Ketika berpuasa, ada banyak persoalan timbul mengenai perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuklah korek hidung batal puasa. Ada pula yang berpendapat sebaliknya. Jadi, mana satu yang betul?
Hukum Korek Hidung Batal Puasa Mengikut Mufti
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Ini kerana perbuatan tersebut tidak menyebabkan sesuatu memasuki rongga badan yang boleh membatalkan puasa.
Dalam artikel yang diterbitkan, dinyatakan bahawa:
Berkata Syeikh Abu al-Husein al-Imrani:
فلا يستقصي في المبالغة، فيصير سعوطا، فلولا أن الفطر يتعلق بما يصل منه لما نهى عنه ولأن ما يصل إلى دماغ الإنسان يغذي كما يغذي ما يصل إلى الجوف، فوجب أن يفطر به، كالواصل إلى الجوف
“Janganlah terlalu dalam ketika melakukan mubalaghah (semasa beristinsyaq), lalu jadilah ia suatu su`ut (kaedah memasukkan sesuatu, kebiasaannya ubat, ke kawasan melepasi pangkal hidung). Jika tidak, sesungguhnya pembatalan puasa itu berkait dengan apa yang sampai kepada sebahagiannya, oleh kerana itu Syarak melarangnya. Ini juga kerana apa yang sampai ke bahagian otak manusia boleh diambil khasiat, sama seperti suatu yang sampai kepada rongga, lalu batallah puasa dengan sebab itu, sama seperti suatu yang sampai ke bahagian rongga.”
Rujuk al-Bayan fi al-Madzhab al-Syafie (3/501)
Daripada kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Ini kerana diharuskan bagi orang yang berpuasa untuk berwuduk dengan mengamalkan sunat istinsyak.
Cumanya, jika dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung atau kaisyum itu adalah dimakruhkan, selagi tidak sampai ke bahagian otak atau tekak. Jika sampai, maka batal puasanya.
Justeru, berdasarkan fakta tersebut, jelaslah bahawa perbuatan mengorek hidung juga tidak membatalkan puasa kerana kaedah dan wasilahnya yang sama yakni, memasukkan suatu ain untuk mengeluarkan kotoran daripada lubang hidung.
Ini juga kerana sekalipun terdapat perbuatan memasukkan ain ke dalam saluran yang terbuka, namun ia tidak sampai kepada had rongga sehingga membatalkan puasa. Namun jika dilakukan dengan melampau dengan alat-alat yang boleh menyampaikan ke bahagian otak maka itu batallah puasanya. Wallahua’lam.
Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak.
Korek Hidung Batal Puasa Menurut Ustaz Azhar Idrus
Menurut penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, puasa seseorang boleh terbatal jika mengorek hidung hingga mencapai rongga atas tulang hidung.
Namun, beliau menjelaskan bahawa sekadar membuang tahi hidung dianggap makruh, manakala jika bertujuan membersihkan hidung daripada sesuatu yang tersumbat, hukumnya harus.
Untuk penjelasan lanjut, rujuk video di bawah:
Swab Test Tidak Membatalkan Puasa
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan tertentu yang bertujuan perubatan ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) atau rasa nikmat sehingga membatalkan puasa.
Sama juga isu korek hidung batal puasa, adakah anda mengorek hidung sehingga ke dalam mencecah rongga tekak?
Mengikut syarak, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.
Menurut laporan dari Bernama Dr Zulkifli juga menegaskan ujian swab COVID-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun lepas dan mencapai kata sepakat bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa “Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) masuk dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit,” katanya.
Memandangkan ini isu baru dan dunia sedang melalui pandemik ini, timbul kekeliruan dikalangan umat Islam khususnya sama ada ujian ini menyebabkan terbatalnya puasa ataupun tidak.
Sebab Ujian Swab Tidak Membatalkan Puasa
- Ujian swab tidak membawa gambaran sebagai makan dan minum yang menjadi sebab batal puasa dengan ijmak ulama.
- Pandangan sebahagian ulama hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga badan mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain dari luar badan.
- Peralatan ujian swab ni sama seperti gastroscope ( teropong perut ) yang boleh dimasukkan ke dalam rongga badan tapi tidak membatalkan puasa asalkan peralatan tersebut bebas dari sebarang bendalir atau yang seumpama dengannya.
Walau bagaimanapun tidak digalakkan untuk SENGAJA memasukkan jari telunjuk ke dalam hidung pada waktu berpuasa kerana perbuatan itu boleh batal puasa.
Menurut pendapat dari mazhab Syafie , apabila memasukkan sesuatu dari lubang hidung hingga melepas had yang batin itu membatalkan puasa.
Bermula had yang batin ialah dari permulaan tulang hidung dan setengah fuqahak berkata had batin bagi hidung ialah sampai kepada otak atau lepas hingga ke kerongkong.
Dari kerana ini boleh dikatakan ujian swab Covid-19 dengan memasukkan objek ke dalam hidung tidak membatalkan puasa kerana walau pun melepasi tulang hidung tetapi tidak sampai ke otak atau kepada kerongkong.
Jika objek ujian masuk melepasi otak atau sampai melepasi kerongkong atau masuk ke dalam perut maka ia membatalkan puasa.
Berkata Mufti Negeri Jordan :
تبيّن لنا أنّ فحص الكورونا لا يفطر الصائم؛ لأنّ أداة الفحص الجافة التي تدخل من الأنف لا تصل إلى الحلق، وما كان كذلك فلا يعتبر من المفطّرات حيث اشترط السادة المالكية في المفطر أن يصل إلى الجوف، واشترط الحنفية استقرار الداخل في الجوف، وألا يبقى شيء منه في الخارج، وكلا الشرطين لا يتوافران في عملية الفحص؛ ولأنّ الصوم لا يبطل بالشكّ، لذلك من قام بفحص الكورونا عليه أن يُتمّ صومه، ولا شيء عليه. والله تعالى أعلم
Ertinya : “Telah nyata bagi kami bahawa ujian corona tidak membatalkan puasa kerana alat ujian yang bukan cecair itu masuk melalui hidung tidak sampai ke dalam perut dan perkara yang seperti demikian itu tidak terhitung dari yang membatalkan sekira-kira ulamak mazhab Maliki mensyaratkan masuk ke dalam perut barulah membatalkan puasa dan ulamak mazhab Hanafi pula mensyaratkan semua objek masuk kedalam perut tiada tinggal suatu pun diluar. Maka kedua syarat ini tidak berlaku ketika ujian corona dibuat dan pula dari kerana puasa itu tidak batal dengan sebab syak.
Berdasarkan penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, korek hidung batal puasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga hingga mencapai bahagian otak atau tekak.
Oleh itu, umat Islam yang berpuasa tidak perlu risau jika perlu mengorek hidung untuk membersihkan kotoran, asalkan tidak melampaui batas yang boleh membatalkan puasa.
Wallahua’lam.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Terima Suntikan Vaksin Ketika Hamil, Ibu Ini Lahirkan Bayi Dengan Antibodi Covid
Baca juga: Hukum Memakai Gincu Ketika Puasa Menurut Mufti Wilayah, Wanita Sila Take Note
Baca juga: Hukum Ibu Menyusu Berpuasa Dan Rukhsah Puasa Yang Diberikan Dalam Islam
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!