Sebagai ibu dan ayah kita perlu tahu jenis ruam bayi yang biasanya kerap berlaku ketika dalam tempoh berpantang kerana keadaan sekeliling yang panas dan lembap.
Kebiasaanya ruam pada bayi berlaku pada bahagian kulit tertentu seperti di bahagian pipi, dagu, leher dan kawasan pelipat lain.
Ruam air liur bayi adalah antara ruam yang mudah berlaku berikutan lelehan air pada mulut yang terkena pada bahagian kulit. Selain ruam panas dan ruam susu, terdapat lagi beberapa ruam kulit pada bayi yang perlu ibu ayah ambil tahu.
Isi Kandungan
Jenis Ruam Bayi Pada Awal Kelahiran
Terdapat pelbagai jenis ruam bayi yang boleh dihadapi mereka dan ia terjadi di bahagian tertentu tubuh bayi. Biasanya ruam bayi ini boleh dirawat dan tidak berbahaya. Ia juga mungkin akan menyebabkan bayi merasa tidak selesa, gatal-gatal dan kepedihan.
Ruam Bayi Tanpa Demam Atau Kegatalan
#1. Ruam Air Liur Bayi
Gambar ruam pada bayi ini merupakan ruam air liur bayi terjadi apabila lelehan air liur yang terkena pada kulit dan menyebabkan kulit disekitar mulut bayi merengsa. Antara kawasan paling kerap terkena ruam air liur bayi adalah sekitar bibir, dagu dan pipi bayi.
Selain itu, kawasan sekitar leher dan dada juga mungkin boleh terkena ruam air liur bayi sekiranya kawasan berkenaan terdedah dengan air liur bayi untuk satu tempoh yang lama.
Anda mungkin melihat kulit merah, meradang, tompokan biji-biji kecil berwarna merah atau benjolan merah kecil di mana terdapat ruam air liur.
Ruam air liur bayi ini biasanya hanya sementara kerana ia terjadi akibat daripada kesan pertumbuhan gigi bayi kerana semasa fasa ini berlaku peningkatan dalam lelehan air liur bayi.
#2. Keratosis pilaris
Merupakan ruam yang membuatkan kulit bayi menjadi kasar dan bergelombang. Benjolan ruam ini selalu terjadi di bahagian atas lengan dan juga paha bayi dan ia adalah tidak berbahaya.
#3. Ruam Susu Pada Bayi
Ruam susu pada bayi adalah antara ruam yang paling biasa yang dialami oleh bayi yang baru lahir. Ibu boleh mengenal pasti tanda-tanda ruam susu dengan mudah. Ruam ini biasanya kelihatan bintik-bintik atau tompok kemerahan pada kulit bayi.
Biasanya, bintik-bintik ruam ini muncul di dagu, pipi, leher, dan hidung bayi untuk bayi yang baru lahir. Manakala untuk bayi yang lebih besar ruam ini mungkin akan sedikit berbeza. Tompok ruam akan kelihatan pada bahu dan muka bayi. Tanda-tanda ruam susu ini mungkin kelihatan berwarna putih dan mungkin menyerupai jerawat.
Ruam susu biasanya terjadi kerana tindak balas alergi terhadap susu formula ataupun tindak balas hormon yang terdapat dalam susu ibu. Ia juga seringkali terjadi apabila bayi tidak dibersihkan selepas minum susu. Susu yang kering pada mulut atau pipi bayi memudahkan ruam susu pada bayi terjadi.
#4. Milia
Milia merupakan bintik-bintik putih kecil yang terdapat di permukaan muka bayi terutamanya di bahagian hidung mereka. Ia merupakan pori yang tersumbat, tidak gatal dan tidak berjangkit. Ruam ini biasanya akan hilang dengan sendiri setelah beberapa minggu.
#5. Toksik Eritema
Toksik Eritema pula merupakan reaksi kulit merah yang berbintik-bintik. Ia muncul di antara 2 hari dan 2 minggu selepas bayi lahir. Ciri-ciri seperti tompok rata, merah atau benjolan kecil akan mulai muncul di bahagian muka dan seterusnya merebak keseluruhan badan bayi.
#6. Jerawat bayi
Jerawat yang terdapat di pipi dan hidung bayi ini akan tumbuh pada beberapa bulan pertama dalam kehidupan mereka. Ia memakan masa yang agak lama untuk hilang dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan iaitu selama beberapa bulan dan ada di antaranya mengambil masa selama setahun untuk pulih.
#7. Ruam lampin
Ruam lampin merupakan keradangan kulit di kawasan lampin yang menyebabkan kulit bayi kelihatan merah, pedih, sakit dan juga meradang. Ia terjadi disebabkan oleh beberapa perkara terutamanya air kencing atau najis yang merengsakan kulit bayi.
#8. Erythema multiforme
Ia merupakan jenis ruam bayi yang berpunca daripada jangkitan, ubat atau penyakit. Ruam jenis ini akan membuatkan kulit bayi timbul tompok merah pada tangan atau kaki mereka sebelum ianya merebak ke kedua-dua belah badan. Tompok ini tidak gatal tetapi ia akan timbul dan melepuh.
Ruam Yang Menyebabkan Kegatalan
#1. Ekzema
Ciri-ciri ekzema adalah kulit menjadi gatal, merah, kering dan merekah terutamanya di bahagian yang berlipat seperti lutut dan siku. Rawatan yang diberikan untuk masalah ruam jenis ini selalunya adalah dengan krim kortikosteroid untuk mengurangkan keradangan serta pelembap bagi menghentikan kulit bayi menjadi kering.
#2. Kurap (tinea)
Merupakan jangkitan kulit yang ringan dan berjangkit. Bayi yang menghidapinya akan dinaiki ruam merah seperti cincin dengan pusat yang jelas. Mudah merebak keseluruh badan dan kawasan yang paling kerap dijangkiti adalah kulit kepala, kaki dan juga pangkal paha bayi.
#3. Ruam Panas Bayi
Ruam panas bayi biasanya berlaku apabila mereka banyak bergerak atau berada di kawasan yang panas, mereka mungkin akan menghasilkan peluh yang banyak. Ini akan menyebabkan mereka mudah untuk mendapat ruam panas, terutamanya di kawasan yang beriklim panas.
Bahagian tubuh bayi yang paling mudah terkena ruam panas bayi adalah sekitar pelipat leher, lipatan siku dan lutut, ketiak dan bahagian dalam paha.
#4. Impetigo
Merupakan jangkitan kuman pada kulit yang akan menyebabkan bayi anda mengalami luka merah dan lepuh yang membentuk kerak kuning.
Kebiasaannya terjadi kepada kanak-kanak yang berumur 2 hingga 6 tahun dan ia tidak serius kerana perkara biasa bagi kanak-kanak yang mempunyai kudis.
Tetapi jika dihidapi oleh bayi baru lahir, ruam ini boleh membahayakan mereka. Sekiranya dinaiki ruam ini, berjumpalah dengan doktor. Rawatan yang diberikan selalunya adalah dengan krim antibiotik, salap atau pun tablet. Ia akan hilang selepas 7 hingga 10 hari rawatan.
#5. Hives (urticaria)
Ruam jenis ini pula adalah ruam yang timbul, merah dan gatal. Ia akan timbul di mana-mana bahagian tubuh pada bila-bila masa dan selalunya kerap timbul di dada, perut dan belakang serta tekak.
#6. Pityriasis rosea
Ruam jenis ini biasanya akan muncul selepas sakit tekak, selsema atau demam. Ia bermula dengan satu tompok merah jambu pada dada dan juga tompok merah bujur pula akan muncul di dada atau belakang dan anggota badan pada minggu yang seterusnya.
Sekiranya anda sedang hamil dan bersentuhan dengan kanak-kanak yang mengalaminya, dalam kes yang jarang berlaku boleh membawa kepada komplikasi. Oleh itu, lebih baik berjumpa dengan doktor sekiranya berlaku sentuhan.
#7. Molluscum contagiosum
Molluscum contagiosum merupakan jangkitan kulit yang disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui sentuhan kulit ke kulit atau dengan berkongsi tuala atau air kolam renang. Ia seperti jerawat yang timbul menjadi putih mutiara bulat dan gatal.
Ruam Bayi Yang Menyebabkan Demam
#1. Slapped cheek disease
Merupakan jenis ruam bayi yang berwarna merah terang pada kedua-dua pipi yang akan merebak sebagai ruam ‘lacy‘ pada badan dan anggota badan. Jika terkena wanita hamil, ia boleh menyebabkan sejenis anemia kepada bayi yang belum lahir dan boleh menyebabkan keguguran.
#2. Hand, foot and mouth disease (HFMD)
Ia adalah penyakit virus yang ringan dan sangat mudah merebak. HFMD ini menyebabkan ruam seperti melepuh pada tapak tangan dan juga tapak kaki.
Untuk kes yang jarang berlaku, wanita hamil dengan imun badan rendah akan mendapat jangkitan pada otak, otot jantung dan keguguran.
#3. Roseola infantum
Ruam jenis ini boleh menyebabkan gejala seperti selesema dan demam panas yang berlarutan selama beberapa hari serta sawan. Ruam akan mulai timbul dengan bintik merah jambu yang akan naik di bahagian dada, perut dan belakang serta merebak ke anggota badan.
Bila Perlu Dapatkan Rawatan
Bayi yang baharu lahir kebiasaannya akan mudah terdedah dengan ruam pada hari atau minggu pertama kelahiran mereka disebabkan oleh kulit yang sensitif dan masih lagi belum serasi dengan persekitaran yang baharu.
Sekiranya anda mendapati bayi kelihatan tidak sihat serta aktif atau jika anda berasa bimbang dengan ruam tersebut, anda harus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut.
Walaupun kebanyakan jenis ruam bayi adalah tidak berbahaya, tetapi perhatikan juga jika mereka mempunyai gejala seperti suhu tinggi yang berlarutan, selesema, batuk atau pun bengkak, anda perlu segera dapatkan rawatan doktor.
Punca Ruam Pada Bayi
Bagi bayi yang baru lahir, kulit mereka sangat baru dan sedang mengembangkan sistem imun tubuh badan mereka. Kulit mereka juga agak sensitif dan mudah terdedah kepada banyak sumber yang boleh menyumbang kepada kerengsaan atau jangkitan. Antara punca yang boleh menyebabkan ruam pada bayi adalah :
- Haba atau Suhu Tinggi – Hidup di kawasan yang beriklim panas memudahkan bayi untuk berpeluh dengan banyak. Ruam panas terjadi apabila saluran peluh dalam kulit tersumbat dan peluh terperangkap, menghasilkan benjolan berisi cecair pada kulit.
- Alergik – Bayi mungkin alergi terhadap suatu makanan yang boleh mengakibatkan mereka mudah untuk mendapat ruam. Contohnya alergi terhadap susu formula, putih telur dan sebagainya.
- Geseran – Kebiasaannya, benjolan atau ruam muncul di tempat yang terdapat geseran, seperti di mana satu bahagian badan bergesel dengan yang lain, atau apabila pakaian yang ketat bergesel dengan kulit.
- Kelembapan – Terdedah kepada pakaian basah untuk satu tempoh yang lama memudahkan bayi untuk terkena ruam. Contohnya selepas makan atau minum pakaian bayi biasanya mudah basah, atau basah akibat lelehan air liur bayi ataupun peluh selepas aktif bermain.
- Kuman, Virus dan Bakteria – Kuman, virus, fungi dan bakteria yang terdapat dalam cadar, bantal, permaidani dan barangan lain di dalam bilik juga merupakan terjadinya ruam pada bayi.
- Wangian dan Produk Bayi – Minyak wangi, losyen bayi, sabun, syampu atau pencuci pakaian tertentu juga boleh menyebabkan munculnya ruam. Ini kerana sesetengah bayi mempunyai kulit yang sensitif dan mudah alergi terhadap sesuatu wangian yang terdapat dalam produk bayi.
- Fabrik – Kualiti fabrik yang digunakan dalam pakaian bayi boleh menjadi sebab lain untuk bayi terkena ruam. Pilih fabrik yang serap peluh seperti fabrik yang diperbuat daripada kapas untuk pakaian bayi.
- Najis Bayi – Malah najis mereka sendiri boleh merengsakan kulit bayi dan menyebabkan ruam. Pastikan lampin bayi sentiasa kering. Cepat-cepat cuci bayi sekiranya bayi membuang air besar.
Cara Hilangkan Ruam Bayi
Ruam pada bayi adalah suatu perkara yang normal dan mudah untuk dirawat. Ibu dan ayah boleh lakukan perkara ini untuk menghilangkan ruam di muka dan pada tubuh bayi.
- Lap mulut, pipi dan muka bayi selepas memberi mereka susu atau makan dengan mengunakan air yang bersih dengan lembut.
- Pastikan kulit bayi sentiasa bersih dan kering.
- Pakaikan bayi dengan pakaian yang mudah menyerap peluh dan cepat kering seperti pakaian yang diperbuat daripada kapas.
- Kerap tukar sarung bantal, sarung tilam, kain pelapik bayi dan selimut bayi untuk mengelakkan pertumbuhan kuman, bakteria atau virus yang boleh menyebabkan kulit bayi iritasi dan mendapat ruam. Pastikan kawasan bayi bermain dan tidur bersih.
- Gunakan pencuci pakaian/detergent yang bebas kerengsaan atau detergen yang dirumus khas untuk bayi. Kurang bahan kimia
- Perhatikan diet pemakanan bayi. Elakkan memberi bayi makan makanan yang menyebabkan mereka mendapat alergi makanan dan seterusnya menyebabkan bayi mengalami ruam.
- Sekiranya bayi minum susu ibu, perhatikan juga reaksi alahan bayi terhadap diet pemakanan ibu. Singkirkan menu tertentu dari diet pemakanan ibu mungkin boleh membantu mengatasi masalah ini.
- Gunakan losyen, sabun mandi dan syampu yang dirumus khas untuk bayi dan lembut pada kulit dan sesuai untuk bayi yang mempunyai kulit sensitif.
- Meminimakan penggunaan puting bayi untuk mengelakkan geseran antara pipi bayi dengan puting atau tangan bayi dan seterusnya dapat mengurangkan mereka untuk mendapatkan ruam air liur bayi.
- Periksa juga puting dan botol bayi untuk memastikan ia tidak menyebabkan bayi anda mengalami iritasi. Puting bayi seharusnya dibersihkan dan disanitasi sekurang-kurangkan sekali dalam sehari untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. Manakala botol bayi seharusnya dibersihkan pada setiap kali selepas penyusuan.
- Gunakan krim atau losyen penghalang kulit bayi anda sekiranya perlu atau setelah mendapat saranan doktor. Jika kulit bayi anda tidak sensitif pengunaan krim perlindungan seperti petroleum jelly pada kawasan yang meradang mungkin dapat membantu mengatasi dan merawat masalah ruam bayi. Pastikan kulit bayi bersih dan kering terlebih dahulu sebelum menyapu apa-apa losyen atau ubatan. Ia juga membantu melindungi kulit daripada kerengsaan yang seterusnya.
- Gunakan juga ubatan atau losyen seperti minyak kelapa dara, calamine lotion atau nappy rash cream sekiranya perlu.
Semoga dengan perkongsian ini, anda mendapat manfaat!
- webmd.com (2021, Julai 23) Your Newborn’s Skin and Rashes www.webmd.com/parenting/baby/baby-skin-rashes
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Ruam Peluh Kemerah-Merahan Buat Anak Tidak Selesa? Cuba Cara Semulajadi Berkesan Ini!
Baca juga : Krim Ruam Lampin Terbaik: 7 Jenama Hebat untuk Atasi Ruam Lampin Bayi
Baca juga : Bayi Sering Alami Ruam Lampin, Jom Beli 7 Nappy Cream Terbaik Ini Sebelum Kehabisan Stok!