Sudah menjadi hukum kedudukan isteri ketika solat berjemaah adalah berada di belakang suami. Namun, bagaimanakah kedudukan solat suami isteri jika solat jemaah itu dilakukan di ruangan yang sempit?
Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah tempat atau persinggahan yang memiliki ruang agak terbatas. Dalam hal ini, Islam memudahkan urusan solat suami isteri dengan membenarkan perubahan pada kedudukan imam dan makmum.
Kedudukan solat suami isteri yang diajarkan dalam Islam
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud;
“Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah S.A.W memakan makanan yang telah dimasaknya.
Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda: “Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua”.” Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami.
Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.”
Menurut Imam al-Nawawi Rahumahullah:
“Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan.”
Rujukan Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzzab (4/293)
Berdasarkan daripada hadis tersebut, jelas kedudukan solat wanita adalah di belakang imam dan makmum lelaki.
Kedudukan solat suami isteri di tempat yang sempit atau ruang terhad
Namun Ustaz Azhar Idrus berpendapat, jika pasangan suami isteri itu harus solat di ruangan yang sempit maka dibenarkan isteri untuk solat di sebelah kiri suami.
Kedudukan solat suami isteri itu turut dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel yang diterbitkan,
“Jika makmum wanita terkehadapan berbanding saf lelaki selagi mana tidak terkehadapan mengatasi imam, atau makmum wanita solat bersebelahan imam atau sebelah makmum lelaki, maka sah solat wanita itu, dan juga solat lelaki, tanpa ada khilaf di sisi kami.”
Rujukan Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzzab (4/297)
Di sini menjelaskan bahawa jika terdapat keperluan maka isteri dibolehkan untuk solat di sebelah kiri suami.
Keperluan yang disebutkan di sini adalah seperti solat berjemaah di ruangan yang sempit hingga menyukarkan untuk mengekalkan posisi solat berjemaah yang asal.
Hukum solat bagi isteri yang berada pada sebelah kiri imam
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isteri yang solat di sebelah kiri suami kerana ruangan solat yang sempit, solat tersebut dikira sah.
Berdasarkan keterangan di atas, seorang isteri yang solat di sebelah kiri suami hukumnya tidak batal solat, tidak diharamkan bahkan tidak makruh namun ia hanya termaktub sekiranya ruang solat itu sempit kerana ada keperluan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jika Anak Tidak Solat, Adakah Ibu Ayah Yang Akan Menanggung Segala Dosa Mereka?
Baca juga: Cara Solat Taubat, Tiada Siapa Yang Terlambat, Allah Sentiasa Ada Di Sisi Hamba Yang MencariNya
Baca juga: Dah Tak Larat Solat Berdiri Ketika Hamil? Ini Panduan Solat Ketika Hamil Untuk Memudahkan