Tabiat menyimpan wang dengan menabung seharusnya dimulakan sejak usia kanak-kanak, sesuai dengan pepatah Melayu, ‘meluntur buluh biarlah dari rebungnya’. Terdapat pelbagai cara memupuk sikap menabung dalam kalangan anak-anak. Paling mudah adalah dengan menyasarkan matlamat serta menabung mengikut jadual simpan duit.
Amalan menabung ini juga dapat memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai kepentingan berjimat cermat, membeli mengikut keperluan serta mengelakkan mereka daripada sikap boros berbelanja.
Kaedah menabung mengikut jadual simpan duit
Malah ia juga membantu mereka untuk memahami betapa tingginya nilai sesuatu wang tersebut selain sukarnya untuk mendapatkan wang.
Dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, seterusnya umat Islam menyambut Aidilfitri. Bolehlah ibu dan ayah menggalakkan anak-anak untuk mengamalkan tabiat menabung. Tambahan lagi, kebiasaannya hari raya Aidilfitri, mereka menerima duit raya daripada pakcik dan makcik serta saudara-mara yang lain.
Ibu dan ayah boleh menggunakan kreativiti masing-masing bagaimana caranya menyimpan duit mengikut jadual untuk anak-anak. Tidak kisahnya sikit atau banyak, asalkan anak-anak melakukan amalan tabungan.
Kaedah jadual ini mungkin boleh dijadikan panduan untuk ibu dan ayah di rumah.
1- Simpan setiap hari
Setiap hari ke sekolah, berapa jumlah belanja diberikan kepada anak-anak? Sebagai contoh, RM3 untuk sesi sekolah rendah pagi (kebangsaan) dan RM3 untuk sesi sekolah petang (agama).
Jadi bolehlah simpan duit RM1 setiap hari di dalam tabung. Dalam sebulan, anak boleh dapat kira-kira RM23 jika tolak Sabtu dan Ahad tiada duit belanja kerana cuti. Boleh dapat RM276 dalam setahun.
Bagaimana kalau anak tidak mampu menyimpan RM1 setiap hari? Mungkin boleh guna kaedah 50 sen setiap hari. Seperti yang diterapkan, tidak kisahlah nilai tersebut tinggi atau rendah.
Yang penting memupuk sikap menabung dalam diri anak-anak. Jadi kalau 50 sen setiap hari, bolehlah kumpul kira-kira RM11.50 dalam sebulan dan setahun boleh dapat RM138.
2- Simpan setiap minggu
Katakanlah anak tidak mampu untuk menyimpan setiap hari, boleh guna kaedah menyimpan setiap minggu daripada belanja sekolah yang diberikan.
Sebagai contoh, RM6 setiap hari duit belanja mereka. Untuk lima hari persekolahan, jumlah ibu dan ayah berikan kepadanya ialah RM30.
Daripada RM30, mungkin boleh menyimpan RM3 setiap minggu. Jadi dalam tempoh sebulan, anak-anak menyimpan RM15. Cukup setahun, mereka berjaya menyimpan RM180 dan bolehlah dimasukkan ke dalam bank.
3- Simpan duit untuk beli barang yang diinginkan
Tiba-tiba anak anda beritahu teringinkan sesuatu permainan atau buku atau apa sahaja barangan lain yang dia inginkan. Ibu dan ayah mampu untuk belikan barangan tersebut tetapi dalam masa sama, mahu mendidik anak-anak betapa sukarnya untuk mendapatkan wang.
Jadi boleh galakkan kepada mereka menabung ikut jadual. Misalnya mereka inginkan baju bercorak kartun berharga RM30. Buat jadual simpanan untuk anak dengan sasaran RM30 harga baju tersebut.
Setiap hari mereka perlu menyimpan di dalam tabung mengikut jadual sehinggalah berjaya mencapai matlamat yang disasarkan. Dengan cara ini, boleh menanam sikap menghargai dalam diri mereka.
Mana tidaknya, hendak beli baju perlu mengumpul duit setiap hari. Apabila mereka berjaya mendapatkan barangan yang diinginkan, anak-anak akan lebih menghargai kerana memahami sukarnya mereka mengumpul duit untuk mendapatkannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bersedia Untuk Ajar Anak Menyimpan Wang Sendiri? Ini Tips Menabung Yang Boleh Anda Praktik Bersama
Baca juga: Fikir 5 perkara penting ini dulu sebelum menabung untuk masa depan anak