Keropok lekor merupakan salah satu makanan tradisional negeri Terengganu dan menjadi makanan yang wajib dibeli sebagai buah tangan sekiranya datang melawat ke negeri tersebut.
Bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong, keropok lekor merupakan salah satu daripada identiti Terengganu dan menjadi salah satu makanan yang sering dihidangkan ketika minum petang oleh penduduk setempat.
Makanan ini dihidangkan bersama dengan pencicah yang dikenali sebagai ‘cuka lada’ dan boleh dihidangkan berasingan atau dituangkan ke atasnya secara terus.
Isi Kandungan
Asal Usul Keropok Lekor
Kisahnya bermula puluhan tahun yang dulu, di mana para nelayan mendapat hasil laut yang banyak. Hasil tangkapan ikan yang banyak membuatkan penduduk di tepi pantai mencipta satu makanan yang baru. Makanan yang pada asalnya tiada nama dan diberikan nama sempena cara pembuatannya.
Pada zaman awal pembuatan, orang kampung menggunakan isi ikan dicampur dengan tepung sagu. Apabila kedua-dua bahan dicampur dan diuli, adunan tersebut dihempuk-hempuk dan menghasilkan bunyi “kelepok”. Lama-kelamaan, perkataan “keropok” digunakan dan dijadikan nama kepada hidangan istimewa ini.
Selepas adunan ikan siap, adunan tersebut digentel untuk menjadikannya panjang seperti sosej. Tetapi pada zaman dahulu, ada sesetengah yang menggentel keropok menjadikannya panjang.
Keropok yang panjang ini apabila direbus akan kelihatan berlingkar seperti menggulung tali untuk disimpan. Perkataan “lekor” adalah dari perkataan “lingkar” maka terhasillah nama keropok lekor.
Keropok Lekor Losong
Menurut penceritaan lisan daripada masyarakat Kuala Terengganu dan Losong, tidak diketahui dari mana kawasan asal makanan ini dicipta. Namun, sehingga akhir 1960-an kawasan sekitar Tanjung, Kuala Terengganu, terutamanya sekitar Kedai Tanjung dari Tanjung Jati sehingga ke Tanjung Haji Mat Taukey merupakan kawasan pembuatan dan penjualan keropok yang terkenal, sama ada keropok keping atau keropok lekor.
Keropok lekor goreng tanpa rebus, atau dikenali oleh masyarakat Terengganu sebagai ‘keropok lekor goreng selalu’ muncul pada awal 1970-an di sekitar Pasar Ladang sehingga ke Ladang Mengabang di Kuala Terengganu.
Sama ada digoreng atau pun rebus sama sahaja sedapnya. Sehingga kini, keropok ini menjadi salah satu daripada pilihan penggemarnya.
Ia diperbuat daripada beberapa jenis ikan seperti ikan parang, ikan selayang dan ikan tamban. Tetapi ramai yang menyukai keropok lekor yang menggunakan ikan tamban kerana rasanya yang paling sedap dijadikan sebagai keropok.
Bukan itu sahaja, ikan tamban kaya dengan mineral, protein dan mengandungi vitamin A,C,E dan K. Ia mampu mencegah penyakit kanser usus, menyihatkan jantung dan mengurangkan kolestrol.
Perbezaan keropok lekor losong adalah berdasarkan kuantiti isi ikannya yang lebih banyak. Sesetengah orang tidak begitu menggemarinya kerana bau hanyir yang begitu kuat.
Kegemaran Rakyat Malaysia
Sehingga 1970-an, makanan ini hanya diminati oleh penduduk negeri Terengganu sahaja. Dengan bermulanya perkahwinan campuran antara masyarakat Terengganu dan penduduk luar Terengganu, keropok lekor Terengganu mula diperkenalkan ke luar.
Sehingga waktu berkenaan, pelancong dari luar Terengganu hanya datang untuk mencari barangan tembaga, perkakasan dapur dan hiasan, songket dan batik serta hasil kerja kraftangan tradisional.
Ketika itu, cara permakanan dan makanan tradisi Terengganu dianggap busuk, hanyir dan kotor. Makanan berasaskan ulaman yang mempunyai bau yang kuat juga kurang digemari oleh pelancong.
Makanan tradisional Terengganu termasuklah keropok lekor tidak menjadi perhatian mereka. Setelah integrasi masyarakat berlaku, makanan berkenaan mulai digemari dan menjadi salah satu daripada tarikan yang unik bagi Terengganu. Daripada akhir 1970-an sehingga kini, Losong menjadi tumpuan bagi peminat makanan tradisi dari seluruh pelusuk negara Malaysia.
Lokasi Keropok Lekor
Jika anda berkunjung ke Terengganu, singgahlah sebentar ke tempat keropok lekor yang terkenal di Pasar Payang, Seberang Takir dan Losong.
Bagi penggemar keropok keping, boleh didapati di Kampung Pengkalan Setar kerana di sana masih menggunakan pembuatan secara tradisional.
Selalunya keropok keping ini sedap dimakan bersama dengan nasi kerabu atau bihun goreng. Bahkan, boleh dicicah sos atau makan begitu sahaja.
Beriku merupakan beberapa tempat yang terkenal di Terengganu yang wajib anda singgah!
1. Keropok Lekor Bayu di Kampung Merang.
Alamat: 10, Jalan Losong Feri, Kampung Losong Masjid, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 8 am – 6 pm
Terletak di Kampung Losong Masjid, keistimewaan utama di sini terletak pada kesegaran ikannya. Ia menggunakan isi ikan yang berkualiti tinggi.
3. Keropok Lekor Tok Molor
Alamat: Jalan Kampung Laut, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 9 pm
Makan di kedai ini pasti tidak mengecewakan kerana kombinasi padu dengan sos yang pedas membuatkan anda mengunyah tak henti-henti.
4. Keropok lekor Kemaman
Pada masa kini, kudapan ini masih lagi dianggap relevan namun divariasikan mengikut cita rasa anak-anak muda. Rata-rata pengusaha sekarang sangat kreatif dalam mempelbagaikan resepi baharu.
Antara resepi baru yang mendapat sambutan tinggi adalah berperisa cheese, salted egg dan lada hitam.
Resepi Keropok Lekor
Resepi ini merupakan perkongsian daripada Puan Eyna Nufail di Facebook Masak Apa Hari Ni..(MAHN)
Bahan-bahan :
- 10 ekor ikan kembung / selayang
- 2 cawan setengah tepung ubi
- 1 cawan tepung gandum
- Garam & Ajinomoto secukup rasa
Cara Penyediaan :
1. Kisar. Pertama sekali, kisar isi ikan mentah-mentah guna blender. Tak perlu rebus ya. Masukkan sekali sedikit garam, ajinomoto, dan air sejuk. Kisar sampai sebati.
2. Seterusnya, pindahkan bahan yang telah dikisar ke dalam satu bekas besar. Kemudian, masukkan pula 1 cawan tepung gandum dan 2 cawan setengah tepung ubi.
3. Gaulkan bahan kisar dengan tepung dan uli hingga ia menjadi doh. Bila dah jadi doh, bentukkan jadi panjang-panjang macam keropok lekor mentah yang biasa kita tengok di kedai tu.
4. Langkah seterusnya, rebuskan keropok lekor yang telah dibentuk tadi dalam air yang dipanaskan. Kalau dah masak, nanti akan timbul sendiri. Dah bolehlah angkat dan toskan.
5. Sejukkan sekejap dan potongkan kecil-kecil ikut citarasa masing-masing. Ada yang suka nipis, ada yang suka tebal terpulang kepada anda.
6. Panaskan minyak dan goreng seperti biasa. Inilah hasilnya. Rangup di luar, lembut di dalam.
Dah siap dah kudapan kita menggunakan 3 bahan. Bahan-bahan pun tak susah nak cari. Dengan perkongsian resepi ini, mudah-mudahan lebih ramai yang dapat membuatnya sendiri di rumah. Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Resepi Kerabu Maggi Enak Seperti Makan Di Thailand, Wajib Pakai Maggi Jenama Ini!
Baca juga : Tak Sedar Dah Makan Habis Sebalang, Ini Resepi Popia Nestum Yang Rangup Dan Sedap Sebagai Kudapan!
Baca juga : Tak Payah Beli Di Gerai, Ini Resepi Pisang Goreng Rangup Tahan Lama Sedap Dimakan Walaupun Dah Sejuk