mereka akan jadi tinggi (seperti saiz Nabi Adam AS.).”
Berdasarkan keterangan ini, kami berpendapat bahawa perbuatan mencukur dan memotong rambut, atau memotong kuku, sewaktu haid bukanlah haram.
Tambahan lagi, kenyataan Imam al-Ghazali itu jika dilihat konteks perbincangannya di dalam kitab al-Ihya lebih kepada situasi berjunub disebabkan jimak yang boleh dipendekkan waktu hadas besarnya, bukan bagi haid atau nifas.
Ini kerana waktu haid dan nifas agak panjang dan mungkin menyukarkan kaum wanita untuk berhati-hati terhadap setiap rambut yang gugur dan kuku yang dipotong.
Begitu juga Imam al-Ghazali menggunakan sighah لا بنبغي yang lebih bermaksud “tidak sepatutnya”. Ini lebih menunjukkan kepada larangan bersifat makruh dan bukan haram.
Sekalipun kami berpendapat tidak makruh atau haram, terpulang kepada orang ramai untuk mengambil langkah keluar daripada khilaf kerana ini soal peribadi. Begitu juga jika ada yang ingin menyimpan kuku dan rambut yang terputus sewaktu haid dan nifas kemudian dimandikan apabila sudah suci.
Jadi sekiranya anda masih ragu-ragu ia adalah keputusan peribadi masing-masing untuk melakukan apa yang selesa dengan diri anda. Sekiranya ia menyukarkan maka bolehlah ditinggal, kerana tiada dalil sahih pun menyatakan anda perlu memandikan sisa potongan baik kuku, rambut dan sebagainya.
Islam itu mudah, jadi anda lebih bijak untuk mengikut apa yang dirasakan mudah dan masuk akal. Semoga Allah Taala menerima amalan kita dan menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat-Nya.
Mufti Wilayah Persekutuan , Instagram PU Azman, Zulkifli al Bakri
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Potong Kuku Terlalu Melengkung Undang Cagu, Pakai Pula Kasut Sempit, Aduh Terasa Denyutnya!