Kes pembuangan bayi boleh dikatakan hampir setiap hari terjadi di Malaysia. Kebanyakannya adalah melibatkan golongan remaja yang terlanjur dengan pasangan, dirogol oleh kenalan atau menjadi mangsa seks lelaki tidak bertanggungjawab.
Lebih menyedihkan tandas, tempat pembuangan sampah atau kawasan semak sering menjadi tempat individu ini membuang janin yang tidak berdosa. Kita juga sering membaca laporan ada kes badan bayi dikerat, bayi masih bertali pusat dicampak dari rumah pangsa, bayi baru dilahirkan dipenuhi gigitan semut dan pelbagai lagi.
Kes pembuangan bayi di tepi pagar berdekatan Taman Sri Rampai
Semalam satu kes pembuangan bayi telah dilaporkan. Mayat bayi perempuan telah ditemui di tepi pagar Jalan Sri Rejang 3, Taman Sri Rampai oleh pekerja warga asing ketika mereka menyapu sampah di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian 8 pagi itu, tukang sapu dari Syarikat Alam Flora mendakwa dia telah terlihat sebuah beg berwarna putih di tepi pagar sebelum terkejut di dalamnya mengandungi mayat bayi tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superitendan Ashari Abu Samah, polis telah menerima maklumat mengenai kejadian itu setengah jam kemudian dan dibantu oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke tempat kejadian bagi siasatan lanjut.
Saksi kejadian memaklumkan sewaktu mengangkat beg putih tersebut, dia terlihat seorang bayi di dalam beg, dibalut dengan kain tuala berwarna merah jambu.
”Walaubagaimanapun, bayi perempuan yang malang itu telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur yang turut dipanggil bagi membantu proses siasatan di tempat kejadian.”
Bantu salurkan maklumat mengenai kes pembuangan bayi
”Tiada sebarang dokumen pengenalan dijumpai pada bayi itu yang mana pemeriksaan awal pada tubuh bayi tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan.” jelasnya.
Ashari menambah, pihak polis percaya mayat bayi berkenaan telah ditinggalkan di lokasi itu dalam tempoh kurang 12 jam sebelum dijumpai.
”Mayat bayi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit.”
”Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.” katanya.
Langkah kerajaan bagi mengatasi kes pembuangan bayi
Kes pembuangan bayi di Malaysia masih berleluasan meskipun ketika ini kita sudah melangkah ke tahun 2021.
Antara faktor pendorong ia terjadi adalah disebabkan oleh kehamilan yang tidak dirancang, kerap kali melakukan hubungan seks sebelum nikah tanpa perlindungan.
Antara usaha kerajaan bagi mencegah isu pembuangan bayi ini adalah memasukkan beberapa versi pendidikan seks di sekolah.
Ini termasuklah Program Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) dan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang diajarkan di sekolah bagi Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Selain itu pusat perlindungan bayi juga telah ditubuhkan di seluruh negara oleh OrphanCare dan Hospital KPJ bagi menyediakan saluran bagi ibu yang mahu meninggalkan bayi mereka di tempat yang selamat secara rahsia.
Selain itu, bagi remaja yang berdepan masalah sosial ini juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Talian Kasih 24 jam di 15999.
Beberapa tahun yang lalu, program ‘Save A Life’ iaitu kempen pencegahan pembuangan bayi juga telah dilancarkan oleh pihak kerajaan.
Walau bagaimanapun beberapa pendekatan dan usaha yang dilakukan ini tidak memberikan impak untuk jangka masa panjang. Ia dilihat tidak mampu menangani punca utama masalah pembuangan bayi ini, tetapi hanya menyelesaikan gejalanya.
Perkara penting yang perlu dibaiki ialah peranan ibu bapa dalam hubungan bersama anak-anak. Ibu ayah hendaklah prihatin akan masalah ini. Jadilah seorang yang terbuka dan mudah didekati meskipun mereka bertanya mengenai soalan intim.
Galakkan anak-anak membincangkan isu dan mengesahkan fakta yang dijumpai secara atas talian. Anda juga hendaklah mengenali setiap kenalan atau kawan rapat mereka. Awasi sebarang petanda yang membawa kepada masalah sosial.
Sumber: Harian Metro, Positive Parenting
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Sanggup Buang Anak Yang Baru Berusia 2 Tahun Kerana Suami Baru Tidak Suka