Istiadat Pertabalan Agong 2024 akan diadakan pada 20 Julai 2024 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Malaysia merupakan negara yang cukup unik kerana ia satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir setiap lima tahun.
Pemilihan raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ini tidak berlaku di mana-mana negara lain selain Malaysia.
Maksud Pertabalan Agong
Istiadat Pertabalan Agong adalah majlis penuh istiada yang diadakan untuk merasmikan penakan takhta seorang raja yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong di Malaysia.
Majlis ini akan dihadiri oleh para pembesar negara, ahli-ahli Parlimen, serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara, menjadikannya satu acara bersejarah yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Bila Istiadat Pertabalan Agong 2024?
Istiadat Pertabalan Agong 2024, Yang di-Pertuan Agong ke-17 iaitu Sultan Ibrahim akan berlangsung pada 20 Julai 2024 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dijangka kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertuan-Yang Dipertuan Negeri, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini, serta pemimpin-pemimpin utama negara akan hadir.
Seramai 2,000 petugas merentasi pelbagai agensi akan terlibat dalam upacara Istiadat Pertabalan Agong 2024 ini.
Tarikh-Tarikh Penting Istiadat Pertabalan Agong 2024
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Majlis Pertabalan Agong bermula pada petang 18 Julai.
Kerajaan dengan titah perkenan Yang Di-Pertuan Agong ke-17 akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan seperti berikut:
- 18 Julai 2024: Majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
- 19 Julai 2024: Bacaan Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Isam mengenai kepentingan Institusi Raja Berpelembagaan.
- 20 Julai 2024, 10 Pagi: Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
- 20 Julai 2024, 8.30 Malam: Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur.
- 23 Julai 2024: Raja Permaisuri Agong berangkat melawat Hospital Orang Asli Gombak , Selangor.
- 25 Julai 2024: Pameran Raja Kita di Muzium Negara Kuala Lumpur.
- 27 Julai 2024: Acara Istiadat Pertabalan akan selesai dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Penutupan Jalan Sempena Istiadat Pertabalan 2024
Sebanyak 14 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat Sabtu ini (20 Julai) bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Penutupan jalan secara sementara ini adalah untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan yang ditetapkan mengikut masa yang ditetapkan dan akan dibuka semula selepas orang kenamaan melalui laluan yang ditetapkan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Rusdi berkata, penutupan jalan sementara ini akan bermula jam 8 pagi bagi Istiadat Pertabalan dan pada jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
Antara jalan yang ditutup sempena Pertabalan Agong 2024 adalah:
- Jalan Tun Razak
- Jalan Kia Peng
- Jalan Raja Chulan
- Jalan Ampang
- Jalan Sultan Ismail
- Lebuhraya Sultan Iskandar
- Jalan Tuanku Abdul Halim
- Jalan Semantan
- Jalan Damansara
- Jalan Istana
- Kuala Lumpur-Seremban Expressway
- Jalan Kuching (arah selatan)
- Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis akan menempatkan sekurang-kurangnya 387 pegawai dan anggota polis bagi melaksanakan penugasan ditetapkan pada hari berkenaan.
“Semua 387 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu-lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikut arahan-arahan anggota Polis Trafik yang bertugas di lokasi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999,” katanya.
Usah Cemas Bunyi Meriam
Orang ramai khususnya warga kota dinasihatkan agar tidak cemas jika terdengar bunyi tembakan meriam semasa memandu di sepanjang Jalan Sultan Abdul Halim pada pagi Jumaat dan Sabtu ini.
Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri Mohd Faidz Sanusi berkata pada 8.30 pagi Jumaat ini, sebanyak dua das tembakan meriam akan dilepaskan bersempena dengan raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.
“Pada hari Sabtu iaitu hari sebenar Istiadat Pertabalan, sebanyak 21 das tembakan meriam akan dilepaskan juga pada 8.30 pagi. Jadi, sesiapa yang mendengar bunyi tembakan pada waktu itu janganlah cemas,” katanya.
Keunikan Istiadat Pertabalan Agong 2024
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini mempunyai keistimewaan tersendiri lebih-lebih lagi persiapan yang diatur rapi turut mendapat sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, banyak perkara berkaitan persiapan dan peraturan istiadat itu dipantau Seri Paduka Baginda berdua yang mahu segalanya berlangsung dengan sempurna untuk menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
“Saya ambil contoh sekecil-kecil persiapan kad jemputan, Seri Paduka Baginda berdua memberi sedikit kelainan kad itu warnanya biru Tiffany iaitu warna kegemaran Seri Paduka Baginda.
“Cenderamata pertabalan, pingat pertabalan semuanya dilihat dengan begitu terperinci oleh Seri Paduka Baginda. Boleh saya katakan Seri Paduka Baginda begitu cakna, sangat mengetahui segala perkara,” katanya.
Azuan Effendy berkata, beliau percaya Sultan Ibrahim juga akan menampilkan keunikan tersendiri pada istiadat yang bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara itu antaranya semasa upacara mempersembahkan keris kerajaan iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Menelusuri sejarah istiadat pertabalan sebelum ini katanya setiap Yang di-Pertuan Agong mempunyai cara tersendiri apabila menerima keris berkenaan.
“Ada Yang di-Pertuan Agong yang menjunjung keris itu, ada juga yang membuka sarung keris dan mengucupnya. Ini kita tidak tahu apa yang akan dilaksanakan dan saya percaya kita akan dapat saksikan nanti pada 20 Julai ketika istiadat pertabalan itu berlangsung,”
beliau berkata, istiadat penuh bersejarah itu juga akan diserikan dengan keberangkatan dua Ketua Negara luar iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Menyifatkan persiapan istiadat itu seumpama sebuah keluarga ketika mengadakan kenduri kahwin, beliau berkata semua pihak terlibat bertungkus lumus memastikan segalanya berjalan sempurna.
Astro Awani, Sinar Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sayang Pula Nak Makan! Kek Inspirasi Muskat, Tengkolok Diraja Dapat Pujian Di Media Sosial
Baca juga: Koleksi Istimewa Air Tangan Permaisuri Agong Sering Membuatkan Rakyat Jatuh Cinta
Baca juga: Lembut, Peramah & Bersifat Keibuan, Inilah First Lady Yang Diimpikan Rakyat — Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!