Setiap kali tiba musim perayaan Krismas, ramai di kalangan masyarakat kita yang turut serta dalam tradisi tukar hadiah. Walaupun tradisi ini kelihatan menyeronokkan dan seperti tiada kaitan dengan agama, umat Islam sering bertanya: apakah hukum tukar hadiah sempena Krismas dan mengucapkan ‘Merry Christmas’?
Hukum Tukar Hadiah Sempena Krismas
Menurut laman Mufti Wilayah Persekutuan, dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam.
Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim.
Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.”
Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak.
Tidak Berniat Merayakan Perayaan Kristian
Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka.
Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
Hukum Mengucapkan Merry Christmas
Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas.
Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka.
Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain.
Kami nyatakan di bawah, pandangan kedua-dua golongan tersebut.
Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah
Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.
Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji”, sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai ” Haji “. ” (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)
Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.
Secara keseluruhan, tidak boleh bagi mereka (umat Islam) untuk mengkhususkan perayaan-perayaan orang bukan Islam dengan perbuatan yang merupakan syiar agama mereka.
Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam.
Adapun sekiranya umat Islam melakukannya kerana ditimpa satu keperluan, maka sebahagian ulama salaf dan khalaf telah memakruhkan hal tersebut.
Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah
Antara mereka yang mengharuskannya ialah:
Ulama Silam
- Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)
- Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289)
- Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam. Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).
- Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986)
Ulama Kontemporari
- Syeikh Muhammad Rashid Redha
- Syeikh Dr. Ahmad al-Syarbasi
- Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa
- Syeikh Dr.. Ahmad al-Thayyib
- Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi
- Syeikh Abdullah bin Bayyah
- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
- Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim ‘Allam
- Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Dasuqi
- Syeikh Dr. Ali Jum’ah
- Syeikh Prof Dr Muhammad bin Ibrahim al-Hifnawi
- Syeikh Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni
- Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said
- Syeikh Dr. Musthafa Abu Sulaiman al-Nadwi
- Syeikh Ikrima Sabri
- Syeikh Hamza Yusuf
- Dr Mohamed Fatris Bakaram
Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:
- Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka.
- Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.
- Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijma’, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.
Mufti Wilayah Persekutuan kemukakan di sini Garis Panduan Umum yang perlu difahami:
Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja.
Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!