Meneka jantina bayi dalam kandungan merupakan salah satu perkara yang menyeronokkan semasa hamil. Ketika anda mengetahui yang anda hamil, anda dan pasangan pasti akan mula tertanya-tanya apakah jantina anak dan sudah semestinya tak sabar nak menunggu hari mengetahui jantina anak, kan?
Tapi, bila sebenarnya kita boleh dapat tahu jantina anak dalam kandungan ni? Ha… Ini apa yang perlu anda tahu tentang jantina bayi.
Isi Kandungan
Jantina Bayi Dalam Kandungan
Bagi anda yang belum mengetahui bagaimana cara jantina anak anda ditentukan, sebenarnya jantina bayi ditentukan ketika pertumbuhan gen. Embrio yang bertemu kromosom XY akan menjadi anak lelaki manakala kromosom XX akan menjadi anak perempuan.
Di dalam kromosom seks, ada 70 gen yang akan menentukan jantina anak. Selama dalam kandungan, paparan hormon yang dipilih oleh gen bayi akan mempengaruhi anatomi, fisiologi dan tingkah laku bayi.
Dari awal kehamilan hingga usia kandungan mencecah 8 minggu, kedua-dua jenis jantina bayi mempunyai asas yang sama. Testis pada lelaki sama dengan labia dan ovarium wanita manakala zakar sama dengan klitoris.
Bayi akan membesar memiliki organ sulit perempuan sekiranya mereka tidak memiliki hormon testosteron lelaki. Dalam minggu ketujuh, kromosom Y akan memulakan pengeluaran testosteron dan alat sulit lelaki akan mula terbentuk.
Jantina Bayi Dalam Kandungan Terbentuk Antara Minggu Ke 7-12
Antara minggu ke 7-12, asas bentuk alat sulit bayi yang sama tadi akan mula terbentuk dan akan menentukan jantina anak dalam kandungan. Pada minggu ke 9, alat kelamin bayi lelaki mula memanjang dan perlahan-lahan membentuk menjadi zakar.
Namun sebenarnya, zakar dan klitoris tetap berukuran sama sehingga usia janin mencecah 14 minggu. Di minggu ke-14 ini juga, sistem saluran kencing bayi mulai terbentuk.
Untuk bayi lelaki, tunas yang akan menjadi prostat muncul sekitar minggu ke-10. Testis akan mulai turun pada minggu ke-26, sementara perkembangan zakar paling ketara adalah pada trimester ke-tiga.
Utuk bayi perempuan, perkembangan organ genital statik sepanjang waktu. Ovarium muncul sekitar minggu ke 11-12.
Sekitar minggu ke-20, bayi perempuan akan memiliki tujuh juta sel telur primitif yang akan berkurang menjadi 2 juta ketika lahir. Faraj mula membuka permukaan perineum pada minggu ke-22.
Cara Mengetahui Jantina Bayi
Mesti ibu selalu tertanya-tanya kan bila boleh tahu jantina bayi? Sebenarnya terdapat beberapa kaedah perubatan moden yang membolehkan ibu-ibu mengetahui jantina bayi yang sedang dikandung. Antaranya adalah seperti berikut:
#1. Melalui Ultrasound
Ultrasound merupakan ujian pranatal rutin yang biasa dilakukan semasa anda hamil. Tujuannya adalah untuk mengetahui perkembangan dan keadaan kesihatan bayi di dalam perut dan dalam masa yang sama doktor juga boleh mengetahui apakah jantina bayi melalui imbasan yang dilakukan.
Ketika usia kandungan mencapai 18 – 22 minggu, imbasan ultrasound dapat menentukan jantina bayi.
Tapi ujian ini tidak 100% tepat kerana kadang-kadang doktor mungkin akan tersalah anggap tali pusat pada bayi perempuan sebagai zakar atau zakar bayi lelaki terlindung di antara kedua belah kaki.
Oleh itu, jika doktor scan jantina baby girl, ibu janganlah letak 100% kepercayaan kepada imbasan tersebut, kebarangkalian untuk berlaku kesilapan adalah tinggi.
#2. Amniosentesis
Ujian ini dilakukan bagi mengetahui masalah perkembangan dalam janin. Caranya adalah dengan mengambil sedikit cecair amniotik di mana ia mengandungi sel keabnormalan. Sel ini akan diuji untuk mengesan masalah Sindrom Down, Spina Bifida dan masalah genetik yang lain. Malah melalui ujian ini juga, anda akan dapat mengetahui dengan jelas apakah jantina bayi anda.
#3. Pensampelan Vilus Kronik atau CVS
Pensampelan Vilus Kronik atau CVS merupakan ujian genetik yang dilakukan untuk mengesan masalah Sindrom Down. Ia dilakukan dengan mengambil tisu yang terdapat dalam plasenta. Melalui ujian ini segala perkara yang berkaitan dengan bayi anda akan didedahkan termasuklah jantina bayi anda.
#4. Ujian Pranatal Bukan Invasif atau NIPT
Antara cara mengetahui jantina bayi tanpa scan adalah melalui NIPT. Ujian ini akan dilakukan apabila usia kandungan anda memasuki 10 minggu untuk mengesan masalah Sindrom Down. Doktor akan mengambil sampel darah yang kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk menyemak DNA janin berkaitan dengan masalah kromosom. Ujian ini juga akan memberikan makluman tepat mengenai jantina bayi anda.
Jantina Bayi Mengikut Islam
Untuk makluman anda selain ilmu sains, cara tahu jantina bayi mengikut islam juga telah diterangkan dalam Al-Quran di mana Allah S.W.T telah berfirman bahawa:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta kami telah mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan), oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”
(Surah Al-Insaan 76:2)
Manakala dalam surah lain pula Allah S.W.T turut berfirman bahawa:
“Dialah yang membentuk kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana dikehendaki-Nya. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Ali Imraan 3:6)
Manakala dalam surah Al-Najm iaitu ayat 45 dan 46, Allah S.W.T menjelaskan bahawa:
“Dialah yang menciptakan kamu berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, daripada nuthfah, apabila dipancarkan.”
Melalui ayat di atas dapat dijelaskan dengan terang bahawa penentuan jantina bayi dapat ditentukan melalui nuthfah atau dikenali sebagai air mani yang sedikit. Menurut Imam Qartubi di dalam al-Jamik li Ah Kalim Quran, ia dipanggil nuthfah kerana jumlah yang sedikit atau air mani lelaki yang sedikit.
Manakala melalui sains pula, nuthfah adalah sperma. Sperma lelaki mempunyai kromosom seks berlainan iaitu “XY” manakala kromosom seks perempuan pula adalah sama iaitu “XX“. Sperma yang telah berjaya disenyawakan akan menentukan apakah jantina bayi tersebut memandangkan kromosom seks perempuan adalah sama iaitu X dan X.
Oleh itu, dapat disahihkan dengan jelas bahawa nuthfah atau air mani lelaki memainkan peranan dalam penentuan jantina bayi anda.
Kedudukan Bayi Dalam Kandungan
Kedudukan yang paling ideal bagi bayi yang berada dalam kandungan yang perlu ibu-ibu tahu adalah pada kedudukan anterior iaitu kedudukan di mana janin menghadap ke belakang dan kepalanya pula berada pada bahagian bawah. Kebiasaannya, bayi akan berada pada kedudukan ini apabila mereka berapa pada fasa terakhir kehamilan.
Kedudukan yang ideal adalah sangat penting untuk mengelakkan sebarang komplikasi serius semasa proses kelahiran berlaku. Selain kedudukan anterior terdapat beberapa kedudukan bayi yang lain lagi ibu-ibu perlu ambil tahu antaranya adalah seperti berikut:
#1. Kedudukan Posterior
Kedudukan posterior ini juga turut dikenali sebagai kedudukan belakang ke belakang merupakan keadaan di mana kepala janin menghala ke bawah dan punggungnya pula bersandar pada punggung ibu hamil.
Jika bayi anda berada dalam kedudukan ini, ia akan menjadi agak sukar baginya untuk memasukkan kepala melepasi bahagian terkecil pelvis di saat-saat kelahiran nanti. Kedudukan ini juga akan membuatkan ibu mengalami sakit di bahagian belakang mereka.
#2. Kedudukan Melintang
Pada kedudukan ini, bayi anda akan baring secara melintang atau mendatar. Kedudukan ini agak berbahaya kerana tali pusat bayi akan memasuki saluran kelahiran sebelum bayi dan membahayakan bayi yang berada di dalam perut.
Kebiasaannya, kedudukan bayi akan berubah kepada normal tetapi jika tidak pembedahan secara cesarean terpaksa dilakukan.
#3. Kedudukan Songsang
Terdapat beberapa jenis kedudukan bayi yang songsang iaitu:
- Frank breech – keadaan di mana kaki janin lurus ke atas di hadapan badan dan kaki berada dekat di muka.
- Complete breech – Janin berada dalam keadaan seakan duduk dengan kaki bersilang di hadapan badan manakala kaki berada berhampiran punggung.
- Footling breech – Kedudukan di mana satu atau kedua-dua kaki tergantung di bahagian bawah janin dan jika kelahiran berlaku, satu atau kedua-dua kaki akan keluar dahulu.
Tanda Mengandung Anak Lelaki
Ibu pasti nak sangat tahu kan apakah tanda-tanda hamil anak lelaki? Jom lihat beberapa tanda atau petua nenek moyang mengenai ciri-ciri mengandung anak lelaki yang kami kongsikan di bawah ini.
#1. Tanda Jantina Bayi Melalui Bentuk Perut
Ibu boleh perhatikan bentuk perut sama ada ia bulat atau lonjong. Sekiranya anda mendapati perut bentuknya adalah bulat dan tajam itu menunjukkan anda sedang mengandungkan bayi lelaki.
#2. Tanda Jantina Bayi Melalui Kedudukan Perut
Jika anda akan mendapati kedudukan perut berada di bawah. Kedudukan bayi lelaki dalam kandungan ini juga antara salah satu tanda bahawa anda sedang mengandungkan anak lelaki.
#3. Payudara Besar
Semasa mengandung anak lelaki, ibu akan lihat payudara di bahagian kanan adalah lebih besar berbanding payudara di sebelah kiri. Cuba anda lihat sekarang bahagian mana yang lebih besar?
#4. Jerawat Penuh Muka
Antara tanda lain adalah kehadiran jerawat yang banyak di bahagian tubuh terutama di bahagian muka. Ia adalah disebabkan oleh perubahan hormon yang dialami oleh anda semasa mengandung. Tetapi jangan risau, jerawat akan mula pulih setelah anda melahirkan bayi.
#5. Tidak Suka Berhias
Paling ketara sekali ketika mengandungkan anak lelaki adalah anda tidak suka menghiaskan diri. Tidak suka mekap dan lebih gemar memakai baju yang santai dan ringkas sahaja juga merupakan antara tanda-tanda anda sedang mengandungkan anak lelaki.
Tanda Mengandung Anak Perempuan
Ibu mungkin sudah jelas mengenai tanda mengandung anak lelaki, sekarang kita lihat pula apakah tanda-tanda ibu sedang mengandungkan anak perempuan!
#1. Morning Sickness Yang Teruk
Ibu hamil yang mengandung anak perempuan biasanya akan mengalami gejala morning sickness yang teruk.
#2. Mengidam Makanan Manis
Ketika hamil, anda akan lebih gemar untuk menikmati makanan yang manis-manis sahaja.
#3. Perubahan Mood
Selain mengidam makanan manis dan morning sickness yang teruk, ibu hamil juga akan mengalami perubahan mood yang sangat ketara. Anda akan lebih moody, kerap marah dan kuat merajuk.
#4. Tanda Jantina Bayi Melalui Garisan Pada Perut
Garisan pada perut atau dikenali sebagai linea nigra juga boleh menjadi petunjuk kepada jantina bayi yang dikandungkan anda. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa jika garisan tersebut berhenti di pusat perut, itu menandakan bahawa anda sedang hamil bayi perempuan.
#5. Tanda Jantina Bayi Melalui Denyutan Nadi
Jika anda hamil anak perempuan, denyutan nadi adalah lebih tinggi berbanding dengan hamil anak lelaki.
Walau bagaimanapun, semua tanda-tanda ini hanyalah melalui pengalaman orang dahulu dan mungkin ada yang tepat dengan ramalan jantina bayi anda. Sekiranya anda pernah melalui pengalaman doktor tersalah memberitahu jantina bayi? Jom kongsi kisah anda!
-
www.healthline.com (2022, Januari 22) How Soon Can You Find Out the Sex of Your Baby? www.healthline.com/health/pregnancy/when-can-you-find-out-sex-of-baby
Sumber: Artikel asal ditulis oleh Giasinta Angguni; diterjemah dengan kebenaran dari theAsianparent Indonesia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Mitos Mengenai Meneka Jantina Bayi Dalam Kandungan! No. 3 Paling Salah
Baca juga: Wanita Yang Stress Ketika Hamil Cenderung Dapat Bayi Perempuan – Kajian
Baca juga: Selain Suka Makanan Manis, Ini 11 Tanda Hamil Anak Perempuan Sering Dialami Ibu!