Sekelip mata kehilangan dua zuriat tersayang ekoran berlaku kes kebakaran. Itu ujian berat menimpa pasangan ibu dan ayah ini apabila anak mereka iaitu bayi perempuan berusia 7 bulan dan kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Kejadian kes kebakaran ragut dua nyawa beradik
- Dua beradik tiada kesan kebakaran
- Bangunan musnah terbakar hampir 70 peratus
Lebih pilu apabila kebakaran itu berlaku sewaktu kedua ibu ayahnya sedang bersahur. Berat sungguh ujian yang dihadapi mereka lebih-lebih lagi tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Kejadian kes kebakaran ragut dua nyawa beradik
Menurut laporan berita Sinar Harian, kes tersebut melibatkan sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Perak pada 21 April sekitar jam 5 pagi.
Ia berlaku ketika dua beradik itu ditinggalkan di tingkan dua bangunan sementara ibu bapanya sedang bersahur di tingkat bawah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso dilaporkan berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 4, dan adiknya, Nor Fahmia berusia tujuh bulan terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.
Dua beradik tiada kesan kebakaran
Berdasarkan petikan berita tersebut, Barudin memaklumkan kedua-dua beradik itu tidak mengalami sebarang kesan kebakaran nyata.
“Dua beradik berkenaan berjaya dikeluarkan anggota bomba dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata pada tubuh badan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam laporan itu.
Beliau juga dipetik berkata, pemeriksaan awal mendapati, lokasi kebakaran merupakan bangunan kedai makan tiga tingkat yang mana tingkat bawah merupakan restoran makanan tomyam manakala tingkat dua dijadikan tempat tinggal pekerja.
Katanya, kebakaran dipercayai berlaku dari tingkat dua bangunan itu yang dilengkapi dua bilik.
“Pada masa kejadian hanya tinggal dua kanak-kanak tersebut di tingkat dua, manakala ibu bapa dan pekerja-pekerja lain berada di tingkat bawah sedang bersahur.
“Kedua-dua mangsa adalah anak kepada pemilik restoran tersebut. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian mangsa,” demikian laporan itu.
Bangunan musnah terbakar hampir 70 peratus
Selain itu, laporan berita itu juga memetik Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang memberitahu, panggilan kecemasan kejadian diterima pada jam 5.07 pagi memaklumkan terdapat dua mangsa terperangkap dalam sebuah rumah kedai yang terbakar.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar yang dikejarkan ke lokasi mendapati, api telah marak mengakibatkan bangunan musnah terbakar hampir 70 peratus.
“Dua mangsa berkenaan berjaya dibawa keluar tanpa sebarang kecederaan. Operasi overhaul kini sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya dalam laporan itu.
Apa pun, kami mendoakan semoga ibu ayah ini diberikan ketabahan menghadapi ujian kehilangan zuriat mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sudah Umur 3 Tahun, Anak Kecil Ini Tidak Boleh Berjalan & Hanya Boleh Sebut ‘Uh Oh’
Baca juga: Gara-Gara Tidur Siang, Ibu Layankan Saja Anak Bersiap Pergi Sekolah Tengah Malam
Baca juga: ”Moga Ada Keadilan Buatmu,” Nurse Dedah Sikap Sebenar Bella Ketika Dirawat Di Hospital