''Alah Cium Sikit Je,'' Ibu Terkilan Tetamu Datang & Cium Bayi Jadi Punca Jangkitan Kuman
Kesan cium mulut, bayi lelaki dimasukkan ke wad selama tiga minggu selepas dijangkiti kuman yang menyerang paru-paru dan darah
Dimasukkan ke wad dan perlu menggunakan oksigen sehingga tiga minggu selain paru-paru turut diserang kuman. Demikian kisah sedih dialami seorang bayi lelaki kesan daripada disentuh dan cium mulut oleh orang yang melawat sewaktu tempoh berpantang.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Bayi mula sakit kesan terkena cium mulut
- Lutut bayi bengkak, panas
- Kuman serang paru-paru, pakai oksigen 3 minggu
Cerita itu dikongsikan oleh ibunya menerusi hantaran Facebook Danish Awisy pada 12 April 2018.
Walaupun kejadian sudah beberapa tahun berlalu, namun ia boleh dijadikan pengajaran kepada ibu dan ayah untuk lebih berwaspada serta orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya memberi ciuman dan menyentuh bayi tanpa keizinan ibu ayah.
Bayi mula sakit kesan terkena cium mulut
Seperti yang dikongsikan oleh wanita tersebut, anaknya dikenali sebanyak Danish Awisy dilahirkan pada 8 November 2017 dalam keadaan sihat, tiada sebarang komplikasi kesihatan yang kritikal.
“Cuma Awisy mempunyai G6Pd dan kuning. Dan sakitnya kini (sewaktu hantaran Facebook) tiada kaitan langsung dengan G6pd. Kisahnya bermula setelah Awisy keluar dari hospital kali kedua kerana kuning.
“Awisy bukan sahaja dinantikan oleh kami anak beranak dan sanak saudara, malah sahabat-sahabat Dak Nurul (panggilan diri ibu bayi tersebut) pun amat teruja ingin melihat dan melawat Awisy,” demikian perkongsian oleh wanita itu.
Ibu Awisy memberitahu, pelawat yang datang silih berganti malah, ada antaranya tidak dikenali kerana mengikut rakan selain ada yang tidak sihat. Selain itu, dia turut berpesan terlebih dahulu, sekiranya tidak sihat, demam, batuk dan selesema, tidak usah menyentuh bayi tersebut.
“Tapi ini bukan takat sentuh, tapi dicium sekali sambil mengatakan, ‘alah, sikit je’ sambil tertawa sinis. Maka, dengan itu bermulalah sakitnya si Awisy,” katanya meneruskan cerita.
Lutut bayi bengkak, panas
Ibu itu memberitahu, selepas tiga atau empat hari iaitu ketika usia Awisy 28 hari, dia menjalani rutin pagi untuk memandikan Awisy dan ketika itu menyedari lutut kanan anaknya membengkak sehingga bayi itu tidak dapat mengangkat kaki.
“Bila diusik dan dirasa, lututnya berasa amat panas sedangkan di tempat lain biasa saja. Awisy pun waktu itu menangis sahaja sampai sukar untuk dipujuk. Rupanya dia sedang kesakitan ya amat.
“Kasihannya kamu sayangku. Apabila dirujuk ke hospital, maka doktor mengesahkan bahawa Awisy telah mendapat jangkitan kuman dan kuman tersebut telah berkumpul dalam lututnya.
“Aduh, memang terkejut besar sebab dalam semalaman lutut dia membengkak sampai macam itu sekali. Bila ditanya oleh doktor, ‘ada tak pelawat yang tidak sihat menyentuh atau menciumnya’. Sudah tentu Dak Nurul kata ada.
“Maka doktor mengatakan bahawa itu mungkin menjadi salah satu punca kuman tersebut,” katanya pada hantaran tersebut.
Kuman serang paru-paru, pakai oksigen 3 minggu
Meneruskan kisah dialami Awisy, ibu itu memaklumkan, jangkitan kuman tersebut telah menyerang paru-paru anaknya dan berada di dalam darah.
“Memang sangat-sangat jahat kuman ini. Maka Awisy telah diberi antibiotik dan diberikan oksigen selama 3 minggu, barulah diizinkan untuk pulang setelah doktor mengesahkan bahawa kuman itu telah clear.
“Jadi hati-hatilah semua pada ibu-ibu yang dalam pantang pada hari ini. Kurung anak pun tak apalah. Biarlah sampai dia diberi suntikan imunisasi terlebih dahulu.
“Dan janganlah sesuka hati membenarkan sesiapa pun menyentuh bayi kita walaupun kita sendiri serta keluarga tanpa membasuh tangan terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi yang tidak sihat, kalau boleh tidak perlulah mendekati bayi.
“Please, kasihanilah bayi itu. Kuingatkan jangkitan itu hanya disitu dan telah mati kumannya. Tapi, itu hanyalah permulaannya,” demikian luahan hati ibu tersebut.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: “Tolonglah Jangan Sentuh Atau Cium Bayi Saya!” – 5 Perkara Anda Patut Buat Bila Dekat Dengan Bayi!
Baca juga: Bayi 8 Hari Maut Kerana Dipegang & Dicium, Ibu Merayu Semua Ambil Pengajaran