Keguguran Berulang/ Recurrent Miscarriage: Kenali Punca, Tanda & Cara Mengatasi
Keguguran berulang atau recurrent miscarriage boleh terjadi beberapa kali dalam kehidupan wanita. Ketahui punca, tanda dan cara mengatasinya
Keguguran berulang (juga dikenali sebagai recurrent miscarriage) merupakan satu kondisi yang boleh memberi kesan besar kepada wanita dari segi fizikal, emosi dan mental.
Walaupun satu keguguran sahaja sudah cukup menyedihkan, bayangkan jika ia berlaku berkali-kali sebelum kandungan mencecah trimester kedua.
Isi Kandungan
Apa Itu Keguguran Berulang
Keguguran berulang atau recurrent miscarriage merujuk kepada keadaan di mana seorang wanita mengalami tiga atau lebih kehilangan kehamilan berturut-turut sebelum janin mencapai usia sekitar 20 minggu kehamilan.
Pakar menganggarkan bahawa 10% hingga 20% kehamilan yang diketahui berakhir dengan keguguran. Mengalami keguguran berulang adalah bukan perkara biasa. Hanya kira-kira 1% wanita mengalami ini.
Penyebab Keguguran Berulang
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan keguguran berulang, dan kadang kala ia berlaku tanpa sebab yang jelas. Berikut antara punca yang sering dikaitkan:
1. Masalah Genetik dan Kromosom
Salah satu punca keguguran berulang yang biasa adalah ketidaknormalan pada kromosom janin. Kesilapan genetik ini boleh berlaku secara rawak ketika proses persenyawaan, atau diwarisi daripada salah satu pasangan yang membawa kecacatan genetik tertentu seperti balanced translocation.
Jika ini berlaku, janin tidak dapat berkembang secara normal dan keguguran menjadi satu mekanisme semula jadi tubuh untuk menghentikan kehamilan yang tidak sihat.
2. Masalah Bentuk atau Struktur Rahim
Rahim yang mempunyai bentuk tidak normal seperti berbentuk hati (bicornuate uterus) atau terdapat dinding pemisah (septum) di dalam rahim boleh menyukarkan janin untuk melekat dan berkembang.
Masalah seperti fibroid besar yang menekan ruang rahim atau lekatan dinding rahim akibat prosedur sebelum ini juga boleh mengganggu kehamilan awal dan menyebabkan keguguran berulang.
3. Masalah Hormon dan Ovulasi
Punca keguguran berulang seterusnya adalah masalah hormon dan ovulasi.
Ketidakseimbangan hormon seperti progesteron yang rendah boleh menyebabkan lapisan rahim tidak cukup kuat untuk menampung janin. Begitu juga dengan gangguan ovulasi seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menyebabkan telur tidak matang dengan sempurna, lalu memberi kesan kepada kualiti embrio.
Dalam kes tertentu, wanita mungkin tidak menyedari bahawa kitaran hormonnya terganggu sehingga mengalami keguguran berkali-kali.
4. Gangguan Autoimun
Antibodi antiphospholipid (APA) adalah salah satu contoh gangguan autoimun yang boleh menyebabkan tubuh menyerang janin seolah-olah ia adalah unsur asing.
Ini boleh mengganggu pengaliran darah ke uri dan mengakibatkan janin tidak mendapat oksigen dan nutrien yang mencukupi, lalu membawa kepada keguguran. Gangguan seperti lupus juga boleh meningkatkan risiko ini.
5. Masalah Pembekuan Darah
Sesetengah wanita mempunyai kecenderungan darah membeku dengan mudah, contohnya melalui keadaan seperti thrombophilia. Ini boleh menyebabkan salur darah kecil yang menyokong janin tersumbat, lalu menjejaskan perkembangan janin dan menyebabkan keguguran berulang.
Ujian khas perlu dilakukan untuk mengenal pasti masalah ini dan rawatan awal boleh membantu.
6. Jangkitan dan Penyakit Kronik
Jangkitan kuman tertentu seperti listeria, toxoplasmosis atau jangkitan virus tertentu boleh memberi kesan kepada janin. Di samping itu, penyakit kronik seperti kencing manis yang tidak terkawal, tiroid yang tidak stabil atau tekanan darah tinggi juga boleh menyumbang kepada risiko keguguran awal. Rawatan penyakit asas ini sangat penting sebelum dan semasa hamil.
7. Umur Dan Kualiti Telur
Keguguran berulang juga dikaitkan dengan umur dan kualiti telur. Semakin meningkat usia, terutamanya selepas umur 35 tahun, peluang untuk kehamilan berjaya menurun dan risiko keguguran meningkat.
Ini kerana telur yang lebih tua lebih cenderung membawa kromosom yang tidak seimbang.
8. Gaya Hidup dan Faktor Persekitaran
Tabiat merokok, pengambilan alkohol, kafein berlebihan dan tekanan emosi yang tinggi juga dikaitkan dengan risiko keguguran. Pendedahan kepada bahan kimia toksik, radiasi atau ubat-ubatan tertentu juga boleh mengganggu proses kehamilan pada peringkat awal.
Oleh itu, gaya hidup sihat adalah kunci utama terutama bagi mereka yang telah mengalami keguguran berulang.
Tanda Keguguran Berulang
Antara simptom awal keguguran termasuk:
-
Pendarahan yang luar biasa (ringan atau berat)
-
Kekejangan di bahagian bawah abdomen
-
Keluar tisu dari faraj
-
Hilang tanda-tanda kehamilan seperti mual atau payudara sensitif
Namun ada juga keguguran yang berlaku secara senyap (missed miscarriage), di mana janin telah meninggal tetapi tiada simptom jelas sehingga imbasan dilakukan.
Faktor Risiko
Berikut beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada peningkatan risiko keguguran berulang:
1. Umur Ibu Semasa Hamil
Semakin meningkat umur ibu, terutamanya selepas usia 35 tahun, semakin tinggi risiko keguguran. Ini kerana kualiti telur wanita akan merosot seiring usia, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya masalah kromosom pada janin. Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas, risiko keguguran boleh mencecah 40% atau lebih.
2. Sejarah Keguguran Terdahulu
Wanita yang pernah mengalami satu keguguran mempunyai sedikit peningkatan risiko untuk keguguran berikutnya. Namun, jika telah mengalami dua atau lebih keguguran berturut-turut, risiko keguguran seterusnya meningkat secara signifikan, terutama jika punca tidak dikenal pasti dan tidak dirawat.
3. Masalah Kesihatan Sedia Ada
Penyakit kronik seperti diabetes, tiroid tidak stabil, tekanan darah tinggi dan gangguan autoimun seperti lupus boleh mengganggu kehamilan. Jika tidak dikawal dengan baik sebelum dan semasa kehamilan, ia boleh menyebabkan keguguran berulang tanpa disedari.
4. Gaya Hidup Tidak Sihat
Merokok, pengambilan alkohol, kafein berlebihan, kurang tidur dan tekanan berpanjangan boleh mempengaruhi keseimbangan hormon dan kesihatan keseluruhan sistem pembiakan. Wanita yang terdedah kepada gaya hidup sebegini lebih cenderung menghadapi masalah kesuburan dan keguguran.
5. Berat Badan Tidak Ideal
Berat badan yang terlalu rendah atau terlalu tinggi (obesiti) turut menyumbang kepada risiko keguguran. Lemak badan yang berlebihan boleh mengganggu keseimbangan hormon seperti estrogen dan progesteron, manakala kekurangan berat badan pula mungkin menunjukkan badan kekurangan nutrisi penting untuk menyokong kehamilan.
Bagaimana Keguguran Berulang Dikesan dan Didiagnos?
Biasanya, setelah dua atau lebih keguguran berlaku, pasangan akan dirujuk kepada pakar untuk menjalani beberapa siri ujian. Antara ujian yang dilakukan termasuk analisis kromosom kedua-dua pasangan, imbasan rahim, ujian darah hormon, ujian pembekuan darah dan ujian antibodi autoimun.
Ujian-ujian ini membantu mengenal pasti punca sebenar dan menentukan jenis rawatan yang sesuai untuk kehamilan seterusnya.
Rawatan yang Ada Untuk Membantu Kehamilan Berjaya
Rawatan untuk keguguran berulang bergantung sepenuhnya kepada puncanya. Jika ia berpunca daripada masalah hormon, ubat seperti progesteron boleh diberikan untuk menyokong kehamilan. Jika ada masalah struktur rahim, pembedahan kecil mungkin dilakukan untuk membetulkannya.
Dalam kes gangguan pembekuan darah, suntikan heparin atau aspirin dos rendah akan diberi untuk mencairkan darah. Bagi gangguan autoimun, rawatan seperti steroid mungkin digunakan.
Yang penting, rawatan adalah bersifat khusus dan perlu dipantau rapi oleh pakar sakit puan atau pakar kesuburan.
Kesan keguguran banyak kali
Keguguran berulang boleh memberi kesan fizikal, emosi dan psikologi yang ketara kepada individu dan pasangan yang mengalaminya.
Berikut adalah beberapa kesan banyak kali gugur atau keguguran berulang:
1. Kesan Fizikal
Sebarang keguguran boleh menjejaskan badan secara fizikal. Selepas keguguran, badan memerlukan masa untuk pulih dan memulihkan keseimbangan hormon. Keguguran berulang boleh meningkatkan risiko komplikasi fizikal anda, seperti jangkitan rahim atau pendarahan yang banyak.
Jika campur tangan pembedahan diperlukan, seperti penyingkiran polip atau septum rahim, prosedur itu juga boleh mempunyai kesan fizikal dan pemulihan yang berbeza.
2. Kesan Emosi Dan Psikologi
Mengalami keguguran berulang boleh menjadi sangat menyakitkan, dan menyebabkan perasaan sedih yang mendalam. Individu dan pasangan mungkin mengalami kehilangan, kebimbangan, perasaan putus asa, tekanan, dan kebimbangan berterusan tentang kehamilan akan datang. Kesan emosi ini boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan kehidupan seharian.
3. Hubungan Dan Pengaruh Sosial
Keguguran berulang boleh menjejaskan hubungan antara pasangan. Mereka mungkin berasa kecewa, sedih, dan sukar menghadapi kehilangan bersama.
Selain itu, pengalaman keguguran berulang juga boleh menjejaskan interaksi sosial dengan rakan, keluarga atau rakan sekerja yang mungkin tidak memahami sepenuhnya atau merasakan kesedihan yang anda rasai.
4. Ketakutan Dan Kebimbangan
Keguguran berulang boleh menimbulkan ketakutan dan kebimbangan berterusan tentang kehamilan pada masa hadapan. Individu dan pasangan mungkin bimbang bahawa mereka tidak akan dapat mengekalkan kehamilan yang berjaya.
Ini boleh mengganggu rancangan keluarga dan menyebabkan kebimbangan berterusan.
Adakah Masih Ada Harapan untuk Hamil Semula?
Ya, masih ada harapan. Kajian menunjukkan bahawa lebih 60% wanita yang mengalami keguguran berulang akhirnya berjaya hamil dan melahirkan anak yang sihat selepas menerima rawatan yang sesuai. Kuncinya adalah kesabaran, rawatan menyeluruh, dan tidak putus asa.
Dengan pemantauan rapi dari awal kehamilan, ramai wanita berjaya melalui tempoh kritikal trimester pertama dan meneruskan kehamilan hingga ke akhir.
Bila Waktu Sesuai Untuk Cuba Hamil Lagi?
Secara umumnya, tiada tempoh khusus yang perlu ditunggu selepas keguguran untuk mencuba hamil lagi, tetapi kebanyakan pakar mengesyorkan menunggu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kitaran haid untuk memberi masa kepada rahim pulih dan emosi stabil.
Yang paling penting adalah memastikan punca keguguran dikenalpasti dan dirawat terlebih dahulu sebelum mencuba kehamilan semula.
Kesimpulannya, keguguran berulang bukan sekadar pengalaman fizikal, tetapi juga sangat mencabar dari segi emosi dan mental. Setiap kehilangan meninggalkan kesan mendalam, dan ramai wanita yang melalui pengalaman ini mungkin berasa bersalah, sunyi atau hilang harapan.
Namun yang penting untuk difahami, keguguran berulang bukan bermaksud anda tidak boleh hamil atau tidak layak menjadi ibu.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Baca juga: Keguguran: Punca dan tanda-tanda keguguran yang anda patut tahu
Baca juga: 5 Sebab Keguguran Berlaku – Ingat Bukan Semua Salah Anda!
Baca juga: Cara Mengelak Keguguran Dari Berlaku Di Awal Kandungan, Ini Masa Yang Tepat Untuk Jaga Kehamilan