Keganasan Rumah Tangga: Punca Keganasan Rumah, Kesan & Langkah Mengatasi

Keganasan rumah tangga adalah tingkah laku ganas di mana satu pasangan berusaha mendapatkan kuasa dan kawalan dalam hubungan suami isteri

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Tidak semua hubungan suami isteri akan sentiasa bahagia tanpa ujian. Ada sesetengahnya berdepan dengan episod keganasan rumah tangga sehingga meninggalkan kesan trauma yang begitu mendalam.

Keganasan dalam rumah tangga tidak hanya terjadi pada kaum isteri sahaja. Malah ada sesetengah kes suami dipukul dan didera oleh isteri tanpa adanya rasa belas kasihan.

Apa itu keganasan rumah tangga

Menurut portal MyHealth, keganasan rumah tangga bermaksud perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan ganguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan.

Keganasan dalam rumah tangga kebiasaannya berulang dan menjadi mangsa lebih teruk dan berterusan walaupun selepas penceraian. Ini adalah disebabkan pendera ingin terus berkuasa dan mahu mengawal mangsa.

Kebanyakan pendera adalah golongan lelaki dan mangsa adalah wanita atau kanak-kanak.

Statistik keganasan dalam rumah tangga

Harian Metro pada September lalu melaporkan negeri Selangor mencatatkan kes keganasan dalam rumah tangga tertinggi di seluruh negara sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor.

"Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan dalam rumah tangga di Selangor sejak 2017 sehingga 2021 kecuali penurunan sebanyak 466 kes tahun lalu.

"Daerah yang mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 adalah Gombak (147 kes), Kajang (91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes).

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

"Daerah yang mencatatkan kes terendah adalah Shah Alam (21 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Sungai Buloh (26 kes)," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, jenis kesalahan keganasan rumah tangga paling banyak dilaporkan adalah mendatangkan cedera (593 kes), ugutan (153 kes) dan khianat (49 kes).

"Statistik juga menunjukkan isteri kerap menjadi mangsa kes keganasan dalam rumah tangga (352 kes), adik-beradik (177 kes) dan suami (121 kes).

Punca keganasan dalam rumah tangga

Menurut pakar psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Datuk Mohamed Fadzil Che Din melalui Harian Metro berkata, punca keganasan rumah tangga berlaku kerana sesetengah individu mempunyai sifat agresif, pemikiran yang tidak rasional dan sukakan keganasan.

Berikut beberapa faktor keganasan dalam rumah tangga:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan
  • Sikap: Sikap bengis suami atau sikap isteri yang tidak menghormati pasangan boleh mewujudkan masalah rumah tangga. Selain itu perasaan cemburu yang keterlaluan boleh menjejaskan keharmonian hubungan suami isteri.
  • Masalah alkohol atau dadah: Penyalahgunaan alkohol atau dadah boleh mengurangkan perencatan dan membawa kepada tindakan ganas atau agresif yang mungkin tidak berlaku dalam situasi biasa.
  • Gangguan mental: Sesetengah pelaku keganasan mungkin mengalami gangguan kesihatan mental yang tidak dirawat, seperti gangguan personaliti atau gangguan mood, yang boleh menjejaskan tingkah laku mereka.
  • Trauma dan pengalaman lalu: Pengalaman trauma atau penderaan zaman kanak-kanak selalunya boleh mencetuskan tingkah laku ganas dalam rumah tangga. Orang yang mengalami keganasan atau penderaan semasa mereka masih muda mungkin cenderung mengulanginya dalam perhubungan mereka.
  • Tekanan kewangan dan kerja: Tekanan diri, kewangan dan masalah kerja boleh membuatkan sesetengah orang berasa kecewa dan cenderung untuk melepaskan emosi negatif mereka dengan cara yang ganas.

Bentuk keganasan dalam rumah tangga

Keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, dan selalunya melibatkan bukan sahaja keganasan fizikal, tetapi juga keganasan emosi, psikologi, seksual dan kewangan.

Ini adalah beberapa bentuk keganasan rumah tangga yang biasa:

  • Keganasan Fizikal: Ini termasuk perbuatan fizikal yang berbahaya seperti menumbuk, menendang, kecederaan fizikal atau menggunakan objek tumpul atau tajam untuk mencederakan pasangan atau ahli keluarga.
  • Penderaan Emosi atau Psikologi: Ini adalah satu bentuk keganasan yang melibatkan kawalan dan manipulasi emosi mangsa. Ini boleh dalam bentuk ancaman, penghinaan, pengasingan sosial, atau kawalan yang berlebihan.
  • Keganasan Seksual: Ini termasuk hubungan seksual paksa atau perbuatan seksual lain tanpa persetujuan pasangan, gangguan seksual atau penderaan seksual yang lain.
  • Ancaman dan Ugutan: Ancaman atau tindakan yang bertujuan untuk menakutkan atau mengancam mangsa, walaupun jika keganasan fizikal tidak berlaku.
  • Penyalahgunaan Kewangan atau Ekonomi: Ini melibatkan mengawal kewangan pasangan atau mengehadkan akses mereka kepada sumber kewangan. Ini boleh membawa kepada pergantungan ekonomi dan kelemahan kepada mangsa.

Kesan keganasan rumah tangga

Keganasan dalam rumah tangga memberikan kesan serius yang boleh menjejaskan semua aspek kehidupan mangsa, termasuk fizikal, emosi dan psikologi.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kesan keganasan rumah tangga ini dapat dirasai dalam tempoh yang lama walaupun mangsa telah berjaya keluar dari situasi berkenaan.

Berikut adalah beberapa kesan keganasan rumah tangga:

  • Kecederaan Fizikal: Mangsa keganasan dalam rumah tangga mungkin mengalami kecederaan fizikal yang serius, termasuk lebam, patah tulang, melecur atau kecederaan lain yang memerlukan rawatan perubatan.
  • Masalah Kesihatan Fizikal: Kesan keganasan rumah tangga boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan fizikal, seperti masalah tidur, masalah penghadaman, gangguan makan atau gangguan imun.
  • Masalah Kesihatan Mental: Mangsa keganasan dalam rumah tangga sering mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan, kebimbangan, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan perasaan putus asa.
  • Kurang Keyakinan Diri: Kegagalan melindungi diri daripada keganasan boleh menjejaskan keyakinan diri mangsa dan membuatkan mereka berasa tidak berdaya.
  • Kesan kepada anak: Jika terdapat kanak-kanak dalam rumah yang mengalami keganasan, mereka boleh mengalami kesan jangka panjang, termasuk masalah tingkah laku, masalah kesihatan mental dan masalah perhubungan.

Langkah mengatasi keganasan rumah tangga

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh Women’s Aid Organisation (WAO), berikut adalah empat pilihan bagi melindungi mangsa kekerasan dalam rumah tangga:

  1. Dapatkan nasihat: Pilihan pertama memberi mangsa waktu untuk berkonsultasi dengan orang lain dan membuat rencana untuk sesi diskusi. Banyak saluran yang terdapat untuk bantuan pada masa kini, seperti: Women's Centre for Change (WCC), melaporkan kepada Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), menghubungi Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO) melalui talian hotline 03-7956 3488 atau SMS/WhatsApp ke 018-988 8058, dan talian bantuan KRT dan perkhidmatan TINA.
  2. Mendapatkan pertolongan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC): Selain itu, mangsa boleh mendapatkan pertolongan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) yang terletak di hospital kerajaan unit kecemasan dan trauma. Doktor juga akan membuat laporan polis dan mengumpulkan maklumat yang dapat digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
  3. Merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO):Perintah penahanan dapat dilakukan oleh mangsa setiap saat dan terpakai dalam takrif keganasan rumah tangga di bawah Seksyen 2, Akta 521. Mangsa perlu membawa kad pengenalan untuk mendapatkan EPO yang sah.
  4. Membuat laporan polis: Laporkan kes keganasan dalam rumah tangga kepada polis dan memohon Perintah Perlindungan Interim di mana-mana balai polis berdekatan. Dalam laporan tersebut, mangsa perlu memberi keterangan tentang penderaan itu seperti bagaimana ia berlaku, bila ia berlaku (tarikh dan masa), lokasi kejadian dan siapa yang terlibat.

Akta keganasan dalam rumah tangga

Akta keganasan rumah tangga mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 1996. Ia memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumahtangga samada ada melalui Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan yang dikeluarkan oleh mahkamah atau penempatan sementara di tempat selamat yang telah diluluskan oleh YB Menteri.

Falsafah di sebalik Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 adalah:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan
  • Membendung kecenderungan untuk menggunakan keganasan rumah tangga;
  • Sebagai alat untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dan memelihara kesejahteraan dalam keluarga;
  • Sebagai ‘instrumen’ untuk mangsa mendapatkan perlindungan segera apabila keganasan diperlakukan ke atas dirinya.  

Kaunseling rumah tangga

  • Talian Familycare: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarkat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mewujudkan Talian Bebas Helpline Familycare@ LPPKN yang menyediakan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian khusus bagi membantu individu yang berhadapan dengan masalah rumah tangga.
  • Kaunseling Perkahwinan JAKIM Secara Online: JAKIM telah menyediakan satu platform bagi kaunseling perkahwinan iaitu Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) bagi negeri Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Perlis. Rundingcara Online ini bertujuan memberikan kemudahan kepada individu atau pasangan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan secara online. Pemohon juga boleh mendapatkan temujanji sesi rundingcara secara bersemuka dengan pegawai rundingcara di Jabatan Agama Islam Negeri, Pejabat Agama Islam Daerah. Sila layari pautan di sini

  • Khidmat kaunseling rumah tangga JAIS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat dan rundingcara kekeluargaan di semua Pejabat Agama Islam Daerah (PAID). Orang awam boleh mendapatkan khidmat nasihat umum, bimbingan dan rundingan merangkumi aspek sosial, emosi, rohani dan spiritual, aduan kekeluargaan, berpandukan hukum Syarak. Sila layari pautan di sini.

  • Kaunseling rumah tangga di pejabat agama: Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut mengadakan khidmat runding cara kepada pasangan suami isteri bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga. Perkhidmatan ini juga disediakan di lokasi berikut:
  1. Urban Transformation Centre(UTC Keramat, Kuala Lumpur)
  2. Urban Transformation Centre (UTC Pudu, Kuala Lumpur)
  3. Anjung Khidmat Keluarga (AKUAJA) Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju
  4. Anjung Khidmat Keluarga, Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (OKKSK) Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
  5. Surau al-Furqan, Presint 11, Putrajaya
  6. Surau al- Iman Presint 9, Putrajaya

Kesimpulannya, isu keganasan dalam rumah tangga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk penderaan fizikal, emosi, psikologi, seksual atau ekonomi.

Ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina, umur, bangsa atau status sosioekonomi, dan ia boleh berlaku pada suami ataupun isteri.

Justeru adalah penting untuk mendapatkan bantuan dan sokongan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan diri anda.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Dua Tanda Rumah Tangga Dalam Rahmat Allah, Suami Isteri Sama-Sama Usaha Untuk Bahagia

Baca juga: Bila Rumah Tangga Tidak Bahagia, Usahlah Menyalahkan Diri & Belajar Untuk Redha

Baca juga: 9 Sikap Suami Ini Ternyata Menyakiti Hati Istri & Merosakkan Hubungan Rumah Tangga