Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi membuat pengumuman penting dengan berkata kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac ini.
Ia berikutan susulan tentang situasi ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh pelusuk dunia.
Lebih membimbangkan, wabak penyakit berjangkit seperti Covid-19 ini telah merebak ke seluruh dunia dan mencecah hampir 6,433 orang telah meninggal dunia.
Di Malaysia sendiri, pertambahan 125 kes yang baru berlaku semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti sebanyak 553 orang.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 511 sedang dirawat di hospital dan menjalani tempoh kuarantin manakala 42 orang lagi telah pulih serta dibenarkan pulang.
Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan
Disebabkan angka mangsa yang dijangkiti kian meningkat, kerajaan lantas mengambil tindakan drastik bagi membantu memulihkan keadaan semasa ini dengan secepat mungkin supaya dapat mencegah penularannya dengan lebih awal.
Lantas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.
Perintah ini dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Berikut ini adalah perkara UTAMA yang harus anda fahami:
#1. Larangan pergerakan dan perhimpunan besar/ penutupan rumah ibadat dan premis perniagaan
Akan berlaku larangan secara menyeluruh terhadap semua pergerakan dan perhimpunan yang membabitkan orang ramai di seluruh negara termasuklah aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Malah rumah ibadat dan premis perniagaan juga diarah untuk tutup.
Namun, orang ramai tidak perlu bimbang dengan bekalan makanan kerana pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan serbaneka masih boleh menjual barangan mereka kerana ia adalah keperluan harian yang diperlukan.
Bagi umat Islam, segala aktiviti yang membabitkan keagamaan akan ditangguhkan buat sementara waktu yang selaras dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas.
#2. Kuarantin secara sukarela bagi mereka yang baru pulang dari luar negara
Perkara yang kedua seterusnya adalah sekatan secara menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Sementara itu, bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, anda dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari atau dua minggu.
Ini penting bagi mengelak penularan wabak tersebut.
#3. Sekatan pelancong asing ke dalam negara
Perkara yang ketiga diumumkan YAB Perdana Menteri pada malam tadi adalah berkaitan dengan sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat warga asing ke dalam negara.
#4. Tutup taska, sekolah kerajaan dan swasta
Walaupun minggu ini adalah cuti sekolah, namun YAB Perdana Menteri turut menegaskan penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuklah sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat-pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah serta pra- univerisiti.
#5. Penutupan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan ini, akan berlukannya penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
#6. Premis kerajaan dan swasta tutup kecuali ini….
Meskipun semua premis kerajaan dan swasta tutup namun ada beberapa pengecualian terhadap bidang penting negara atau essential services iaitu yang membabitkan dengan air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos,
pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, perucitan dan bekalan makanan.
Meskipun tindakan ini mungkin menimbulkan kesukaran bagi sesetengah pihak namun ini adalah cara terbaik dalam membendung wabak Covid-19 ini yang berkemungkinan boleh meragut nyawa rakyat Malaysia.
Usah risau dengan bekalan makanan tidak mencukupi
Disebabkan itu, orang ramai seolah-olah takut dengan kejadian yang berlaku ini hingga bertindak ‘panic buying” di pasaraya kecil dan pasaraya besar hingga segala keperluan bekalan makanan kehabisan stok.
Walaubagaimanapun, menerusi perutusan YAB Perdana Menteri malam tadi, kerajaan akan memastikan bekalan makanan ini mencukupi dan orang ramai tidak perlu berbelanja melebihi dari kemampuan hingga menimbulkan
kerisauan kepada pihak lain.
Namun begitu, apakah barang yang harus ada sebagai bekalan di rumah? Nah, ini antaranya:
1) Beras, gula, garam, ikan bilis, telur, tepung, buah-buahan, ikan, bawang, kentang, kacang dal, sayur-sayuran pilihan, makanan dalam tin, kacang hijau, bihun dan sebagainya.
Jika ada anak kecil, anda perlu beli stok untuk susu dan pampers.
2) Ubat-ubatan yang penting seperti ubat sakit perut, ubat demam, selesema , vicks, minyak cap kapak, panadol dan lain-lain yang dirasakan perlu boleh juga anda jadikan ia stok di rumah.
3) Apapun, ingat ya belilah ikut kemampuan masing-masing tak perlu memborong sampai tiga troli awak ambil dan semuanya penuh!
4) Buat pembelian dengan cara bertenang dan tidak perlu gaduh-gaduh atau bertolak-tolak. Sabar, insyaAllah bekalan makanan ini cukup untuk semua orang.
5) Jaga kuantiti dan jumlah makanan yang diperlukan tidak perlu membazir sampai beli telur 30 papan, beli tisu tandas 30 pek dan sebagainya. Semuanya membazir dan mengarut!
Kesimpulannya, kalau sudah membeli bekalan makanan ini siap-siap sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini seeloknya tidak perlu kongsikan di laman sosial kerana ia boleh membuatkan orang lain berasa panik dan tertekan terutama yang kurang berkemampuan.
Semoga kita semua memperbanyakkan amalan yang baik sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Pergerakan ini seterusnya ancaman wabak bahaya ini berkurangan setiap hari.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Malaysia
Gambar: Bernama dan Keluarga
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.compenyakit-baru
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!