Sudah 18 kematian dilaporkan daripada 58 kes keracunan makanan disebabkan memakan ikan buntal. Baru-baru ini, warga emas, Eng Kuai Sin @ Ng Chuang Sing yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 25 Mac lalu, disahkan meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat memakan ikan buntal.
Untuk rekod, pasangannya iaitu Lim Siew Guan dilaporkan maut pada 29 Mac selepas makan hidangan ikan buntal buat kali pertama.
Pasangan suami isteri ini menjadi mangsa keracunan ikan buntal setelah membeli ikan buntal secara atas talian menerusi laman Facebook. Sebelum menikmatinya sebagai makanan tengah hari. Ikan yang segar itu diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diproses oleh pemborong di Batu Pahat, Johor.
Suami isteri alami gejala yang sama, tiba-tiba sesak nafas dan menggigil
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata, isteri mangsa tiba-tiba mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada jam 5 petang 25 Mac lalu, sebelum disahkan maut dua jam kemudian.
Begitu juga suaminya, Kuai Sin yang turut mengalami gejala yang sama sejam selepas isterinya.
Kuan Sin yang dipindahkan ke Wad Perubatan dilaporkan stabil dalam keadaan sedar. Tetapi, pesakit masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan diberi makan melalui tiub.
Namun, pada 8 April lalu sekitar jam 5.20 pagi, pesakit telah dikesan dalam keadaan tidak responsif semasa jururawat menguruskan pesakit lain. Justeru, bantuan kecemasan telah diberikan dengan serta-merta oleh Pegawai Perubatan selama 30 minit sebelum pesakit disahkan meninggal pada jam 6.20 pagi.
Ramai tak tahu bahaya racun yang ada dalam ikan buntal
Ikan buntal atau pufferfish adalah sejenis ikan beracun yang datang dari keluarga Diodontidae iaitu spesies yang sering ditemui di negara kita.
Ia juga dikenali sebagai ‘ikan fugu’ yang tergolong dalam satu daripada jenis racun semula jadi yang paling bahaya dan boleh membawa maut di dunia. Ini kerana racun Tetrodoktoksin yang ditemui dalam ikan buntal boleh menyerang sistem saraf dan sekaligus boleh membawa maut.
Racun ini sebenarnya lebih berbahaya daripada sianida. Ia boleh membahayakan nyawa walaupun anda mengambil dalam kuantiti yang sedikit. Selain itu, teknik siang ikan buntal juga berbeza dengan cara yang biasa.
Bukan itu sahaja, bahagian tertentu seperti kulit, hati dan ovarium hendaklah dibersihkan dengan teliti sebelum dimakan. Ini kerana racun tetrodoktoksin tidak akan hilang walaupun sudah dimasak atau dibekukan. Malah, jika tidak bersihkan dengan betul, racun tersebut akan merebak dan menyerap ke dalam isinya.
Hidangan ikan buntal biasanya terkenal dengan hidangan sashimi, dimasak sebagai fuguchiri dan wain sirip yang menjadi hidangan kegemaran orang Jepun.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan jual sama sekali mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983.
Tips siang ikan yang betul supaya dimakan dengan selamat
Jika anda betul-betul teringin dan mengidam makan ikan buntal, pastikan anda siang dengan cara yang betul, selain mendapatkan dari pembekal yang dipercayai dan diketahui jenisnya. Kami sediakan beberapa tips ddi bawah yang mungkin dapat membantu:
- Buang kulit ikan bermula dari bahagian mulut sehingga keseluruhan. Ini bagi membuang racun yang terdapat pada ikan.
- Bersihkan daging ikan dengan betul sehingga lendir tertanggal dan hilang sepenuhnya.
- Sebaiknya, ambil isi ikan dengan menggunakan pisau yang tajam dan membuang sisa yang lain.
- Buang sahaja bahagian badan ikan jika anda tersalah belah kerana bimbang racun merebak ke bahagian lain.
Namun begitu,spesies ini tidak digalakkan untuk makan di rumah dan adalah lebih baik jika dihidangkan oleh cef yang mempunyai kepakaran dalam menyediakan hidangan berasaskan ikan buntal.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Teman Bapa Beli Buku Abang Di Sekolah, Budak 6 Tahun Kemalangan & Dimasukkan ICU
Baca juga: ”Maryam Luka-Luka & Lebam”, Ibu Kecewa CCTV Taska Dedah Rupanya Anak Diserang Di Bilik Isolasi
Baca juga: Baru 10 Minit Ibu Keluar Ke Kedai, Sekelip Mata Empat Anak Terkorban Dalam Kebakaran