Malaysia kini bakal memasuki fasa endemik bermula 1 April. Namun begitu, sempadan-sempadan keluar masuk negara telah dibuka dan rakyat Malaysia dibenarkan melancong ke luar negara sekiranya mempunyai vaksin. Maka, wanita-wanita yang kerja pramugari sudah mulai sibuk dengan penerbangan.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Kerja pramugari ketika hamil, bolehkah pramugari bertugas saat sedang hamil?
- Risiko meneruskan penerbangan pada waktu tempoh kehamilan
- Ibu hamil sila ambil langkah berjaga-jaga ini jika hendak melancong melalui udara!
Dalam kalangan pramugari cantik ini, pasti ada yang sudah mendirikan rumah tangga dan sedang mengimpikan cahaya mata. Namun, pernahkah anda melihat pramugari yang sedang hamil mengendalikan penumpang dalam penerbangan?
Kerja pramugari ketika hamil, bolehkah pramugari bertugas saat sedang hamil?
Seperti yang kita ketahui, wanita yang hamil tidak disarankan menaiki kapal terbang walaupun pada tempoh awal kehamilan.
Sesetengah wanita tidak gemar melancong melalui udara pada tempoh awal hamil kerana mudah berasa mual, pening dan mengalami muntah-muntah.
Manakala, bagi mereka yang sarat hamil, pengembaraan melalui udara boleh mendedahkan ibu kepada risiko DVT (deep vein thrombosis), di mana darah-darah akan membeku dalam urat, terutamanya di kaki si ibu. Ini boleh menyebabkan kesakitan kepada ibu hamil tersebut.
Prosedur kerja pramugari ketika hamil
Jadi secara logiknya, pramugari-pramugari yang hamil tidak dibenarkan untuk bertugas ketika sedang hamil.
Menurut perkongsian TikTok seorang pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang bernama srisyafinaz, pramugari yang mendapati diri mereka hamil perlu memaklumkan kepada jabatan.
Jabatan penerbangan tersebut kemudiannya akan membuang nama pramugari tersebut dari mana-mana penerbangan, oleh sebab pramugari berkenaan kini dianggap tidak sesuai atau selamat untuk penerbangan.
Selama tempoh 9 bulan kehamilan, pramugari tersebut tidak akan di bayar gaji (unpaid leave) sehinggalah si ibu bersalin di mana dia kemudian layak untuk mendapat cuti selama 90 hari.
Setelah tamat tempoh bercuti 90 hari, pramugari tersebut dikehendaki pergi semula ke jabatan yang telah dikunjungi pada awal kehamilan untuk menimbang berat badan seperti yang ditetapkan oleh jabatan syarikat penerbangan.
Sekiranya berat badan pramugari tersebut tidak menepati syarat, maka dia tidak dibenarkan untuk mengendalikan penerbangan.
Pramugari wanita perlulah menurunkan berat badan dan mencapai BMI yang menepati syarat jabatan syarikat penerbangan sebelum dibenarkan untuk mulakan penerbangan seperti biasa.
Risiko meneruskan penerbangan ketika dalam tempoh kehamilan
Sebenarnya, bukan pramugari yang bertugas sahaja yang perlu menjaga kandungan. Malah, ibu-ibu yang hendak melancong melalui udara juga perlulah berwaspada ketika hendak menempah penerbangan.
Ketahui risiko-risiko yang boleh dihadapi sekiranya anda melancong menggunakan penerbangan.
- Keguguran atau kecacatan kepada janin. Pada tempoh awal kehamilan, ibu masih boleh terus melancong melalui udara sekali-sekala. Namun, lebih baik untuk meminimakan pelancongan dengan penerbangan kerana paparan radiasi atmosfera ketika berada di tahap tinggi lebih banyak dan boleh menyebabkan keguguran atau kecacatan pada janin.
- Pembekuan darah. Seperti yang telah dikongsikan pada awal aritkel tadi, ibu yang hamil boleh mengalami pembekuan darah ketika dalam penerbangan. Namun, ada sesetengah syarikat penerbangan yang menyediakan stokin panjang bagi para ibu untuk mengelakkan risiko ini terjadi.
- Oksigen dalam darah menurun. Apabila dalam penerbangan, tekanan udara akan menurun dan ini boleh menyebabkan oksigen dalam darah mula menurun. Namun, jika anda sihat tubuh badan, maka ia tidaklah mendedahkan risiko yang terlalu tinggi kepada kandungan anda.
Ibu hamil sila ambil langkah berjaga-jaga ini jika hendak melancong melalui udara!
- Minum banyak air. Udara ketika berada dalam kapal terbang di tahap yang tinggi sangat kering, jadi para ibu yang hamil perlulah minum air yang banyak untuk mengekalkan hidrasi.
- Memeriksa keadaan penerbangan dengan syarikat berkenaan. Anda boleh memeriksa apakah prosedur operasi dan keselamatan syarikat penerbangan yang telah anda tempah tentang isu kehamilan.
- Rancang keselesaan anda. Berada di udara pada tempoh jangka masa yang lama boleh menjadi tidak selesa pada ibu yang hamil, jadi pastikan anda merancang keselesaan anda dengan menempah tempat duduk yang lebih luas, dan bersebelahan dengan ruang pejalan kaki supaya anda boleh bangun kejap-kejap untuk menghilangkan rasa lenguh.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Lahir Dalam Pesawat, Diberi Nama Sempena Kru Kapal!
Baca juga: Tips Melancong Dengan Anak Kecil
Baca juga: Anak Naik Pesawat Sendiri, Berani Bolos Tanpa Pengetahuan Ibu Ayah!