Ada beberapa jenis vaksinasi yang dibekalkan ke Malaysia bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Walau bagaimanapun tidak semuanya sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusu.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa ibu mengandung dan menyusu badan dinasihatkan untuk menerima jenis vaksinasi Pfizer.
Jenis vaksinasi Covid-19 yang selamat untuk ibu mengandung dan menyusu
Dalam sidang media, beliau berkata bahawa jenis vaksinasi Sinovac dan AstraZeneca adalah tidak disyorkan untuk golongan ibu mengandung dan menyusu buat masa ini.
Bukan itu sahaja, bagi anda yang ragu-ragu mengenai suntikan vaksin Covid-19, perlulah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah diarahkan untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat perubatan ibu dan kanak-kanak bagi mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.
”Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata sehingga kini CITF hanya meluluskan satu permohonan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri yang diberikan kepada kilang Pharmaniaga dan belum membuka PPV untuk industri buat masa ini.
Bagaimanapun beliau berkata, CITF sudah meluluskan satu permohonan bagi kilang yang akan menjadi projek perintis bagi PPV industri.
”Kita mendapat pertanyaan berkenaan vaksinasi untuk golongan industri yang ditimbulkan di media sosial dan lain-lain medium. Buat masa ini kita belum membuka PPV untuk industri.”
”Kilang Pharmaniaga sudah membeli vaksin sendiri untuk diberi kepada pekerja kilangnya.” jelasnya.
Pengambilan sebarang jenis vaksinasi Covid-19 boleh ditangguhkan
Memandangkan hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dalam tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu, anda turut diberikan pilihan untuk menangguhkan pengambilannya terlebih dahulu.
Menurut sidang media pada Februari lalu bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat sementara waktu golongan ini sebenarnya tidak disyorkan mengambil suntikan kerana ketiadaan data yang mencukupi.
Saranan tersebut hanya untuk menangguhkan pngambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.
Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib berkata, keperluan petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil vaksin adalah tinggi dan perlu mengikut persetujuan serta rujukan kepada data.
”Jika seorang ibu hamil itu tidak berdepan risiko yang tinggi untuk menerima jangkitan Covid-19, misalnya tinggal di kawasan zon hijau dan tiada ahli keluarga bekerja sebagai petugas barisan hadapan, keperluan untuk vaksin lebih rendah serta boleh menunggu sehingga garis panduan dikeluarkan.” jelasnya.
Tambahnya lagi, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan Covid-19.
Ibu hamil boleh dapatkan pandangan pakar terlebih dahulu
Manakala menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat biarpun pengambilan vaksin itu tidak disyorkan kepada ibu mengandung dan menyusu, beliau meminta anda mendapatkan pandangan dari pakar terlebih dahulu.
”Secara umumnya ibu mengandung tidak digalakkan ambil, tetapi ada pakar berpendapat kalau sudah trimester ketiga, vaksin boleh diambil kerana pembentukan bayi sudah lengkap.”
”Kita juga tidak boleh samakan semua ibu yang mengandung. Adalah lebih baik berbincang dahulu dengan doktor bagi mendapatkan kepastian.” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan jenis vaksinasi Pfizer telah memulakan ujian klinikal di Amerika Syarikat baru-baru ini melibatkan hampir 4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya.
Antara risiko bahaya ibu mengandung sekiranya dijangkiti Covid-19 ialah risiko kelahiran pramatang dan bayi meninggal dalam perut. Bukan itu sahaja, ia turut meningkatkan risiko pembekuan darah dan memberi kesan ke atas plasenta yang memberi janin makan.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Terima Suntikan Vaksin Ketika Hamil, Wanita Lahirkan Bayi Dengan Antibodi Covid-19