Bila bergelar suri di hati seseorang, tentunya wanita takut akan digelar isteri derhaka terutama bila secara tak sengaja melukakan hati suami.
Ya, semestinya setiap wanita pasti ingin mendapat gelaran isteri solehah buat suami tercinta sekaligus taat, mendengar kata, sentiasa patuh kepada suami jika tidak bertentangan dengan Islam, menghormati dan sebagainya.
Isi Kandungan
Gelaran isteri derhaka
Biasanya kaum wanita mudah mendapat gelaran isteri derhaka apabila mereka melakukan dosa terhadap suami. Mungkin tak sedar, tetapi begitulah manusia, sering terbabas ke kancah khilaf akibat nafsu dan hasutan.
Sesungguhnya kedudukan isteri adalah bersama suaminya. Betapa buruk dan teruk pun suami itu, adalah tanggungjawab untuk menghormati dan memperbetulkan kesilapan anda. Ingatlah syurga bagi isteri adalah terletak pada suaminya sendiri.
Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka.
Terdapat 7 tanda-tanda awal isteri derhaka kepada suami:
#1. Hina dan ngumpat suami kepada orang lain
Sebagai isteri, simpan segala rahsia dan hal peribadi dalam rumah tangga. Jangan sesekali menceritakannya kepada orang lain hingga menjatuhkan maruah suami itu sendiri.
Hal ini kerana, hanya isteri sahaja yang tahu rahsia suami dalam rumah tangga jadi simpan segalanya dengan rapi.
Jika anda bertindak sedemikian, ia boleh menjejaskan keharmonian dalam rumah tangga lantas suami juga rasa hilang kepercayaan kepada isterinya.
#2. Ceritakan kelemahan suami pada orang lain dan mengherdiknya
Tanda tanda isteri derhaka yang seterusnya adalah membuka aib suami. Dalam keadaan apa sekalipun, isteri tidak boleh sesekali mengherdik atau menceritakan kelemahan pasangan kepada orang lain.
Tapi, isteri sepatutnya sentiasa menggembirakan hati suaminya dan menjaga tingkah laku dengan baik sama ada di depan atau di belakang suami.
#3. Keluar rumah tanpa kebenaran suami
Tanda tanda isteri derhaka yang lain adalah keluar rumah sesuka hati tanpa meminta izin suami terlebih dahulu.
Sabda Rasulullah SAW:
Apabila wanita keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehigga dia kembali (Diriwatkan oleh Thabarani di dalam Al- Awsat).
#4. Berdoa suami diberi kecelakaan dalam hidup
Isteri derhaka ini akan selalu mendoakan yang tidak baik berlaku dalam hidup suaminya. Sedangkan isteri solehah selalu sebut yang baik-baik dalam doanya demi suami tercinta.
#5. Benci setiap benda kegemaran suami
Tanda tanda isteri derhaka seterusnya adalah timbulnya rasa benci terhadap sesuatu yang disukai suami.
Kurniaan Allah SWT yang meletakkan suami sebagai pemimpin dalam keluarga hingga dia bertanggungjawab menjaga, mengawal keselamatan dan memelihara keluarga dalam keadaan yang baik.
Sebab itu, suami wajib menyediakan nafkah keperluan zahir dan batin kepada isterinya agar hidup lebih bahagia.
Tapi sememangnya kekadang isteri rasa kehendaknya tidak dipenuhi namun anda tidak boleh sewenang-wenangnya menafikan apa saja kegemaran dan kesukaan suami.
#6. Membuatkan suami rasa tekanan
Ciri-ciri isteri derhaka yang lain adalah buat suami tidak tenang dan sering tertekan apabila bersama.
Keadaan eknomi sekarang yang tengah jatuh membuatkan ada sesetengah keluarga mengalami masalah dari sudut kewangan.
Jadi, menjadi peranan isteri untuk menggunakan harta benda suami ke jalan yang betul tanpa membazirkannya.
Selain itu, jangan sesekali meminta sesuatu di luar kemampuan suami hingga menyebabkan suami rasa tertekanlalu menganggu fikirannya kerana merasakan dirinya tidak berguna sebab tak dapat memenuhi segala kehendak isterinya.
Jadi sebaiknya isteri sama-sama membantu suami dalam menguruskan hal rumah tangga supaya meringankan beban suami jika mereka meminta pertolongan.
#7. Selalu mengungkit janji suami
Sentiasa redha dan bersyukur dengan segala pemberian suami yang sesungguhnya itulah rezeki yang terbaik untuk isteri.
Sabda Rasululllah SAW:
Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.
Rasulullah menjawab lagi:
Wanita mengkufurkan suaminya dan ihsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup. HR- Al-Bukhari.
Kenapa ramai isteri dalam neraka? sebabnya mereka menggunakan lidah untuk menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya – Hadis Muslim.
Balasan isteri derhaka di dunia
#1. Allah tidak mahu melihatnya di akhirat
“Tuhan tidak akan pernah ingin melihat seorang isteri yang tidak ingin mengucapkan terima kasih kepada suaminya atas kebaikan suaminya walaupun dia selalu memerlukan suaminya.” (HR. An-Nasa’i)
#2. Amal ibadahnya sia-sia
Segala amal ibadah isteri yang derhaka menjadi sia-sia dan tidak mendapatkan pahala. Sehingga, apabila ia mengerjakan solat, maka itu hanya bernilai melaksanakan kewajiban di hadapan Allah dan tidak akan bernilai pahala. Rasulullah bersabda:
“Dua golongan yang solatnya tidak bermanfaat bagi dirinya, iaitu hamba yang melarikan diri dari rumah tuannya sampai dia pulang dan isteri- isteri yang melarikan diri dari rumah suaminya sampai dia kembali.” (HR.Hakim dan Ibnu Umar).
#3. Dilaknat oleh malaikat
Para malaikat memaki isteri yang menolak ajakan suaminya untuk melakukan hubungan seks. Rasulullah bersabda:
“Sekiranya seorang suami mengajak isterinya tidur, dan si isteri menolak dan si suami menghabiskan malam dengan marah kepadanya, para malaikat akan melaknatnya hingga pagi.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
#4. Isteri derhaka tidak bau surga
“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.”
Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?”
Baginda menjawab:
“Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” -{HR Muslim}
Oleh itu, selaku isteri yang solehah, haruslah bagi kita mengetahui akan kelemahan dan kekuatan diri, suami dan keluarga untuk memahami akan apa erti kehidupan berumahtangga dan berkeluarga. Agar mudah untuk kita menetapkan hala tuju kehidupan yang semakin hari semakin baik bersama suami dan juga keluarga untuk mendapat keredhaanNya.
Carilah ‘Titik Persamaan’ dalam kebersamaan agar terbitnya rasa saling lengkap-melengkapi dan jauhilah sifat sentiasa mencari perbezaan atau mencari salah antara satu sama lain, kerana ianya akan menerbitkan Amarah yang sentiasa berusaha untuk merosakkan institusi rumahtangga jika tidak dikawal.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Suami Pimpinlah Tangan Isteri, Anda Yang Menentukan Dia Masuk Syurga @ Neraka
Baca juga: Ramai Mertua & Menantu Perempuan Susah Nak Serasi, Tapi Ini Jarang Terjadi Pada Kaum Suami
Baca juga: Cerai Ketika Hamil, Adakah Lafaz Talak Suami Itu Sah Di Sisi Agama? Ini Jawapan Mufti