Tabiat Pemakanan Seharian Punca Utama Kanak-Kanak Sembelit, Ini Tips Buat Ibu Ayah!
Kanak-kanak sembelit adalah masalah yang biasa berlaku. Ia sering berkait dengan tabiat pemakanan dan kurangnya pengambilan air mencukupi
Setiap kali bayi atau kanak-kanak sembelit, ibu berasa susah hati lebih-lebih lagi mendengar tangisan mereka yang sukar membuang najis. Bertambah kasihan apabila mereka menahan sakit dan berasa tidak selesa kerana najis tersebut masih tidak boleh dibuang.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini:
- Frekuensi pembuangan najis bayi dan kanak-kanak
- 5 punca utama sembelit
- Cara mengatasi sembelit
Menerusi artikel pada laman web MyHEALTH, sembelit adalah keadaan seorang kanak-kanak atau bayi menghasilkan najis keras atau kurang kekerapan ke tandas membuang najis.
Ia juga boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut sakit perut yang datang dan pergi (abdominal cramps), rasa tidak selesa, luka di dubur (anal fissure) yang boleh menyebabkan kesakitan dan pendarahan sewaktu membuang najis.
Kanak-kanak sembelit, ibu ayah wajib tahu kekerapan pembuangan najis anak dalam sehari
Bayi menyusu badan: berkemungkinan membuang air besar selepas setiap penyusuan atau sekali dalam tempoh 7 hari.
Bayi menyusu susu formula atau kanak-kanak: berkemungkinan membuang najis sekali setiap 2 hingga 3 hari.
Punca bayi dan kanak-kanak sembelit
1- Kanak-kanak tidak mengendahkan rasa untuk membuang air besar kerana terlalu sibuk bermain. Mereka akan menahannya dan tidak memberitahu ibu bapa. Ada juga kanak-kanak enggan menggunakan tandas yang tidak biasa seperti di sekolah. Jika berlarutan akan menyebabkan najis tersumbat dalam usus besar dan mengeras sekali gus mengakibatkan masalah sembelit.
2- Menahan pembuangan najis untuk mengelakkan rasa sakit. Apabila anak mengalami masalah najis keras, mereka menghadapi kesukaran untuk membuang air besar kerana sakit. Mereka akan berasa takut dan bimbang ke tandas jadi, mereka menahan najis itu.
3- Tabiat pemakanan yang kurang serat juga menjadi punca kepada sembelit. Serat merupakat elemen utama membantu melancarkan proses membuang air besar. Kandungan serat dalam badan yang kurang akan menyebabkan masalah sembelit. Jika berlarutan, ia akan menjejaskan kesihatan anak dan bertambah teruk.
4- Bayi juga boleh mengalami masalah sembelit. Hal ini kerana ibu tidak memberikan susu kepada bayi mereka dengan kerap. Susu merupakan sumber makanan utama untuk bayi. Melalui pemberian susu, bayi akan mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi serta melancarkan proses membuang air besar.
5- Semula jadi iaitu sesetengah kanak-kanak mengalami keadaan usus besar mereka kurang aktif daripada biasa (slow colonic transit).
Cara mengatasi kanak-kanak sembelit
- Latihan pembuangan najis: lakukan selepas waktu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Biasanya, seseorang akan mengalami rasa untuk membuang najis selepas makan kerana gastrocolic reflex. Kanak-kanak digalakkan duduk di mangkuk tandas bersesuaian (penggunaan potty amat digalakkan jika perlu). Mereka perlu duduk di mangkuk tandas selama 2 hingg 3 minit walaupun telah membuang najis sebelum itu.
- Penggunaan mangkuk tandas bersesuaian atau potty boleh mengelakkan rasa takut untuk jatuh apabila menggunakan tandas biasa. Ubat julap turut membantu mengelakkan rasa sakit apabila membuang najis yang keras.
- Pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran adalah digalakkan serta mengehadkan pengambilan susu lembu kepada 500 ml sehari (untuk kanak-kanak lebih daripada 18 bulan) mungkin boleh membantu terutamanya pada kanak-kanak yang banyak mengambil produk tenusu.
- Bayi yang mengalami sembelit, hubungi doktor anda kerana ada di antara mereka mungkin mengalami masalah alahan kepada susu lembu dan perlu intervensi khas. Untuk bayi berumur 6 bulan ke atas, ibu bapa boleh mencuba menambah sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet mereka.
- Penggunaan ubat-ubatan (laxatives) pula dibolehkan atas nasihat doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Khasiat Susu Kambing Boleh Kurangkan Loya & Sembelit Dialami Ibu Hamil
Baca juga: Sembelit Bayi Bukan Semata-Mata Disebabkan Susu, Jangan Sekali-Kali Cairkan Susu Anak -Pakar